30.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 21, 2026

Jangan guna institusi Raja demi politik – Amirudin

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan semua pihak termasuk pembangkang perlu menghentikan sikap memilih-milih dalam mempertahankan institusi Raja, agama dan bangsa hanya apabila ia memberi keuntungan kepada kepentingan politik tertentu.

Beliau berkata, pendekatan sedemikian yang mempertahankan sesuatu prinsip secara bermusim dan bergantung kepada situasi politik semasa boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta kestabilan negara yang dibina atas asas perpaduan dan persefahaman antara kaum.

Menurut beliau, titah nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena sambutan Aidiladha baru-baru ini wajar dijadikan pedoman oleh semua pihak dalam memastikan perpaduan rakyat terus dipelihara.

Katanya, titah baginda hadir pada waktu yang amat penting ketika terdapat kecenderungan segelintir pihak memainkan sentimen perkauman dan memperalatkan agama serta institusi diraja demi kepentingan politik sempit.

“Titah Tuanku hadir pada waktu yang amat penting ketika wujud kecenderungan segelintir pihak meniup sentimen perkauman, memperalatkan agama dan institusi diraja demi kepentingan politik sempit,” katanya dalam satu kenyataan.

Amirudin Shari berkata, terdapat pihak yang memilih untuk berdiam diri apabila institusi diraja dihina, namun tampil bersuara apabila isu berkenaan dilihat mampu memberi kelebihan kepada agenda politik tertentu.

Beliau menekankan, Malaysia dibina atas semangat muafakat, keluhuran undang-undang dan persefahaman antara kaum, bukannya melalui budaya kebencian serta politik ketakutan yang boleh memecahbelahkan rakyat.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat supaya terus menghayati prinsip Rukun Negara secara menyeluruh termasuk memahami mukadimahnya yang menjadi asas pembentukan masyarakat bersatu padu, demokratik, adil dan progresif.

Katanya, rakyat juga perlu memahami Perlembagaan Persekutuan serta sejarah pengisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj agar fakta sejarah negara tidak diputar belit demi kepentingan politik pihak tertentu.

“Malaysia ialah negara berasaskan undang-undang dengan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi yang jelas memperuntukkan Malaysia sebagai Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan,” katanya.

Tambah beliau, sebarang usaha untuk mengherotkan sejarah, menyemai kebencian kaum atau mempertikaikan kerangka Perlembagaan Persekutuan merupakan tindakan tidak bertanggungjawab dan boleh mengancam masa depan negara.

Menurutnya lagi, Kerajaan Selangor akan terus berpegang kepada prinsip perpaduan, kesederhanaan serta penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang sebagaimana yang digariskan oleh pengasas negara.

“Pengorbanan terbesar dalam negara majmuk ialah keberanian menolak kebencian. Perpaduan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan,” katanya lagi.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap pertelingkahan dan perselisihan yang semakin kerap berlaku dalam kalangan ahli politik sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Baginda bertitah, budaya perpecahan dan pertelingkahan sesama sendiri perlu dihentikan kerana ia hanya akan melemahkan orang Melayu serta umat Islam di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular