32.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, June 24, 2026

TV AlHijrah rai 16 tahun dengan pelancaran AlHijrah Media Nexus

editormaxinfo@gmail.com

CYBERJAYA – TV AlHijrah melakar satu lagi sejarah penting dalam industri penyiaran Islam negara apabila meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-16 dengan pelancaran AlHijrah Media Nexus (AMN), sebuah pusat sokongan operasi baharu yang dibangunkan di Cyberjaya bagi memperkukuh keupayaan penyiaran dan transformasi digital organisasi.

Majlis pelancaran AlHijrah Media Nexus telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Zulkifli Hassan, serta disaksikan oleh Pengerusi TV AlHijrah, barisan Ahli Lembaga Pengarah dan warga kerja organisasi.

Penubuhan AMN adalah langkah strategik TV AlHijrah dalam memastikan kesinambungan operasi penyiaran yang lebih kukuh, moden dan berdaya tahan selaras dengan perkembangan pesat teknologi media masa kini.

Kemudahan baharu itu dibangunkan bagi menyediakan infrastruktur sokongan yang lebih selamat, responsif dan efisien, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan organisasi dalam menghadapi cabaran industri penyiaran yang semakin dinamik.

Selain berfungsi sebagai pusat sokongan operasi, AMN turut dilengkapi dengan studio mini yang mampu menyokong pelbagai keperluan penerbitan kandungan dan penyiaran.

Kemudahan terbabit dijangka memainkan peranan penting dalam memastikan penyampaian kandungan kepada penonton dapat diteruskan secara konsisten, lancar dan berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, sambutan ulang tahun ke-16 bukan sekadar menandakan kejayaan organisasi sepanjang lebih satu dekad beroperasi, malah menjadi titik permulaan kepada agenda transformasi yang lebih menyeluruh bagi memastikan TV AlHijrah terus relevan, diyakini dan mampu memenuhi keperluan masyarakat.

Menurut beliau, selama 16 tahun TV AlHijrah telah berkembang sebagai platform penyiaran Islam yang menyampaikan mesej ilmu, dakwah dan inspirasi kepada rakyat Malaysia, sekali gus memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan ummah menerusi kandungan yang berkualiti dan berimpak.

“Pelancaran AlHijrah Media Nexus menjadikan sambutan ulang tahun kali ini lebih bermakna kerana ia bukan sekadar membabitkan pembangunan infrastruktur, malah mencerminkan kesediaan TV AlHijrah untuk terus berkembang seiring perubahan landskap media dan teknologi yang semakin pantas.

“Dalam dunia penyiaran yang semakin bergantung kepada teknologi, kekuatan sesebuah organisasi bukan hanya terletak pada kandungan yang disampaikan, tetapi juga pada keupayaan sistem dan infrastrukturnya untuk beroperasi secara stabil, selamat dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata, AMN adalah satu pelaburan strategik yang bakal membantu TV AlHijrah memperkukuh kecekapan operasi selain memastikan perkhidmatan penyiaran yang disampaikan kepada penonton terus berada pada tahap terbaik dan diyakini.

Sebagai sebuah media Islam yang membawa amanah dakwah dan pembangunan masyarakat, katanya, TV AlHijrah perlu sentiasa bersedia untuk memenuhi keperluan industri serta jangkaan penonton yang sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa.

Pelancaran AMN juga selaras dengan aspirasi TV AlHijrah untuk memperkukuh agenda transformasi digital organisasi, di samping meningkatkan mutu pengurusan operasi dan infrastruktur penyiaran ke tahap yang lebih mampan, moden dan berdaya tahan.

Dalam perkembangan sama, sempena ulang tahun ke-16 penubuhannya, TV AlHijrah turut memperkenalkan inisiatif Bincang Niaga 2026 yang dirangka khusus bagi membantu usahawan, syarikat dan organisasi memanfaatkan kekuatan ekosistem media TV AlHijrah untuk memperkukuh penjenamaan, meningkatkan keterlihatan produk dan perkhidmatan serta memperluaskan capaian pasaran.

Program yang berlangsung dari 22 Jun hingga 31 Julai 2026 itu menawarkan peluang kepada peserta untuk meneroka pelbagai platform promosi di bawah ekosistem TV AlHijrah, termasuk televisyen, digital, media sosial dan pelbagai platform penyiaran lain yang dimiliki organisasi berkenaan.

Melalui Bincang Niaga 2026, peserta bukan sahaja berpeluang meningkatkan keterlihatan jenama dan memperluaskan jangkauan pasaran, malah turut menerima sokongan strategik daripada pasukan profesional TV AlHijrah dalam merancang kempen promosi yang lebih efektif dan bersesuaian dengan keperluan perniagaan masing-masing.

Bagi menggalakkan penyertaan yang lebih meluas, TV AlHijrah turut menawarkan diskaun istimewa sehingga 40 peratus kepada peserta yang mendaftar sepanjang tempoh promosi yang ditetapkan, tertakluk kepada terma dan syarat.

Sementara itu, TV AlHijrah juga membawakan pelbagai program khas bersempena kedatangan Awal Muharam bagi mengajak masyarakat menghayati makna hijrah yang sebenar serta memperkukuh nilai ilmu, perpaduan, kasih sayang dan pembangunan ummah yang menjadi tunjang perjuangan stesen penyiaran Islam tersebut sejak penubuhannya.

Antara program istimewa yang disusun termasuk siaran khas Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun, program Dakwah Live: Hijrah Ummah, Assalamualaikum Khas Awal Muharam, Dari Hati: Wanita, tayangan telemovie Sujudku serta drama pendek Bukan Kerana Itu yang bakal menemui penonton sepanjang musim sambutan Awal Muharam.

Seiring dengan usia 16 tahun penubuhannya, TV AlHijrah menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh peranan sebagai penyiar Islam negara yang bukan sahaja menawarkan kandungan berkualiti dan berimpak tinggi, malah disokong oleh sistem operasi yang moden, stabil dan berdaya tahan dalam memenuhi keperluan penonton serta landskap industri penyiaran yang sentiasa berkembang.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular