29 C
Kuala Lumpur
Saturday, June 20, 2026

Aina Abdul kembali dengan ‘Sadis’, sambungan emosi Berjauh-an

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas mencuri perhatian peminat muzik menerusi single Berjauh-an yang dilancarkan pada April lalu, penyanyi, komposer dan pengkarya versatil, Aina Abdul kembali mengukuhkan perjalanan seninya menerusi karya terbaharu berjudul Sadis.

Sadis adalah sebuah lagu yang membawa pendengar menyelami sisi emosi yang lebih mendalam tentang kehilangan, kerinduan dan penyesalan selepas berakhirnya sebuah hubungan.

Lebih daripada sekadar single baharu, Sadis hadir sebagai kesinambungan kepada penceritaan yang dimulakan menerusi Berjauh-an.

Jika lagu terdahulu menggambarkan tentang jarak, keretakan dan perpisahan yang berlaku dalam sesebuah hubungan, Sadis pula membawa pendengar ke fasa seterusnya, iaitu saat seseorang mula merasai kehilangan sebenar selepas insan yang pernah menjadi sebahagian penting dalam hidupnya tidak lagi berada di sisi.

Kedua-dua karya ini mempunyai hubungan yang erat dari sudut penceritaan dan perkembangan emosi, sekali gus membentuk sebuah perjalanan naratif yang saling melengkapi.

Melalui Sadis, Aina menzahirkan realiti kehidupan yang sering dialami ramai individu apabila seseorang hanya menyedari nilai dan kehadiran insan tersayang selepas kehilangannya.

Lagu yang ditulis dan digubah sepenuhnya oleh Aina Abdul itu memperlihatkan kematangan beliau sebagai seorang penulis lagu apabila mengetengahkan lirik yang jujur dan dekat dengan pengalaman manusia.

Tema seperti rindu, ego, penghargaan dan penyesalan diterjemahkan dengan penuh emosi, menjadikan karya tersebut berpotensi menyentuh hati pendengar daripada pelbagai lapisan usia.

Menurut Aina, Sadis adalah sebuah kesinambungan emosi kepada Berjauh-an yang mengangkat perjalanan selepas berlakunya perpisahan.

“Sadis adalah sebuah kesinambungan emosi daripada Berjauh-an. Kalau sebelum ini lagu berkenaan lebih menggambarkan tentang jarak dan perpisahan, Sadis pula membawa pendengar masuk ke fasa selepas kehilangan itu berlaku, saat seseorang mula menyedari nilai dan kehadiran insan yang pernah ada dalam hidupnya.

“Lagu ini sangat dekat dengan emosi yang ramai orang pernah rasa, terutama apabila kita terlalu lambat menghargai seseorang.

“Kadang-kadang apabila dia masih ada, kita tidak sedar betapa pentingnya kehadirannya. Namun apabila sudah hilang, barulah rasa rindu itu hadir dengan begitu mendalam,” katanya.

Dari sudut produksi muzik, Aina sekali lagi memilih untuk bekerjasama dengan pemuzik dan arranger dari Indonesia, Vega Antares, yang sebelum ini turut terlibat dalam pembikinan Berjauh-an.

Sentuhan Vega berjaya menghidupkan nuansa melankolik dan dramatik yang selari dengan mesej serta emosi yang ingin disampaikan menerusi lagu berkenaan.

Aina berkata, kerjasama berterusan bersama Vega Antares banyak membantu dalam merealisasikan visi muzik yang diimpikannya.

“Saya sangat teruja dapat kembali bekerjasama dengan Vega Antares untuk lagu ini. Vega adalah seorang pemuzik dan arranger yang sangat hebat dan saya rasa keserasian kami dalam menghasilkan muzik kali ini sangat kuat.

“Dia benar-benar memahami emosi dan suasana yang saya mahu sampaikan dalam Sadis,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Aina berkata, dia kini sedang giat menyiapkan album kedua yang dijangka dilancarkan pada tahun ini.

Menurutnya, Sadis antara karya penting yang bakal membentuk identiti dan perjalanan emosi dalam album terbabit.

Pelancaran Sadis juga dilihat sebagai kesinambungan kepada momentum yang dibina menerusi Berjauh-an, single utama album baharu Aina yang diperkenalkan pada 24 April 2026.

Lagu berkenaan mendapat perhatian kerana mengangkat kisah hubungan yang diuji oleh jarak dan masa, selain menampilkan pendekatan muzik yang lebih segar menerusi gabungan elemen pop moden dan sentuhan bossanova.

Sebagai sebahagian daripada strategi promosi, teaser korus lagu Sadis mula diperkenalkan kepada peminat menerusi platform TikTok dan Instagram pada 12 Jun 2026 sebelum pelancaran rasmi penuh lagu tersebut di semua platform penstriman digital pada 19 Jun 2026.

Dengan kehadiran Sadis, Aina Abdul sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai seorang pengkarya yang berani meneroka sisi emosi manusia secara telus dan mendalam.

Karya terbaharu ini bukan sahaja memperkukuhkan identitinya dalam industri muzik tempatan, malah menawarkan pengalaman mendengar yang dekat dengan realiti kehidupan, khususnya buat mereka yang pernah berdepan perpisahan, kehilangan dan penyesalan yang sukar dilupakan.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular