editormaxinfo@gmail.com
PETALING JAYA – Industri perfileman tempatan bakal diserikan dengan kemunculan filem The Keris, sebuah karya aksi yang menggabungkan elemen sejarah, warisan Melayu dan drama kontemporari dalam usaha mengangkat semula kisah kepahlawanan yang semakin dilupakan oleh generasi muda.
Diterbitkan oleh Dr. Matheyalagan menerusi Mathe’s Production House Sdn. Bhd., filem berkenaan membawa penonton menyelami dunia yang menghubungkan dua zaman berbeza iaitu era kegemilangan Hang Tuah dan kehidupan moden, sekali gus memberikan nafas baharu kepada legenda Melayu yang menjadi sebahagian daripada identiti bangsa.
Menurut Dr. Matheyalagan, idea menghasilkan The Keris tercetus daripada kebimbangannya melihat semakin ramai golongan muda yang kurang mengenali tokoh-tokoh penting dalam sejarah Melayu termasuk Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya.
Beliau berkata, hikayat Hang Tuah yang suatu ketika dahulu begitu dekat dengan masyarakat kini semakin tenggelam dalam arus perkembangan zaman sehingga ramai generasi baharu tidak lagi mengetahui kisah perjuangan serta nilai yang dibawa oleh tokoh berkenaan.
“Apabila saya melihat ramai anak muda hari ini kurang mengenali Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya, saya merasakan sesuatu perlu dilakukan.
“Dari situlah lahirnya idea untuk menghasilkan The Keris sebagai usaha mengangkat semula sejarah lama, seni persilatan dan semangat perjuangan yang wajar diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Filem arahan Viknes Perrabu itu berkisar mengenai usaha sekumpulan individu yang cuba mendapatkan Keris Tempa Melaka, senjata milik Hang Tuah yang dikatakan memiliki keistimewaan tersendiri dan disimpan secara rahsia oleh seorang penjaga warisan.
Konflik bermula apabila seorang anggota mafia antarabangsa berusaha mendapatkan keris terbabit demi memenuhi agenda tertentu yang mampu memberikannya pengaruh dan kuasa.
Pada masa sama, perjalanan mereka menemukan pelbagai cabaran yang menguji keberanian, kesetiaan dan nilai perjuangan yang menjadi tunjang cerita.
Apa yang menjadikan The Keris berbeza daripada filem-filem lain ialah gabungan dua latar masa yang disusun dalam satu naratif, membolehkan penonton menyaksikan bagaimana legenda lama diterjemahkan dalam konteks dunia moden.
Selain mengetengahkan kisah warisan Melayu, filem berkenaan turut menampilkan pelbagai adegan aksi yang menggabungkan seni persilatan tradisional, seni bela diri moden serta aksi lagak ngeri yang mendebarkan.
Walaupun berbangsa India, Dr. Matheyalagan melihat penghasilan filem bertemakan budaya Melayu sebagai satu penghormatan kepada warisan negara yang perlu dipelihara dan diperkenalkan kepada generasi baharu.
Menurut beliau, pengalaman membesar bersama masyarakat Melayu sejak kecil telah menanam kecintaan mendalam terhadap budaya, adat resam dan nilai yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia.
“Saya membesar bersama rakan-rakan Melayu, makan dan tinggal bersama mereka di kampung. Sebagai rakyat Malaysia, saya berbangga dapat menghasilkan sebuah karya yang mengangkat budaya serta semangat pahlawan Melayu yang begitu berharga,” katanya.
Beliau turut berkongsi, projek berkenaan direalisasikan menggunakan dana sendiri tanpa menerima sebarang bantuan pembiayaan luar atau dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Sementara itu, pengarah filem, Viknes Perrabu, menyifatkan The Keris sebagai sebuah projek yang membuka lembaran baharu dalam kerjayanya selepas lebih 15 tahun menghasilkan filem-filem Tamil.
Katanya, beliau tertarik untuk mengarahkan filem berkenaan kerana kekuatan jalan cerita yang menggabungkan elemen sejarah, budaya dan identiti bangsa dalam sebuah naskhah yang mempunyai potensi besar untuk menarik perhatian penonton pelbagai kaum.
“Apabila saya membaca skrip filem ini, saya melihat potensi yang sangat besar.
“Kami menjalankan kajian mendalam mengenai keris, sejarahnya, adat Melayu serta pelbagai istilah budaya bagi memastikan elemen warisan yang dipaparkan mempunyai asas yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata, The Keris menampilkan adaptasi moden terhadap legenda Melayu, khususnya kisah pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat yang menjadi antara cerita paling ikonik dalam sejarah dan kesusasteraan Melayu.
Bagi memastikan ketepatan fakta dan nilai budaya yang diketengahkan, pasukan produksi turut menjalankan penyelidikan menyeluruh sebelum pembangunan skrip akhir dilakukan bersama Datuk Zulkiflie M. Osman.
Mengulas cabaran sepanjang penggambaran, Viknes mengakui bahawa pengalaman mengarahkan filem Melayu buat pertama kali memerlukan penyesuaian terutama dari aspek komunikasi.
“Selama ini saya banyak bekerja dalam industri filem Tamil dan menggunakan bahasa Tamil ketika memberi arahan kepada pasukan produksi.
“Dalam The Keris, komunikasi dalam bahasa Melayu menjadi antara cabaran yang perlu saya atasi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana mendapat kerjasama baik daripada pelakon-pelakon berpengalaman termasuk Datuk Jalaluddin Hassan dan Raja Azrey yang banyak membantu melancarkan proses penggambaran.
The Keris dibintangi oleh Syazlie Syazz, Julia Larica, Firdaus Luthuffi, Zainal Isa, Nik Ramly, Raja Azrey, Dnesh Murugan, Abbey Abimbola dan Datuk Jalaluddin Hassan.
Menambah keunikan filem itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut membuat kemunculan khas menerusi watak cameo.
Dengan gabungan elemen sejarah, warisan Melayu, seni persilatan dan aksi moden, The Keris dijangka menjadi antara filem tempatan yang menawarkan pengalaman berbeza kepada penonton apabila mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 2 Julai 2026.
Melalui penceritaan yang mengangkat semula semangat Hang Tuah serta nilai perjuangan yang diwarisi sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, The Keris bukan sekadar sebuah filem aksi, malah menjadi medium untuk memperkenalkan kembali sejarah dan identiti bangsa kepada generasi masa kini.

