33.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 21, 2026

Bartech Beautee angkat keyakinan wanita, sasar tembusi pasaran Asia

editormaxinfo@gmail.com

RAWANG – Industri kecantikan tempatan terus menunjukkan perkembangan positif dengan kemunculan pelbagai jenama baharu yang mengetengahkan inovasi serta memenuhi keperluan pengguna moden.

Antara jenama yang semakin mencuri perhatian ialah Bartech Beautee yang tampil dengan pendekatan tersendiri dalam membantu wanita meningkatkan kecantikan dan keyakinan diri.

Jenama di bawah Bartech Empire itu dilihat semakin aktif memperkenalkan pelbagai produk kecantikan yang menepati citarasa pengguna masa kini, khususnya wanita yang mahukan penjagaan diri yang lebih praktikal, selamat dan berkualiti.

Pengasas dan Pengarah Bartech Empire, Nurul Adlinna Mohammad Bakri berkata, selain memberi fokus terhadap kecantikan luaran, Bartech Beautee turut menitikberatkan aspek keyakinan diri dan gaya hidup sihat menerusi rangkaian produk yang dihasilkan berdasarkan trend serta permintaan semasa pengguna.

Menurut beliau, setiap produk yang diperkenalkan melalui proses penyelidikan dan pemilihan bahan secara teliti bagi memastikan ia sesuai digunakan oleh pelbagai lapisan pengguna.

“Wanita hari ini bukan sahaja mencari produk kecantikan yang berkesan, tetapi juga mahu jenama yang memahami keperluan gaya hidup mereka.

“Kami mahu tampil sebagai jenama yang dekat dengan pengguna serta memberi pengalaman penjagaan diri yang lebih menyenangkan,” katanya.

Dalam masa sama, Bartech Beautee turut aktif memperkukuhkan pengaruh di platform digital dan media sosial bagi mendekati lebih ramai pengguna terutama generasi muda yang semakin peka terhadap penjagaan diri dan penampilan.

Pendekatan pemasaran moden serta sokongan komuniti pengguna yang semakin berkembang menjadikan jenama tempatan itu antara syarikat yang berpotensi untuk terus berkembang dalam industri kecantikan negara.

Di sebalik kejayaan itu, Nurul Adlinna berkongsi idea menghasilkan produk kecantikan itu tercetus daripada pengalaman peribadi membabitkan anak sulungnya yang pernah berdepan situasi sukar selepas berpindah dari Kajang ke Rawang.

Menurut beliau, anaknya berubah menjadi pendiam dan kurang keyakinan diri selepas menerima komen berkaitan warna kulit daripada rakan di sekolah baharu.

Keadaan itu menyebabkan remaja berkenaan mula mencari pelbagai produk kecantikan di media sosial bagi mendapatkan kulit yang lebih cerah.

Bimbang melihat perubahan emosi anaknya, beliau mengambil inisiatif bekerjasama dengan seorang ahli kimia untuk menghasilkan formulasi produk yang lebih selamat dan sesuai digunakan.

Selepas diuji sendiri, produk berkenaan diberikan kepada anaknya sebelum mula mendapat perhatian dalam kalangan pelajar dan guru di sekolah berkenaan.

Dilancarkan secara rasmi pada tahun 2023, Bartech Beautee pantas meraih perhatian pengguna terutama menerusi platform TikTok yang menjadi medium utama jenama itu memperluaskan pemasaran digital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bartech Empire, Shaharuddin Karim berkata syarikat itu kini dalam perancangan memperkenalkan aplikasi sistem Bartech to AI yang membolehkan pengguna mengimbas keadaan kulit wajah secara dalam talian menerusi laman web rasmi mereka.

Menurut beliau, sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu bakal memudahkan pelanggan mendapatkan analisis kulit tanpa perlu hadir ke pusat kecantikan.

“Sistem AI ini membantu pelanggan mengimbas kulit tanpa perlu pergi ke pusat kecantikan.

“Selain menjimatkan masa dan kos, sistem ini juga lebih fleksibel dan efektif bagi membantu pelanggan untuk terus mendapatkan produk kami,” katanya.

Tambah beliau, Bartech Beautee turut menyasarkan untuk menembusi pasaran Indonesia dalam masa terdekat selain sedang dalam proses mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Dalam pada itu, syarikat berkenaan turut menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Bumiputera Bestbrands 2026 bagi kategori Consumer Cosmetics serta Anugerah The BrandLaureate Bumiputera BrandLeadership Award Beauty & Cosmetics 2026.

Pencapaian itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Bartech Beautee sebagai antara jenama kecantikan tempatan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna dan berpotensi berkembang ke pasaran antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular