29 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 18, 2026

Konsert Malam Qolbu satukan jiwa sempena Maulidur Rasul

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebuah malam penuh penghayatan, selawat dan kecintaan kepada Rasulullah SAW bakal menghimpunkan ribuan pencinta seni Islamik menerusi penganjuran Konsert Malam Qolbu yang dijadual berlangsung pada 24 Ogos 2026 di Idealive Kuala Lumpur.

Dianjurkan bersempena sambutan Maulidur Rasul, program istimewa itu bukan sekadar sebuah konsert hiburan Islamik, sebaliknya menjadi platform dakwah yang menggabungkan elemen muzik, kerohanian dan refleksi diri dalam usaha mendekatkan masyarakat kepada sirah serta perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Penganjuran sulung oleh Duyufurrahman Travel & Tours itu lahir daripada rasa tanggungjawab dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW, sekali gus menjadi satu usaha untuk menyemarakkan budaya berselawat serta menghidupkan semula penghayatan terhadap nilai-nilai Islam dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Menurut wakil penganjur, Konsert Malam Qolbu adalah satu amanah besar yang dipikul oleh pihak penganjur bagi menyampaikan mesej dakwah melalui pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat moden.

“Kami melihat penganjuran ini sebagai satu amanah yang sangat besar. Tanpa Rasulullah SAW, kita tidak akan mengenal Islam seperti hari ini.

“Maka menjadi satu kebanggaan buat kami apabila diberi peluang untuk menganjurkan sebuah majlis yang mengajak masyarakat berselawat, mengenang sirah Baginda dan menyemarakkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW.

“Mungkin usaha ini kecil, tetapi jika ia mendapat keredaan Allah dan menjadi sebab kita memperoleh syafaat Rasulullah SAW, maka itu adalah sesuatu yang amat bernilai buat kami,” katanya.

Beliau turut mengajak masyarakat menjadikan kehadiran ke Konsert Malam Qolbu sebagai satu bentuk pelaburan akhirat yang mampu memberi manfaat berpanjangan kepada jiwa dan kehidupan.

“Dalam kehidupan ini kita sentiasa melabur untuk dunia. Namun sesekali, marilah kita melabur untuk saham akhirat.

“Setiap selawat, setiap doa, setiap ilmu dan peringatan yang diperoleh pada malam tersebut mudah-mudahan menjadi amal yang berpanjangan dan memberi ganjaran yang berlipat ganda,” katanya.

Mengangkat tema Islamik Nusantara Musik, Konsert Malam Qolbu akan menampilkan barisan nama besar dalam industri nasyid dan muzik Islamik serantau termasuk Opick, Mawi, Rabbani, UNIC dan The Rayhan.

Lebih menarik, persembahan yang disusun sepanjang malam tersebut bukan hanya tertumpu kepada nyanyian semata-mata, malah turut diserikan dengan segmen penceritaan berkonsepkan Gimik Pembukaan Sirah & Cahaya, persembahan Interlude Pantomim dan Visual Poetry serta penutupan penuh makna menerusi alunan Selawat Nabi yang bakal menyatukan seluruh hadirin dalam suasana ukhuwah dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Penganjur berharap Konsert Malam Qolbu mampu membuka lembaran baharu dalam landskap hiburan Islamik negara dengan membuktikan bahawa program berteraskan dakwah dan kerohanian masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan usia termasuk generasi muda.

Menurut mereka, kejayaan program Islamik di negara jiran seperti Indonesia yang sering menerima sambutan luar biasa menunjukkan masyarakat masih dahagakan pengisian yang mendidik serta menyentuh hati.

“Anak-anak muda hari ini bukan sahaja mampu menganjurkan acara hiburan, malah mampu menjadi penggerak kepada program yang membawa manfaat kepada ummah,” katanya.

Sebagai penganjuran sulung, Konsert Malam Qolbu diharapkan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif yang menghubungkan masyarakat dengan nilai-nilai Islam melalui pendekatan seni yang mendidik, menginsafkan dan memperkukuhkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Konsert tersebut turut mendapat sokongan ZAYAN sebagai radio rasmi, manakala Gempak dan Salam Musik bertindak sebagai rakan media digital. Royal Chulan The Curve pula tampil sebagai penaja hotel rasmi.

Tiket Konsert Malam Qolbu kini boleh didapati menerusi platform Ticketmelon dan Fantopia dengan harga bermula RM250 hingga RM350.

Penganjur turut menyediakan kategori tiket khas pelajar bagi memberi peluang kepada lebih ramai golongan muda menyertai program terbabit.

Konsert Malam Qolbu adalah hasil kolaborasi antara Duyufurrahman Travel & Tours Sdn Bhd dan Aftermusic Project dengan kerjasama strategik Laskar Entertainment.

Penganjuran itu turut diperkuatkan oleh barisan tenaga muda berpengalaman dalam bidang haji dan umrah termasuk Mualim Muda Anas, juara Mualim Muda Musim Pertama, serta Mualim Muda Ashraf yang merupakan finalis program berkenaan.

Gabungan kepakaran dalam bidang dakwah, pelancongan Islamik dan industri kreatif diyakini mampu menjadikan Konsert Malam Qolbu sebagai satu acara istimewa yang bukan sahaja menghiburkan, malah memberi inspirasi serta pengisian rohani kepada masyarakat sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular