editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Mengambil keberkatan hari Jumaat serta melihat pengaruh besar hiburan dan seni dalam kehidupan generasi muda masa kini, pengasas Tarbiah Sentap, Adnin Roslan tampil memperkenalkan sebuah projek seni dakwah moden dikenali sebagai “Nasyid Friday” yang dijangka menjadi gelombang baharu kebangkitan hiburan Islamik dan kerohanian di Malaysia.
Menurut Adnin Roslan, projek berkenaan diwujudkan selepas melalui pelbagai proses perancangan dan pertimbangan bersama rakan seperjuangan yang berkongsi misi sama dalam usaha mengangkat semula industri nasyid tanah air menerusi pendekatan lebih segar, moden dan dekat dengan jiwa anak muda.
Beliau berkata, nasyid bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya merupakan medium dakwah yang mampu menyentuh hati manusia dan membawa masyarakat kembali mengingati Tuhan dalam suasana dunia moden yang semakin dipenuhi hiburan tanpa arah.
“Nasyid Friday akan menjadi gelombang untuk menghidupkan semula seni yang membawa manusia kembali mengingati Tuhan.
“Kami memilih hari Jumaat kerana ia penghulu segala hari dan kami mahu menjadikan setiap Jumaat sebagai hari untuk menyebarkan karya yang membawa nilai positif, ketenangan dan dakwah melalui seni,” katanya.

Projek Nasyid Friday dijadual bermula pada Jun 2026 sehingga Januari 2027 dengan pembabitan lapan penyanyi dan kumpulan nasyid yang akan menghasilkan karya-karya kerohanian lengkap bersama video muzik berkualiti tinggi.
Antara yang terbabit ialah Adnin Roslan, Aniq Muhai, Aswan Anwar, One Path, Rabithah, Fetya, The Truth dan Autotune Band.
Adnin berkata, visi utama projek itu adalah menyediakan alternatif hiburan yang lebih sihat dan mendidik buat generasi muda yang kini sangat dekat dengan muzik, media sosial dan kandungan visual.
Beliau percaya dakwah juga perlu bergerak seiring perubahan zaman dengan menggunakan medium yang lebih relevan dan mudah diterima masyarakat khususnya golongan muda.
“Hari ini masyarakat sangat memerlukan hiburan alternatif yang mendidik jiwa dengan kualiti setara hiburan sedia ada.
“Saya percaya masyarakat masih cintakan karya yang mempunyai roh dan makna, cuma generasi hari ini memerlukan pendekatan yang lebih segar dan relevan dengan dunia mereka,” katanya lagi.

Selain mahu menghidupkan semula industri nasyid tempatan, projek itu turut memberi fokus kepada isu-isu berkaitan remaja dan anak muda melalui mesej dakwah yang disampaikan dalam bentuk muzik, visual dan penceritaan moden.
Sementara itu, wakil kumpulan Fetya, Bilal berkata, kumpulan itu memilih untuk menghasilkan lagu-lagu bertemakan Palestin sebagai simbol kebebasan, perjuangan dan kekuatan umat Islam.
Menurut beliau, pengisian berkaitan Palestin dalam album Fetya bagi projek Nasyid Friday bukan sekadar mesej kemanusiaan, malah bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai nilai perjuangan, kekuatan iman dan kesatuan ummah.
“Palestin adalah simbol kebebasan dan kemerdekaan. Banyak perkara kita belajar daripada mereka termasuk kekuatan iman, tarbiyah jihadiyah dan kesatuan politik.
“Fetya mahu mengajak masyarakat menyedari realiti ini dan mengambil posisi,” katanya.
Bilal turut berharap projek berkenaan mampu mencetuskan “tsunami nasyid” di Malaysia sekali gus mengembalikan kegemilangan industri nasyid tanah air sehingga ke peringkat antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, wakil kumpulan Rabithah, Ridwan berkata, karya yang dihasilkan menerusi Nasyid Friday bukan bertujuan hiburan semata-mata, sebaliknya menjadi medium untuk mendidik jiwa dan mendekatkan masyarakat kepada Allah serta Islam.
“Karya-karya ini dihasilkan sebagai alternatif hiburan yang menenangkan hati dan mengajak manusia kembali dekat kepada Allah ketika masyarakat semakin dahagakan hiburan yang membawa makna,” katanya.
Lebih menarik, projek Nasyid Friday turut mendapat sokongan beberapa selebriti dan penyanyi tempatan yang akan tampil sebagai artis jemputan dalam tiga daripada lapan album yang dirancang.
Antara nama yang bakal terbabit ialah Saiful Apek, Anas Tahir dan Alif Azhari yang kini masih berada dalam peringkat produksi.
Mengulas lanjut mengenai visi besar Tarbiah Sentap, Adnin berkata pihaknya mahu membina sebuah ekosistem dakwah moden yang bukan sahaja menghiburkan, malah memberi kesan kepada hati, pemikiran dan kehidupan masyarakat.
Menurutnya, sejarah perkembangan Islam di Alam Melayu sendiri membuktikan seni dan budaya pernah menjadi medium dakwah yang sangat berkesan menerusi penggunaan syair, qasidah, penulisan serta penceritaan yang dekat dengan masyarakat.
“Seni bukan sesuatu yang asing dalam dakwah, malah ia adalah medium yang sangat kuat untuk menyampaikan mesej kebaikan kepada masyarakat,” katanya.
Seiring pelaksanaan projek Nasyid Friday, Tarbiah Sentap juga merancang menghasilkan sekitar 200 kandungan dakwah dan video media sosial setiap bulan selain menerbitkan lapan sketsa dakwah bulanan yang disasarkan kepada generasi muda.
Malah, pihaknya turut merancang memperluaskan penghasilan buku-buku dakwah dan menganjurkan jelajah dakwah di seluruh negara sebagai usaha memperkukuh gerakan dakwah kreatif melalui seni.
“Saya mahu buktikan bahawa karya yang mengingatkan manusia kepada Tuhan juga boleh dihasilkan dengan kualiti tinggi, visual yang cantik, susunan muzik moden dan mesej yang menyentuh hati,” katanya.
Dengan pelbagai perancangan yang sedang giat dilaksanakan, Nasyid Friday diharapkan mampu menjadi titik permulaan kepada kebangkitan baharu seni dakwah moden di Malaysia sekali gus membuka ruang lebih luas kepada generasi muda mendekati Islam melalui seni yang lembut, indah dan penuh makna.

