32.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 16, 2026
Home Blog Page 146

Festival Darul Ehsan Berselawat tetap diteruskan tanpa pembabitan Gus Azmi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Festival Darul Ehsan Berselawat akan diteruskan seperti yang dijadualkan, namun tanpa pembabitan pendakwah terkenal dari Indonesia, Mohammad Ulul Azmi Askandar atau lebih dikenali sebagai Gus Azmi.

Keputusan terbabit diambil oleh pihak sekretariat selepas mempertimbangkan pelbagai faktor. Walaupun demikian, festival yang akan diadakan di Setia City Park Oval Lawn ini tetap berlangsung pada tarikh yang telah ditetapkan, iaitu 27, 28 dan 29 Disember 2024.

Penganjur dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menegaskan bahawa keprihatinan terhadap pandangan dan sokongan peserta festival adalah keutamaan mereka.

“Sokongan daripada anda semua amat kami hargai, dan kami menantikan kehadiran anda di festival ini,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, jemputan Gus Azmi untuk menyertai festival tersebut menimbulkan kontroversi selepas segelintir pihak mengungkit tabiat pendakwah muda itu yang sering dilihat merokok di atas pentas.

Tindakan berkenaan dilihat tidak sesuai dengan majlis agama dan bimbang memberi contoh yang tidak baik, terutamanya apabila rokok telah diharamkan di Malaysia menurut fatwa.

Astro kembali dengan “Home of Kids” – Pengalaman menyeronokkan untuk kanak-kanak di IOI City Mall

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Astro, peneraju kandungan dan hiburan, mempersembahkan semula “Home of Kids”, sebuah acara 4 hari yang penuh keceriaan dan keriangan untuk kanak-kanak dan keluarga.

Program menarik ini bakal berlangsung di IOI Grand Convention Centre, IOI City Mall pada 26 hingga 29 Disember 2024, bermula dari 10.30 pagi hingga 9 malam.

Acara ini terbuka secara percuma kepada semua pengunjung, dengan peluang berjumpa karakter-karakter ikonik daripada kandungan Astro yang pastinya akan memeriahkan suasana.

Dengan kerjasama strategik bersama Cartoon Network, Nickelodeon, DreamWorks, CBeebies, Moonbug, Les’ Copaque, Warnakala Studios, Monsta, Disney+ Hotstar, dan Viu, Astro menyediakan pelbagai aktiviti seru yang pasti mengujakan setiap pelawat cilik.

Pelbagai dunia imaginasi dan kreativiti akan dihidupkan melalui pelbagai aktiviti menarik di lokasi.

Pengarah Kandungan Astro Agnes Rozario berkata, Astro bangga dapat menyediakan kandungan yang mendidik dan menghiburkan untuk kanak-kanak.

“Astro Home of Kids bukan sekadar program biasa, tetapi ia adalah platform di mana anak-anak boleh meneroka, belajar, dan berimaginasi.

“Kami percaya bahawa dengan kuasa imaginasi, kita boleh membentuk masa depan dan kami bertekad untuk menggalakkan generasi seterusnya menjadi pemikir kreatif. “Jangan lepaskan peluang untuk mencipta pengalaman yang tak terlupakan bersama keluarga anda di Astro Home of Kids,” katanya.

Antara aktiviti menarik yang ditawarkan sepanjang 4 hari adalah:

Bertemu Karakter Kegemaran: Si kecil berpeluang bertemu dengan watak-watak popular seperti Didi & Friends, Pinkfong, Cocomelon, SpongeBob & Patrick Star, Bluey & Bingo, Ultraman Arc, Upin & Ipin, We Bare Bears, Mechamato, Kung Fu Panda, dan banyak lagi.

Permainan dan Aktiviti Interaktif: Dari aktiviti kraf kreatif hingga persembahan mengujakan, pasti ada sesuatu yang menarik untuk semua.

Zon Bertema: Terokai zon bertema menarik seperti Pinkfong dan Didi & Friends yang menawarkan pengalaman seru dan kejutan yang menggembirakan.

Cenderamata Eksklusif: Pelbagai barangan eksklusif dari karakter kegemaran serta program-program Astro yang boleh didapati.

