editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Belum pun ditayangkan secara rasmi di pawagam, filem aksi Chelot arahan pengarah terkenal, Adrian Teh, sudah mencipta sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi kategori Babak Aksi ‘Single Take’ Terpanjang Dalam Filem.
Pengiktirafan itu sekali gus meletakkan Chelot sebagai antara filem tempatan paling bercita-cita tinggi dari aspek teknikal dan pengarahan, selain membuktikan kemampuan industri perfileman Malaysia menghasilkan karya aksi yang mampu berdiri setanding dengan produksi antarabangsa.
Nama Adrian Teh sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi dalam genre aksi tempatan. Selepas kejayaan filem-filem pecah panggung seperti PASKAL: The Movie dan MALBATT: Misi Bakara, beliau terus dikenali sebagai pengarah yang gemar mencabar batas kemampuan produksi menerusi pendekatan yang realistik dan berskala besar.
Menerusi Chelot, Adrian sekali lagi tampil dengan sesuatu yang luar biasa apabila menghasilkan satu babak aksi tanpa suntingan yang dirakam menggunakan hanya sebuah kamera dalam satu penggambaran berterusan sejauh 1.9 kilometer.

Babak berkenaan mengambil masa selama lima minit dan 19 saat untuk disempurnakan, sekali gus melayakkannya menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kategori berkenaan.
Di sebalik kejayaan itu, pelbagai persiapan rapi perlu dilakukan bagi memastikan setiap detik dalam babak terbabit berjalan lancar.
Proses persediaan mengambil masa sehingga 150 hari, manakala raptai intensif selama 60 jam dijalankan sebelum penggambaran sebenar dilaksanakan.
Lebih mengagumkan, seramai 300 kru terbabit dalam menjayakan babak berkenaan dengan penggunaan 50 buah kenderaan prop yang diselaraskan secara teliti bagi memastikan setiap pergerakan berlaku mengikut perancangan.
Chelot diterbitkan menerusi kerjasama ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas (GSC), Astro Shaw, SunStrong Entertainment dan Marvelous Culture & Film.
Baru-baru ini, poster teaser rasmi filem berkenaan turut diperkenalkan kepada umum dengan menampilkan dua pelakon utama, Beto Kusyairy dan Shukri Yahya.

Menurut Adrian Teh, beliau sengaja mengambil masa untuk kembali ke genre aksi selepas mengarahkan MALBATT: Misi Bakara pada tahun 2022 kerana mahu meneroka pelbagai bentuk penceritaan dan pendekatan kreatif yang berbeza.
“Selepas mengarahkan MALBATT: Misi Bakara pada 2022, saya memilih untuk berundur seketika daripada dunia aksi bagi memberi ruang meneroka genre serta penceritaan berbeza, sama ada sebagai pengarah mahupun penerbit.
“Namun, kepulangan ini bukan sekadar untuk kembali menghasilkan filem aksi, tetapi saya mahu hadir dengan sesuatu yang benar-benar segar dan belum pernah disaksikan dalam sinema Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, proses merancang dan menghasilkan babak aksi tanpa suntingan itu memerlukan penelitian yang sangat tinggi kerana setiap pergerakan kamera, pelakon, kenderaan dan kru perlu berlaku dengan tepat dalam satu rakaman yang berterusan.
Menurutnya, pencapaian berkenaan adalah hasil kerja berpasukan yang membabitkan komitmen luar biasa daripada seluruh tenaga produksi.

“Perancangan dan persediaan untuk babak tanpa suntingan itu mengambil masa berbulan-bulan kerana ia memerlukan pelaksanaan yang sangat teliti pada hari penggambaran.
“Pencapaian ini bukan kejayaan individu, tetapi hasil usaha kolektif seluruh pasukan produksi yang bekerja keras untuk merealisasikannya,” katanya.
Adrian turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas sokongan yang diberikan sepanjang proses penggambaran berlangsung.
Dalam masa sama, beliau mengakui ramai yang masih tertanya-tanya mengenai maksud sebenar di sebalik tajuk filem terbabit.

“Kami yakin ramai yang tertanya-tanya apa itu Chelot. Semua persoalan itu akan terjawab apabila filem ini ditayangkan di pawagam pada Ogos nanti,” katanya.
Dengan rekod yang berjaya dicipta sebelum tayangan rasmi, Chelot kini muncul sebagai antara filem tempatan paling dinantikan tahun ini.
Gabungan aksi berskala besar, teknik penggambaran yang mencabar serta sentuhan Adrian Teh dijangka memberikan pengalaman sinematik yang berbeza kepada penonton.
Filem Chelot dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada Ogos 2026 dan berpotensi menjadi satu lagi karya penting yang mengangkat standard filem aksi Malaysia ke tahap lebih tinggi.

