editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Gelombang hiburan Pantai Timur bakal menggegarkan ibu negara menerusi penganjuran konsert mega Kelate Ke KL 2026 yang dijadual berlangsung pada 29 Ogos 2026 di Zepp Kuala Lumpur.
Mengangkat tema “Suaro Kito, Jiwo Kito – 100% Ori Kelate”, acara berskala besar itu dijangka menjadi platform terbesar yang menghimpunkan barisan artis popular dan kebanggaan Kelantan dalam satu persembahan istimewa yang meraikan muzik, budaya serta identiti negeri Cik Siti Wan Kembang.
Konsert yang dinanti-nantikan itu bakal menyaksikan kemunculan beberapa nama besar yang mempunyai pengaruh tersendiri dalam industri hiburan Pantai Timur termasuk Eda Ezrin, Rosalinda, Adik Waniey, Man Khan, Den Manjo, Fendi Kenali dan Aris Capella.
Kehadiran barisan artis terbabit dijangka menarik ribuan peminat dari seluruh negara, khususnya komuniti anak Kelantan yang menetap di Lembah Klang dan kawasan sekitarnya.
Lebih daripada sekadar sebuah persembahan hiburan, Kelate Ke KL 2026 tampil sebagai sebuah acara yang membawa misi memperkukuhkan jati diri, warisan seni dan budaya Kelantan kepada khalayak yang lebih luas.
Penganjuran konsert ini juga dilihat sebagai medium untuk menghubungkan komuniti anak Kelantan di perantauan dengan akar budaya mereka melalui muzik dan persembahan yang dekat dengan jiwa masyarakat Pantai Timur.
Menurut Pengarah Projek Kelate Ke KL 2026, Mas Ayie Mas Omar, konsert terbabit dirancang sebagai sebuah platform yang bukan sahaja meraikan bakat-bakat seni Kelantan, malah menjadi ruang untuk menghimpunkan anak-anak Kelantan dan peminat muzik Pantai Timur dalam satu acara berprestij yang penuh makna.
Beliau berkata, tema “Suaro Kito, Jiwo Kito” dipilih bagi mencerminkan semangat perpaduan, kebanggaan dan identiti masyarakat Kelantan yang sentiasa kuat walau di mana mereka berada.
Selain persembahan artis-artis popular, pihak penganjur turut menjanjikan pelbagai pengumuman menarik menjelang tarikh penganjuran termasuk penampilan khas, segmen kebudayaan serta beberapa kejutan eksklusif yang bakal menambah kemeriahan acara terbabit.
Penganjur juga memaklumkan maklumat berkaitan penjualan tiket akan diumumkan dalam masa terdekat.
Tiket rasmi konsert Kelate Ke KL 2026 akan dijual secara eksklusif menerusi platform Illaso.com.my, manakala tarikh jualan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi penganjur.
Orang ramai disaran mengikuti platform media sosial rasmi Kelate Ke KL 2026 bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai konsert, pengumuman artis tambahan, aktiviti promosi serta maklumat rasmi berkaitan penjualan tiket.
Dengan gabungan artis popular, elemen budaya Kelantan dan semangat kekitaan yang kuat, Kelate Ke KL 2026 dijangka menjadi antara acara hiburan terbesar yang menghimpunkan peminat muzik Pantai Timur di ibu kota tahun ini.
Konsert berkenaan bukan sahaja bakal menghidangkan persembahan berkualiti tinggi, malah menjadi simbol kebanggaan budaya yang menyatukan komuniti Kelantan dari seluruh pelosok negara.
Kelate Ke KL 2026 akan berlangsung pada 29 Ogos 2026 di Zepp Kuala Lumpur dan dianjurkan oleh Natriya Enterprise bersama Irama Entertainment.

