editormaxinfo@gmail.com
PETALING JAYA – Pelakon dan pengarah terkenal, Pierre Andre mengakui beliau mungkin akan meninggalkan genre filem seram sekiranya karya terbaharunya, Nar’sata: Sekutu Setan gagal mendapat sambutan penonton di pawagam.
Pierre atau nama sebenarnya Muhammad Pierre Andre Nazrul Andre, 41, berkata keputusan itu hadir selepas beliau melalui pengalaman pahit apabila dua karya terdahulu, Jangan Pandang Belakang 2 dan Dajjal menerima pelbagai kecaman daripada penonton.
“Sekiranya filem ini tidak pergi jauh, ini Adalah filem seram terakhir saya,” katanya ketika ditemui pada Malam Gala Filem Nar’sata: Sekutu Setan, baru-baru ini.
Menurut Pierre, beliau masih terkesan dengan reaksi negatif yang diterima selepas tayangan Jangan Pandang Belakang 2 sehingga membuatkan dirinya mula mempersoalkan pendekatan pengarahan yang digunakan dalam filem seram sebelum ini.
“Bila JPB 2 keluar, memang teruk saya dikecam. Memang saya cakap, matilah. Saya terus fikir Dajjal mungkin akan menerima kecaman lebih teruk,” katanya.

Katanya, pengalaman itu membuatkan beliau mula mengkaji semula kelemahan dalam karya arahannya demi memahami kehendak penonton tempatan yang kini semakin berubah.
“Saya kaji semula apa kekurangan yang boleh diperbaiki. Saya tengok banyak penonton kita tidak suka jalan cerita yang perlahan, tidak suka visual terlalu gelap dan tidak suka penggunaan asap yang berlebihan.
“Saya sendiri suka konsep perlahan, tetapi penonton kita tidak suka,” katanya.
Tambah beliau, perubahan corak tontonan masyarakat terutama pengaruh media sosial seperti TikTok turut memainkan peranan besar dalam membentuk citarasa penonton masa kini yang lebih cenderung kepada kandungan pantas dan intens.
“Kita selalu tengok TikTok dan menatal dengan pantas. Fikiran kita sudah selesa dengan sesuatu yang pantas,” katanya.

Dalam pada itu, Pierre turut mengakui beliau menyimpan impian untuk menghasilkan filem yang bukan sahaja mendapat pengiktirafan, malah mampu mencatat kutipan tinggi di pawagam.
“Sekiranya saya diberi pilihan sama ada menang pengarah terbaik atau mendapat kutipan mencecah RM10 juta, saya akan pilih kutipan RM10 juta itu,” katanya.
Bagaimanapun, Pierre berkata, sekiranya beliau tidak lagi menghasilkan filem seram selepas ini, genre romantik komedi akan menjadi pilihan untuk diterokai semula kerana ia adalah cinta pertamanya dalam dunia pengarahan.
“Kalau terhenti di situ, saya akan kembali kepada cinta pertama saya iaitu romantik komedi,” katanya.
Sementara itu, filem terbitan Metrowealth (MIG) itu dilihat sebagai percubaan berani dalam genre thriller gore dengan pendekatan lebih ekstrem dan matang berbanding karya terdahulu syarikat produksi berkenaan.
Menurut penerbit, David Teo, Nar’sata: Sekutu Setan adalah satu taruhan berisiko tinggi, namun diyakini mampu membawa kelainan kepada landskap filem tempatan.
Filem itu mengisahkan Balqis, seorang wanita yang hidupnya musnah selepas menjadi mangsa keganasan sekumpulan lelaki sebelum diselamatkan oleh seorang wanita tua misteri bernama Nek Bayu.

Pertemuan itu membawa Balqis ke dalam sebuah perjanjian ngeri yang akhirnya menjerumuskannya ke jalan dendam dan kuasa gelap.
Dipenuhi babak aksi ganas serta elemen gore yang lebih berani, filem ini dijangka memberikan pengalaman tontonan yang intens khusus buat peminat genre thriller seram tempatan yang mahukan kelainan di pawagam.
Nar’sata: Sekutu Setan turut menampilkan barisan pelakon popular seperti Trisha Ooi dan Mawar Rashid sebagai teraju utama, selain dibantu pelakon muda seperti Fadlan Hazim, Khenobu, Dai Fuad, Imranul Effendy dan Aniq Suhair.
Kekuatan lakonan filem ini turut diperkukuhkan menerusi penampilan pelakon berpengalaman seperti Khatijah Tan, Namron, Wan Hanafi Su, Ashraf Muslim serta Vanidah Imran.
Filem Nar’sata: Sekutu Setan dijadual menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 21 Mei 2026.

