33.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 17, 2026

Sumali Reduan bawa revolusi sepak takraw Malaysia ke pentas dunia – Norza Zakaria

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria secara terbuka mengangkat Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan sebagai “Bapa Transformasi Sepak Takraw Negara” susulan kejayaan besar beliau memulihkan serta melonjakkan semula prestasi sukan warisan negara itu di peringkat domestik dan antarabangsa sejak mengambil alih kepimpinan PSM pada tahun 2022.

Pengiktirafan berprestij itu diumumkan oleh Mohamad Norza ketika menyempurnakan Majlis Pembukaan TM ISTAF Sepaktakraw World Cup Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung penuh gemilang, baru-baru ini.

Menurut beliau, gelaran itu amat bertepatan dengan komitmen tinggi serta kepimpinan progresif yang ditunjukkan oleh Mohd Sumali dalam mengubah landskap sukan sepak takraw negara sehingga kembali berada pada landasan terbaik selepas melalui pelbagai cabaran sebelum ini.

Di bawah kepimpinan Mohd Sumali, sukan sepak takraw negara bukan sahaja berjaya mencapai kestabilan dari sudut pengurusan dan pembangunan, malah turut mencipta pelbagai kejayaan membanggakan di pentas antarabangsa.

Antara pencapaian paling signifikan termasuk kejayaan skuad kebangsaan meraih dua pingat emas pada Piala Dunia 2024 sebelum meneruskan momentum cemerlang dengan menewaskan musuh tradisi, Thailand, sekali gus menamatkan kemarau 34 tahun pingat emas acara Regu Berpasukan pada Sukan SEA 2025.

Mohamad Norza berkata, kejayaan yang dilakar itu membuktikan bahawa sepak takraw Malaysia kini kembali berada dalam kelompok elit dunia hasil perancangan strategik dan transformasi menyeluruh yang digerakkan oleh kepimpinan PSM.

“Saya memuji peranan Mohd Sumali yang wujud sebagai ‘Bapa Transformasi Sepak Takraw’ kerana berjaya mengemudi kebangkitan sukan berkenaan.

“Kejayaan skuad negara membuktikan sepak takraw Malaysia kini berada di atas landasan yang sangat tepat,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pengisytiharan Stadium Titiwangsa sebagai “Home of Sepaktakraw” pada 23 Februari lalu sebagai satu lagi simbol kebangkitan baharu sukan itu hasil kerjasama erat antara PSM dan kerajaan Malaysia.

Langkah itu diyakini mampu memperkukuh pembangunan sukan sepak takraw secara lebih sistematik serta melahirkan lebih ramai bakat baharu pada masa depan.

Selain itu, kejayaan PSM menjalinkan kerjasama strategik jangka panjang bersama Telekom Malaysia turut dilihat sebagai pemangkin penting kepada pembangunan berterusan sukan sepak takraw negara.

Menerusi kerjasama itu, Telekom Malaysia tampil sebagai Penaja Utama TM ISTAF Sepaktakraw World Cup 2026 selain menjadi Rakan Rasmi Pasukan Sepak Takraw Kebangsaan.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, Telekom Malaysia turut menaja jersi rasmi, pakaian latihan serta kelengkapan pasukan menggunakan jenama sukan adidas bagi skuad kebangsaan Malaysia.

Kerjasama yang dimeterai sejak Mei 2025 itu juga merangkumi sokongan terhadap penyertaan pasukan negara dalam pelbagai kejohanan utama termasuk ASTAF Asian Cup, SEA Games, Asian Games dan ISTAF World Cup.

Malah, Telekom Malaysia turut memainkan peranan penting dalam pembangunan akar umbi menerusi pelaksanaan program National Sepak Takraw Development Programme (NSTDP) serta Kursus Latihan Asas Sukan (KLAS) yang bertujuan memperkukuh pembangunan bakat muda sepak takraw negara.

Majlis berprestij itu turut dihadiri Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), Abdul Halim Kader serta wakil pengurusan Telekom Malaysia, Shanti Jusnita Johari.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Norza yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi zon Asia berkata,  MOM memberi komitmen penuh untuk bekerjasama rapat dengan PSM dan ISTAF dalam usaha membawa sepak takraw ke pentas Sukan Olimpik pada masa hadapan.

Beliau berkata, usaha itu adalah misi besar yang mampu mengangkat martabat sepak takraw ke tahap lebih tinggi sebagai sukan bertaraf global sekali gus memperluaskan pengaruh sukan warisan Asia itu di seluruh dunia.

Dengan berlangsungnya TM ISTAF Sepaktakraw World Cup 2026 di Stadium Titiwangsa, peminat sukan tanah air kini menaruh harapan tinggi agar momentum transformasi yang digerakkan Mohd Sumali akan terus menghasilkan kejayaan lebih besar, sekali gus memastikan Malaysia kekal sebagai antara kuasa utama sepak takraw dunia.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular