editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Ratu Rock negara, Ella bakal kembali menggegarkan Utara tanah air menerusi penganjuran konsert berskala besar, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru yang dijadual berlangsung pada 25 Julai 2026 di Stadium Negeri Pulau Pinang.
Pengumuman rasmi mengenai konsert berprestij itu dibuat menerusi sebuah sidang media khas sekali gus menandakan kesinambungan kejayaan luar biasa siri konsert terdahulu di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berjaya menghimpunkan lebih 55,000 penonton.
Penganjuran konsert kali ini membawa makna yang cukup istimewa buat Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin apabila ia menjadi simbol kepulangan beliau ke negeri kelahirannya, Pulau Pinang, bersempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-60 pada Julai depan.
Konsert berkonsepkan “homecoming” itu dijangka menjadi momen penuh emosi yang menghubungkan perjalanan seni Ella selama hampir empat dekad bersama para peminat setia, khususnya di wilayah Utara yang sentiasa mengikuti perkembangan karier beliau sejak awal pembabitan dalam industri muzik tanah air.
Lebih menarik, konsert berkenaan turut mencipta sejarah tersendiri apabila Ella bakal menjadi artis pertama yang menganjurkan konsert solo di stadium itu yang turut dikenali sebagai Stadium Batu Kawan.
Selain menampilkan persembahan muzik berskala besar, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru turut membawa mesej kemanusiaan menerusi kempen Peace. Love. Rindu. yang menggabungkan elemen hiburan dan tanggungjawab sosial.

Menerusi pendekatan itu, setiap pemegang tiket akan diberi peluang memilih badan kebajikan pilihan mereka iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang bagi kategori Peace, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) untuk tema Love serta Yayasan Kebajikan Artis Tanahair bagi Rindu.
Sebanyak RM2 daripada setiap tiket yang dijual akan disalurkan kepada badan kebajikan yang dipilih, sekali gus menjadikan konsert terbabit lebih bermakna bukan sahaja kepada peminat tetapi juga masyarakat.
Bagi memastikan lebih ramai peminat berpeluang menjadi sebahagian daripada “Ahli Majlis Tertinggi”, pihak penganjur turut menawarkan harga tiket serendah RM39 sebagai langkah menjadikan konsert ini lebih inklusif dan mampu dinikmati pelbagai lapisan masyarakat.
Pemegang tiket Aras 3 bagi konsert terdahulu di Kuala Lumpur juga akan menikmati akses awal pembelian tiket bermula 8 Mei 2026 selain diskaun istimewa untuk kategori tertentu.
Jualan tiket umum pula dibuka secara rasmi bermula 11 Mei 2026 menerusi laman web rasmi Hitman Live.
Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal berkata, penganjuran konsert itu adalah usaha strategik bersama Rockqueen dalam memperluaskan pengalaman muzik kepada peminat di luar Lembah Klang.
Menurut beliau, Majlis Tertinggi Rockqueen bukan sekadar sebuah konsert hiburan, sebaliknya sebuah gerakan yang menyatukan peminat menerusi muzik, emosi dan mesej yang dibawa.

“Membawanya ke Pulau Pinang membolehkan kami mendekatkan pengalaman ini kepada peminat di wilayah Utara dan dalam masa sama membuka ruang kepada lebih ramai untuk menjadi sebahagian daripada Ahli Majlis Tertinggi,” katanya.
Sementara itu, Ella turut menyifatkan konsert terbabit sebagai refleksi kepada perjalanan seni panjangnya dalam industri muzik selain platform untuk terus menyampaikan mesej Peace. Love. Rindu. kepada masyarakat.
Menurut beliau, sambutan ulang tahun ke-60 dan hampir empat dekad penglibatannya dalam dunia seni memberikan makna yang cukup mendalam terhadap penganjuran konsert berkenaan.
Ella turut mengakui kepulangannya ke Pulau Pinang menjadi satu momen yang sangat dekat di hati kerana ia bukan sahaja membawa beliau kembali ke tempat asal, malah mendekatkan dirinya dengan peminat setia yang sentiasa menyokong perjalanan karier seninya sejak dahulu.
Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru turut mendapat sokongan beberapa rakan media dan penyiaran utama termasuk ERA FM, Sinar FM, MIX FM dan Lite FM sebagai rakan radio rasmi, manakala Astro Gempak bertindak sebagai rakan media digital rasmi.

