editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan penggantungan keahlian Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan ini diambil setelah mendapati bahawa Kongres KAFA kali ke-65 serta Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA bagi sesi 2024-2028, yang berlangsung pada 19 Disember 2024, tidak sah.
Menurut kenyataan rasmi FAM, penggantungan ini disebabkan beberapa ketidakpatuhan terhadap prosedur yang betul, termasuk ketidakhadiran ahli gabungan yang tidak dibenarkan untuk hadir, serta tatacara pengendalian kongres yang dilaksanakan tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.
“FAM mendapati bahawa beberapa ahli gabungan yang sah tidak dijemput, dan prosedur yang sepatutnya diikuti semasa kongres tidak dilaksanakan dengan sempurna.
“Oleh itu, FAM mengarahkan KAFA untuk mengadakan semula kongres dan pemilihan terbabit dengan segera,” kata kenyataan itu.
FAM turut menjelaskan bahawa keputusan penggantungan ini adalah selaras dengan Artikel 17 Statut FAM, yang memberi kuasa kepada Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk menggantung keahlian mana-mana ahli.
Keputusan ini dibuat melalui persetujuan majoriti dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM, yang diteruskan dengan surat rasmi kepada KAFA bertarikh 21 Disember 2024.
Sebelum ini, FAM juga telah menggantung keahlian Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) susulan isu tunggakan gaji dan pampasan terhadap bekas pengarah bola sepak pasukan itu, Matt Holland.
FAM berharap agar KAFA dapat segera mematuhi arahan dan mengadakan kongres yang sah bagi memastikan kelangsungan dan pematuhan prosedur yang betul dalam badan bola sepak negara.