Bagi pelanggan Astro, mereka juga berpeluang menebus pas bergambar eksklusif melalui aplikasi My Astro untuk bergambar bersama watak kegemaran mereka.

Selain itu, pelawat yang mendaftar atau menaiktaraf pakej Astro mereka juga akan menerima barangan eksklusif sebagai hadiah.

Komitmen Astro Terhadap Masyarakat dan Alam Sekitar

Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap Alam Sekitar, Masyarakat, dan Urus Tadbir (ESG), Astro berusaha menyediakan hiburan yang bukan sahaja menarik, tetapi juga selamat untuk kanak-kanak. Kandungan yang dipersembahkan ditapis dengan teliti untuk memastikan ia sesuai mengikut peringkat umur dan bebas daripada unsur tidak sesuai.

Dengan adanya kawalan ibu bapa, Astro menjamin pengalaman hiburan yang selamat untuk keluarga.

Acara ini akan diperkasakan oleh penaja utama U Mobile, serta penaja bersama KFC, Al-Kauthar Eduqid, dan Marigold.

Jangan lepaskan peluang untuk membawa si kecil anda ke Astro Home of Kids di IOI Grand Convention Centre, IOI City Mall pada 26-29 Disember 2024 ini.

Pesara lega, Anwar Ibrahim prihatin dengan pelarasan pencen melalui SSPA

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai pelarasan kadar pencen berdasarkan gaji akhir melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) disambut gembira oleh golongan pesara.

Pengumuman terbabit yang telah lama dinanti-nantikan lebih daripada 900,000 pesara di seluruh negara itu, memberikan harapan baru kepada mereka yang selama ini menantikan perhatian Kerajaan MADANI dalam mengatasi masalah kos sara hidup.

Keputusan ini turut memberi kelegaan kepada pesara yang selama ini berhadapan dengan kesukaran hidup.

Seorang pesara yang enggan dikenali meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas pelarasan yang dilaksanakan selaras dengan pelaksanaan SSPA yang berkuat kuasa pada 1 Disember lalu.

“Saya dan rakan-rakan pesara amat menghargai keputusan Perdana Menteri yang prihatin terhadap isu kos sara hidup. Kenaikan pencen ini memberi manfaat yang nyata dan dapat dirasai oleh kami setiap bulan,” katanya.

Beliau menambah, walaupun kos hidup semakin meningkat, pelarasan pencen yang diterima memberi sedikit kelegaan bagi mengurangkan beban.

Difahamkan, pelarasan pencen berkenaan membabitkan kenaikan antara 4 hingga 8 peratus bagi setiap pesara, dan mereka akan menerima manfaat ini secara bulanan.

Sebagaimana diumumkan oleh kerajaan, bagi kumpulan pelaksana dan pengurusan, kenaikan pencen adalah sebanyak 8 peratus, manakala bagi pengurusan tertinggi, kenaikan sebanyak 4 peratus akan dilaksanakan pada tahun 2025.

Dengan pelarasan ini, pesara yang bersara pada tahun 2012, misalnya, akan menikmati kenaikan pencen sehingga RM200 sebulan.

Ini bermakna, jika pencen mereka sebelum ini RM2,000, ia akan meningkat kepada RM2,200.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) dan penerima pencen terbitan akan diteruskan, sebagai satu lagi usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan golongan ini.

Keputusan terbabit dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada hari Jumaat lalu, di bawah SSPA yang berkuat kuasa pada 1 Disember 2024, dengan pelaksanaan penuh dijangka pada Januari 2026.

Ini adalah berdasarkan semakan gaji perkhidmatan awam yang selaras dengan Seksyen 3, Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238).

Borong perkenal Salaam Market, pasaran halal B2B pertama di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PULAU PINANG – Macro Tech Ventures Sdn Bhd (Borong) memperkenalkan Salaam Market, pasaran halal B2B pertama di Malaysia, pada Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang 2024 (PIHEX) yang berlangsung pada 7 Disember lalu.

Pelancaran ini disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kerjasama strategik Maybank Islamic Berhad.

Salaam Market bertujuan untuk menyumbang kepada kemajuan industri halal negara yang dijangka berkembang pesat, dengan nilai pasaran yang dijangka mencapai AS$113.2 bilion menjelang tahun 2030.

