editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) digesa menentukan kedudukan Hamzah Zainudin secara kolektif tanpa dipengaruhi kepentingan individu, susulan kenyataan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Ahmad Faizal Azumu yang dilihat menolak penyertaan parti baharu pimpinan Ahli Parlimen Larut itu ke dalam gabungan berkenaan.
Gesaan itu disuarakan oleh mantan Ketua Bahagian Bersatu Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail yang menyifatkan alasan penolakan terhadap Hamzah, termasuk isu pertemuan beliau dengan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, sebagai tidak kukuh dan bersifat remeh.
Menurut beliau, Hamzah adalah seorang tokoh berpengaruh yang konsisten memperjuangkan agenda agama, bangsa dan negara, selain dilihat sebagai ikon penyatuan yang mampu memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama politik khususnya dalam kalangan parti-parti Melayu.
Beliau berpandangan kenyataan Ahmad Faizal berhubung pertemuan itu memberi gambaran seolah-olah UMNO kini dianggap sebagai musuh utama Bersatu, sekali gus berpotensi menjejaskan usaha penyatuan ummah yang lebih besar di peringkat nasional.
Tambahnya, pendekatan sedemikian boleh menggagalkan usaha membina kesepakatan politik yang lebih inklusif, terutama apabila ia datang daripada pemimpin yang didakwa kurang memahami realiti landskap politik semasa berbanding pengalaman luas yang dimiliki Hamzah.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Perikatan Nasional bukan milik mutlak mana-mana parti komponen, sebaliknya keputusan berkaitan keahlian gabungan perlu diputuskan secara musyawarah bersama semua pihak termasuk PAS sebagai antara tonggak utama gabungan itu.
Mengulas lanjut, beliau turut mempersoalkan penggunaan isu sumpah atau bai’ah sebagai justifikasi mempertahankan sesuatu pendirian, sambil menegaskan integriti dan kelayakan moral pemimpin seharusnya menjadi keutamaan dalam menentukan kepimpinan.
“Perjuangan asal Bersatu adalah untuk menentang amalan kleptokrasi agar parti itu tidak tersasar daripada prinsip perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menasihati Ahmad Faizal agar tidak mengutamakan kepentingan peribadi sehingga menjejaskan matlamat penyatuan ummah, sebaliknya kembali kepada asas perjuangan dan menunjukkan kepimpinan yang lebih berwibawa.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menyentuh perkembangan di Perak dengan menyatakan bahawa prestasi pentadbiran kerajaan negeri ketika ini dilihat lebih memberangsangkan dengan hala tuju yang lebih jelas berbanding sebelum ini.
Beliau juga menggesa semua pihak mengambil iktibar daripada titah Sultan Perak yang menyeru kerjasama merentas parti bagi menangani cabaran semasa termasuk krisis tenaga global yang turut memberi kesan kepada negara.
Menurutnya, seruan itu wajar dijadikan panduan dalam membentuk kesepakatan politik yang lebih matang dan berpaksikan kepentingan rakyat serta kestabilan negara secara keseluruhan.

