editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) meraikan kejayaan gemilang skuad sepaktakraw kebangsaan menerusi penganjuran Majlis Penghargaan dan Makan Malam Skuad Sepaktakraw Kebangsaan sebagai tanda penghargaan kepada pemain dan pegawai pasukan yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Majlis berkenaan diadakan bagi meraikan pencapaian membanggakan skuad negara yang muncul juara dunia dalam dua acara utama, iaitu Berpasukan Regu dan Kuadran pada kejohanan TM ISTAF Sepaktakraw World Cup 2026.
Kejayaan bersejarah itu dilihat sebagai hasil dedikasi, komitmen, disiplin serta semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh seluruh pasukan sepanjang kejohanan berlangsung.
Sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang berkenaan, PSM telah memperuntukkan insentif kemenangan berjumlah RM120,000 kepada skuad kebangsaan.
Sumbangan berkenaan telah disampaikan sendiri oleh Presiden PSM, Dato’ Mohd Sumali Reduan, sebagai penghargaan kepada pemain dan pegawai yang telah membawa pulang dua gelaran dunia buat Malaysia.

Majlis turut menyaksikan sokongan berterusan daripada Telekom Malaysia (TM) Group selaku penaja utama PSM yang berkongsi kegembiraan atas kejayaan skuad negara menerusi pemberian ganjaran istimewa kepada pemain dan pegawai pasukan.
Bagi pemain serta pegawai yang terbabit dalam acara Berpasukan Regu, mereka menerima sebuah televisyen Samsung bersaiz 55 inci berserta langganan Unifi TV FIFA World Cup 2026.
Selain itu, pemain yang mewakili negara dalam acara Kuadran turut menerima sebuah iPad 11 inci setiap seorang sebagai penghargaan atas kejayaan yang dilakar di pentas dunia.
Penghargaan itu telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) TM, Nor Fadhilah Mohd Ali.
Tidak ketinggalan, BHPetrol turut menzahirkan penghargaan kepada skuad kebangsaan menerusi sumbangan 50,000 ePoints serta baucar bahan api bernilai RM1,000 kepada setiap penerima.

Inisiatif itu mencerminkan sokongan berterusan syarikat berkenaan terhadap usaha atlet yang telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Penghargaan berkenaan telah disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BHPetrol Malaysia, Fardzi Shah Razali.
Dalam pada itu, Pengurus Pasukan, Dato’ Abu Jimi Samat dan Penolong Pengurus Pasukan, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit, turut mengambil inisiatif untuk memberikan penghargaan secara peribadi kepada pemain-pemain yang telah berjuang membawa kejayaan kepada negara.

Mereka menyampaikan saguhati sebanyak RM1,000 kepada setiap pemain dalam acara Berpasukan Regu dan RM1,000 kepada setiap pemain acara Kuadran sebagai tanda penghargaan atas komitmen serta pengorbanan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan.
PSM berharap penghargaan dan insentif yang diberikan bukan sahaja menjadi pengiktirafan terhadap kejayaan yang telah dicapai, malah mampu menjadi pemangkin semangat kepada seluruh pemain dan pegawai pasukan untuk terus berusaha mencipta lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa pada masa hadapan.
Pada masa sama, PSM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Telekom Malaysia (TM) Group atas komitmen berterusan sebagai penaja utama serta sokongan padu yang diberikan dalam pembangunan dan kemajuan sukan sepaktakraw negara.

Penghargaan yang sama turut ditujukan kepada BHPetrol, rakan-rakan penaja, rakan strategik serta semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan skuad kebangsaan dan penganjuran TM ISTAF Sepaktakraw World Cup 2026 berjalan dengan jayanya.
Kejayaan merangkul dua gelaran juara dunia itu bukan sahaja menjadi kebanggaan warga sepaktakraw negara, malah merupakan kejayaan seluruh rakyat Malaysia.
Pencapaian itu membuktikan bahawa melalui kesatuan, komitmen dan sokongan padu daripada pelbagai pihak, sukan sepaktakraw negara mampu terus berdiri megah serta bersaing secara kompetitif di pentas dunia, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara kuasa besar dalam arena sepaktakraw antarabangsa.