Dalam ucapan perasmian, Perdana Menteri menekankan kepentingan pembangunan ekonomi dan perdagangan dalam sektor halal.

Sebagai platform komprehensif, Salaam Market bertujuan untuk memudahkan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) mendapatkan produk halal tempatan dengan lebih mudah, selamat, dan praktikal.

Dengan sasaran untuk menarik 10,000 PMKS pada tahun 2025, platform ini memberikan peluang besar kepada usahawan untuk memperluas jangkauan mereka di dalam dan luar negara, serta memposisikan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri halal.

Pengarah Program Strategik Maybank Islamic, Dr Muhd Ramadhan Fitri Ellias berkata, Salaam Market adalah inisiatif yang melangkaui perbankan, bertujuan mendukung keperluan PMKS dalam mengukuhkan ekosistem halal.

“Melalui sokongan pembiayaan dan bimbingan Fasiliti Halal, penggiat industri halal dapat memajukan perniagaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Bersama Borong Aizat Rahim berkata, melalui kerjasama dengan Maybank Islamic untuk penyelesaian pembiayaan dan sokongan daripada JAKIM dalam pensijilan halal, Salaam Market akan membantu mengatasi cabaran yang dihadapi oleh pemain industri halal, termasuk isu kemampuan dan capaian produk.

Bagi menarik lebih banyak pengguna, Salaam Market kini menawarkan diskaun terhad sebanyak RM100 untuk setiap pembelian minimum RM250. Promosi ini hanya sah sehingga 1 Januari 2025.

Tune Protect lancar manfaat baharu ‘Delay Lounge Pass’ untuk pelanggan AirAsia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Tune Protect Group Bhd melancarkan manfaat baru yang menarik, Delay Lounge Pass, yang memberikan pelanggan insurans perjalanan AirAsia akses eksklusif ke lebih daripada 1,500 lounge lapangan terbang di seluruh dunia apabila penerbangan mereka tertangguh selama dua jam atau lebih.

Manfaat ini tersedia bagi pelanggan yang memilih pelan Insurans Perjalanan AirAsia seperti Value Pack, Premium Flex, dan AirAsia Plus, untuk penerbangan yang berlepas dari, atau tiba di Malaysia dan Thailand.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect, How Kim Lian, berkata Delay Lounge Pass merubah pengalaman penangguhan penerbangan dengan menyediakan ruang istirahat yang lengkap dengan kemudahan moden, termasuk Wi-Fi berkelajuan tinggi, stesen pengecasan, serta pelbagai kemudahan tambahan seperti rawatan spa dan diskaun di bar dan restoran.

“Inisiatif ini melangkaui manfaat insurans perjalanan biasa yang diterima oleh pelanggan AirAsia, dan ianya meningkatkan pengalaman perjalanan mereka tanpa kebimbangan.

“Selain pampasan kewangan yang disediakan melalui perlindungan Insurans Perjalanan AirAsia, pelanggan kini dapat menikmati keselesaan lounge lapangan terbang untuk memanfaatkan masa menunggu dengan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Proses Penggunaan Delay Lounge Pass Untuk menikmati faedah ini, pelanggan hanya perlu membeli atau memilih salah satu pelan Insurans Perjalanan AirAsia semasa membuat tempahan penerbangan.

Seterusnya, mereka perlu melengkapkan pendaftaran untuk menerima emel pengesahan bersama maklumat pendaftaran lounge.

Setelah pendaftaran disahkan, pelanggan akan menerima pemberitahuan bahawa penerbangan mereka sedang dipantau.

Jika penerbangan mereka ditangguhkan selama dua jam atau lebih, pelanggan akan menerima notifikasi dan baucar digital untuk akses ke lounge apabila tiba di lapangan terbang. Baucar ini boleh digunakan serta-merta.

Kim Lian berkata, inisiatif terbaru ini menggambarkan komitmen Tune Protect untuk menyediakan penyelesaian yang lebih inovatif dan berfokuskan pelanggan kepada pengembara.

“Gabungan produk utama dengan pengalaman tambahan seperti ini semakin diterima dalam industri lain, dan kini kami menerapkannya dalam industri insurans untuk menjadikannya lebih menarik bagi pelanggan kami,” katanya.

