33.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 21, 2026

B.U.I.L.D.E.R.S. Industry Gala & Awards 2026 perkukuh jaringan industri dan kepimpinan negara

editormaxinfo@gmail.com


BANGI – Majlis B.U.I.L.D.E.R.S. Industry Gala & Awards 2026 berlangsung penuh gemilang apabila menghimpunkan tokoh industri, pemimpin korporat, institusi akademik serta wakil kerajaan dalam meraikan kecemerlangan, kepimpinan dan sumbangan besar terhadap pembangunan negara.


Acara berprestij yang dianjurkan bersempena B.U.I.L.D.E.R.S. Industry Forum 2026 itu menjadi platform rasmi penghargaan kepada organisasi, syarikat, institusi dan individu yang memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan negara menerusi sektor persekitaran binaan, infrastruktur, kejuruteraan, pendidikan, pelaburan dan pembangunan sosioekonomi.


Majlis dipimpin oleh Adj. Prof. Dato Sri Abdul Rani Osman selaku Canselor dan Pengerusi Kehormat Olympia Education Group bersama Tan Sri Dato’ Sri Dr. Mohamed Yusof Mohamed Noor yang disifatkan sebagai tonggak utama dalam menjayakan platform B.U.I.L.D.E.R.S. menerusi kepimpinan strategik serta komitmen berterusan dalam memperkukuh ekosistem industri persekitaran binaan dan infrastruktur di peringkat nasional serta antarabangsa.


Kehadiran pelbagai tokoh berpengaruh termasuk Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bersama wakil kanan kerajaan, delegasi antarabangsa dan pemain industri turut menyerlahkan kepentingan acara berkenaan dalam landskap profesional dan ekonomi negara.


Sepanjang majlis berlangsung, lebih 35 penerima menerima pengiktirafan menerusi pelbagai kategori yang mencerminkan kecemerlangan dan inovasi dalam sektor utama negara.


Antara kategori yang dipertandingkan termasuk Kecemerlangan Korporat, Pelaburan Strategik dan Inovasi Kewangan, Kepimpinan Pembinaan dan Infrastruktur, Kecemerlangan Akademik dan Institusi, Impak Komuniti dan Pembangunan Sosioekonomi, Kepimpinan Profesional, Transformasi Digital dan Inovasi serta Keusahawanan dan Pemerkasaan Ekonomi.


Antara organisasi dan institusi yang menerima pengiktirafan pada malam berkenaan ialah Olympia Land Sdn Bhd, World Islamic Economic Development Capital Bhd, Universiti Sains Islam Malaysia, Multimedia University, DRB-HICOM Berhad, CIDB Holdings Sdn Bhd dan Institut Keusahawanan Negara yang dilihat mewakili kekuatan serta potensi masa depan ekosistem pembangunan negara.


Selain meraikan pencapaian institusi, BIFA 2026 turut memberi penghormatan kepada tokoh kepimpinan yang berjaya membawa perubahan besar dalam industri dan komuniti menerusi inovasi, ketahanan, strategi kepimpinan serta impak jangka panjang terhadap pembangunan negara.


Sementara itu, Adj. Prof. Dato Sri Abdul Rani Osman berkata, sambutan luar biasa daripada pelbagai sektor membuktikan platform B.U.I.L.D.E.R.S. mampu menjadi pemangkin kepada kerjasama strategik antara industri, akademia dan pemain utama negara.


Menurut beliau, negara memerlukan elemen penting seperti inovasi dan kepimpinan yang cekap bagi memastikan pembangunan mampan dapat diteruskan secara lebih menyeluruh dan kompetitif.


“B.U.I.L.D.E.R.S. ini mampu membina satu rangkaian yang boleh membantu perkembangan negara.


“Jika sesebuah negara tidak mempunyai inovasi dan kepimpinan yang baik, sudah tentu sukar untuk bergerak maju.


“Sebab itu platform seperti ini penting kerana ia mencantumkan pelbagai sektor dalam satu ekosistem yang saling melengkapi,” katanya ketika ditemui media selepas majlis berkenaan.


Beliau berkata, pemilihan pemenang dibuat berdasarkan pencapaian dan sumbangan menerusi penilaian panel yang terdiri daripada pemain industri, ahli akademik serta wakil agensi berkaitan termasuk CIDB Malaysia.


Katanya, konsep B.U.I.L.D.E.R.S. yang berteraskan industri pembinaan turut merangkumi pelbagai elemen penting lain termasuk teknologi, rangkaian strategik, kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan masa depan industri.
“Semua panel digabungkan bagi memilih calon terbaik mengikut kategori yang telah ditetapkan berdasarkan keperluan industri semasa,” katanya.


Mengulas mengenai masa depan penganjuran itu, beliau berkata edisi kali ini adalah penganjuran sulung B.U.I.L.D.E.R.S., namun sambutan positif yang diterima membuka ruang untuk acara itu diteruskan sebagai platform tahunan.


Menurutnya, penyatuan pemain industri dan institusi akademik sepanjang forum serta malam gala membuktikan wujud keperluan besar terhadap jaringan kerjasama yang bukan sahaja tertumpu di peringkat tempatan, malah diperluaskan ke arena antarabangsa.


Katanya, B.U.I.L.D.E.R.S. diwujudkan bukan sekadar sebagai platform anugerah, sebaliknya sebagai ekosistem strategik yang menghubungkan kerajaan, akademia, industri dan rakan antarabangsa dalam usaha mempercepat transformasi sektor infrastruktur dan persekitaran binaan negara.


Majlis gala itu turut melengkapkan hasil strategik yang dibincangkan dalam B.U.I.L.D.E.R.S. Industry Forum 2026 yang sebelum ini memberi fokus kepada pelbagai isu global penting termasuk ESG, pembinaan digital, pembiayaan infrastruktur, bandar pintar dan pembangunan mampan.


Turut mencuri perhatian ialah pelancaran rasmi Chartered International Institute of Built Environment & Engineering, sebuah institusi antarabangsa baharu yang diwujudkan bagi memperkukuh standard profesional, kecemerlangan penyelidikan serta kerjasama rentas sempadan dalam sektor berkaitan.


Sinergi antara forum, malam gala dan pelancaran institusi global terbabit dilihat sebagai langkah jangka panjang dalam membina ekosistem infrastruktur yang lebih inovatif, mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.


Malam penghargaan berkenaan bukan hanya meraikan kejayaan semata-mata, tetapi turut mengiktiraf individu dan organisasi yang sedang membentuk masa depan Malaysia dan dunia menerusi kepimpinan serta sumbangan mereka.


Seiring perubahan landskap ekonomi, teknologi dan alam sekitar global yang semakin pesat, platform seperti B.U.I.L.D.E.R.S. Industry Gala & Awards dilihat terus relevan sebagai medium penting untuk mengiktiraf kecemerlangan, memperkukuh jaringan strategik serta mencetuskan kerjasama yang mampu membina masa depan negara yang lebih kukuh dan berdaya tahan.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular