editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Festival muzik tempatan, Asmaraloka Fest 2026 bakal kembali pada tahun depan dengan skala lebih besar dan lebih meriah selepas kejayaan penganjuran terdahulu yang mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat muzik tanah air.
Penganjuran festival itu dilihat sebagai usaha berterusan untuk mengangkat karya serta bakat artis tempatan melalui pengalaman hiburan berkualiti tinggi yang lebih dekat dengan jiwa generasi muda, selain mengekalkan konsep festival yang mampu milik dan inklusif.
Bagi edisi 2026, Asmaraloka Fest dijadual berlangsung pada 4 Julai 2026 di Ipoh Convention Centre dan dijangka menghimpunkan kira-kira 4,500 pengunjung dalam suasana penuh energi, nostalgia serta pengalaman muzik yang lebih interaktif.
Festival anjuran Fuse Muzika itu bakal menampilkan sembilan artis dan kumpulan muzik tempatan terkenal termasuk 6ixth Sense, Iamneeta, Imran Ajmain, Aizat Amdan, Sakura Band, Empty Page, After Midnight serta Jemput Dengar, selain beberapa lagi kejutan yang akan diumumkan nanti.

Berbeza dengan konsep konsert konvensional, Asmaraloka Fest 2026 menawarkan pengalaman festival yang lebih santai dan menyeluruh menerusi gabungan persembahan muzik secara langsung, zon makanan, ruang komuniti serta pengalaman visual kreatif yang dirangka khas bagi melengkapkan pengalaman pengunjung sepanjang acara berlangsung.
Menurut wakil penganjur, pihaknya memilih untuk terus meraikan bakat tempatan walaupun pasaran hiburan kini dibanjiri persembahan artis antarabangsa.
“Dalam keadaan pasaran yang semakin dipenuhi persembahan artis antarabangsa, kami di Fuse memilih untuk meraikan bakat tempatan dengan menjadikan Asmaraloka sebagai platform membuktikan bahawa artis Malaysia mampu memberikan persembahan bertaraf antarabangsa.
“Kami juga mahu memastikan pengalaman festival ini tidak menjadi eksklusif kepada segelintir pihak sahaja, sebaliknya terus kekal berbaloi dan mampu milik untuk semua golongan khususnya belia,” katanya.

Tambah beliau, Asmaraloka bukan sekadar sebuah festival hiburan, tetapi juga satu usaha memperkukuhkan industri muzik tempatan serta membuka lebih banyak ruang kepada artis Malaysia untuk terus berkembang.
Pemilihan Ipoh sebagai lokasi penganjuran turut dilihat sebagai langkah strategik dalam mengangkat potensi bandar raya itu sebagai hab kreatif dan destinasi acara muzik berskala besar.
Menurut penganjur, Ipoh dipilih bukan sekadar sebagai alternatif, tetapi kerana bandar tersebut mempunyai identiti budaya tersendiri selain semakin dikenali sebagai destinasi “healing” pilihan generasi muda.
Malah, pengiktirafan Ipoh sebagai UNESCO Creative City of Music turut menjadikan bandar raya itu lokasi ideal untuk festival muzik yang menggabungkan elemen seni, komuniti dan pelancongan.

Penganjuran Asmaraloka Fest 2026 juga selari dengan usaha Tourism Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh menerusi kempen ‘Promising Perak’ sempena Tahun Melawat Malaysia dalam memperkukuhkan industri kreatif dan sektor pelancongan negeri.
Bagi peminat yang ingin menghadiri festival berkenaan, tiket akan mula dijual secara dalam talian menerusi platform rasmi Ticket2U bermula 7 April 2026 dengan tawaran promosi ‘Early Bird’ sebanyak RM30 bagi setiap tiket untuk tempoh terhad.
Dua kategori tiket ditawarkan iaitu kategori MATI RASA berharga RM178 dan kategori PATAH HATI pada harga RM148.
Festival itu turut mendapat sokongan ERA FM dan SINAR FM sebagai rakan radio rasmi, manakala Astro Gempak bertindak sebagai rakan digital rasmi.
Orang ramai juga boleh mendapatkan perkembangan terkini mengenai festival tersebut menerusi platform media sosial rasmi Fuse Muzika Instagram.