Bagi pelanggan yang tidak dapat menggunakan baucar lounge semasa penerbangan mereka ditangguhkan, baucar berkenaan tetap sah untuk digunakan sekali sahaja dalam tempoh 30 hari dari tarikh pengeluaran di mana-mana lounge lapangan terbang yang terpilih.

Selain daripada Delay Lounge Pass, Tune Protect turut meningkatkan ciri insurans dalam pelan Insurans Perjalanan AirAsia dengan memperkenalkan TravelFlex Lite, yang menawarkan manfaat pembatalan fleksibel untuk situasi yang tidak dijangka.

Pelanggan kini boleh menerima pembayaran balik sehingga RM500 untuk kos tiket penerbangan jika mereka tidak dapat meneruskan perjalanan.

Antara manfaat utama lain yang ditawarkan dalam pelan ini adalah On-Time Guarantee, yang memberi pampasan RM100 untuk kelewatan dua jam, serta Kelewatan Bagasi, yang memberikan pampasan RM120 bagi setiap kelewatan enam jam, sehingga RM360.

Dengan pelbagai manfaat tambahan ini, Tune Protect berusaha untuk terus memberikan kemudahan dan perlindungan yang terbaik untuk pelanggan AirAsia, menjadikan pengalaman perjalanan mereka lebih selesa dan tanpa kebimbangan.

Kemalangan maut babitkan lori dan treler: Polis siasat suspek bawa e-waste

editormaxinfo@gmail.com

KLUANG – Sebuah lori jenis Scania yang terbabit dalam kemalangan maut pada 19 Disember lalu kini dalam siasatan pihak berkuasa dan pemeriksaan mendapati muatan lori terbabit disyaki membawa e-waste yang tidak sah.

Ketika pemeriksaan dilakukan di perkarangan Balai Polis Sri Lalang, pihak polis bersama pegawai-pegawai dari Jabatan Kastam dan Jabatan Alam Sekitar Kluang mendapati pemandu lori, Fadhirul Amri Mohd, telah memotong seal pada pintu kontena untuk pemeriksaan lanjut.

Pemeriksaan mendapati barang yang dibawa adalah e-waste yang dipercayai diimport dari luar negara untuk diproses oleh sebuah syarikat tempatan.

Dalam satu laporan, Pengarah Kastam Kluang berkata, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 manakala Jabatan Alam Sekitar pula akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 18(1A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Pemandu lori juga gagal menunjukkan dokumen yang sah bagi muatan terbabit.

“Lori dan treler yang terbabit dalam insiden ini, yang dimiliki oleh Syarikat Bukit Waja Sdn. Bhd., telah diserahkan kepada pihak Kastam dan Alam Sekitar untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian sebelum ini, lori yang dipandu oleh Fadhirul Amri dipercayai membawa muatan salah dan terbabit dalam kemalangan maut yang meragut beberapa nyawa.

Siasatan kini sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca dan kesalahan yang berlaku.

Pihak berkuasa menegaskan tindakan undang-undang akan diambil kepada sesiapa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang persekitaran dan kastam demi keselamatan rakyat.

Nabila Razali selamat timang cahaya mata lelaki

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon popular, Nabila Razali, selamat melahirkan bayi lelaki pada 23 Disember 2024, tepat jam 10.01 malam di sebuah pusat perubatan di ibu kota.

Berita gembira ini disahkan oleh wakil pengurusan Nabila Razali, Enetrtainment, yang memaklumkan bahawa ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat.

Bayi lelaki seberat 3.1 kilogram ini adalah anak sulung Nabila hasil perkahwinannya dengan suami, Nik Iruwan, yang berusia 39 tahun, pada tahun lalu.

Nabila, 32, yang juga dikenali sebagai Nur Nabila Mohd Razali, meluahkan rasa syukur selepas selamat bersalin.

“Alhamdulillah, ini adalah hadiah yang paling bermakna dalam hidup saya. Setiap detik yang saya lalui untuk mencapai momen ini penuh dengan cabaran dan harapan, dan akhirnya, Allah kurniakan amanah ini buat saya dan suami,” katanya dengan penuh rasa terharu.

Selain itu, Nabila turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesejahteraannya dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh kehamilan.

Berita berkenaan turut disambut gembira oleh peminat dan rakan-rakan selebriti yang membanjiri media sosial Nabila dengan ucapan tahniah serta doa buat keluarga kecilnya.

Walaupun sibuk dengan kerjaya seni, Nabila kini mengambil masa untuk memberi fokus kepada keluarga dan mengharungi fasa baru dalam hidupnya sebagai seorang ibu.

Nabila dan Nik Iruwan telah melangsungkan perkahwinan pada 18 November tahun lalu.

FAM gantung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkuat kuasa serta-merta

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan penggantungan keahlian Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan ini diambil setelah mendapati bahawa Kongres KAFA kali ke-65 serta Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA bagi sesi 2024-2028, yang berlangsung pada 19 Disember 2024, tidak sah.

Menurut kenyataan rasmi FAM, penggantungan ini disebabkan beberapa ketidakpatuhan terhadap prosedur yang betul, termasuk ketidakhadiran ahli gabungan yang tidak dibenarkan untuk hadir, serta tatacara pengendalian kongres yang dilaksanakan tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

“FAM mendapati bahawa beberapa ahli gabungan yang sah tidak dijemput, dan prosedur yang sepatutnya diikuti semasa kongres tidak dilaksanakan dengan sempurna.

“Oleh itu, FAM mengarahkan KAFA untuk mengadakan semula kongres dan pemilihan terbabit dengan segera,” kata kenyataan itu.

FAM turut menjelaskan bahawa keputusan penggantungan ini adalah selaras dengan Artikel 17 Statut FAM, yang memberi kuasa kepada Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk menggantung keahlian mana-mana ahli.

Keputusan ini dibuat melalui persetujuan majoriti dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM, yang diteruskan dengan surat rasmi kepada KAFA bertarikh 21 Disember 2024.

Sebelum ini, FAM juga telah menggantung keahlian Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) susulan isu tunggakan gaji dan pampasan terhadap bekas pengarah bola sepak pasukan itu, Matt Holland.

FAM berharap agar KAFA dapat segera mematuhi arahan dan mengadakan kongres yang sah bagi memastikan kelangsungan dan pematuhan prosedur yang betul dalam badan bola sepak negara.

Nahas 5 kenderaan: JPJ diperintah siasat terperinci dan ambil tindakan susulan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarahkan untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kemalangan tragis yang meragut tujuh nyawa di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, Melaka, pada Isnin lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, dalam satu kenyataan, berkata beliau telah mengarahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ untuk mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap syarikat treler dan bas yang terbabit dalam insiden berkenaan.

“JPJ akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat untuk memastikan pematuhan aspek keselamatan di jalan raya, demi menjamin keselamatan semua pengguna jalan,” kata Anthony.

Siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan terbabit berpunca daripada tayar sebuah treler yang tercabut, menyebabkan sebuah bas persiaran mengelak dan terbabas ke laluan bertentangan, merempuh tiga kenderaan lain.

“Saya bagi pihak seluruh warga Kementerian Pengangkutan (MOT) merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban,” katanya.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 8.30 malam Isnin, mangsa yang maut adalah Khairul Ikhwan Mazupi (32), pemandu MPV, bersama isterinya, Fadzlenna Ramli (32), anak bongsu mereka Muhammad Umar Khairul Ikhwan (2), serta ibu bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab (66) dan Fauziah Jaafar (69), serta pemandu bas pelancong Noorisnien Khamid (56), dan seorang penumpang bas, Lamrah Asid Ali (66), warga Singapura.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, berkata siasatan awal mendapati bahawa sebuah lori jenis Foton dan bas pelancong yang membawa 27 penumpang sedang dalam perjalanan dari utara ke selatan, manakala kenderaan MPV, treler jenis Nissan, dan Perodua Bezza bergerak ke arah utara.

Setiba di lokasi kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori Foton yang dipandu lelaki berusia 31 tahun tercabut dan terletak di atas jalan di lorong tengah.

Bas pelancong yang tiba di tempat kejadian terlanggar tayar berkenaan, menyebabkan pemandunya hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

JPJ kini sedang melaksanakan siasatan lebih lanjut untuk memastikan punca kejadian dan tindakan susulan yang perlu diambil terhadap pihak yang terbabit.