30.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 14, 2026

BTS, Madonna dan Shakira bakal hangatkan Final Piala Dunia 2026

editormaxinfo@gmail.com

NEW YORK – Pentas akhir FIFA World Cup 2026 dijangka menjadi lebih meriah dan bersejarah apabila ikon pop dunia Madonna, Shakira dan kumpulan sensasi K-pop BTS bakal membuat persembahan khas ala Super Bowl sempena aksi final kejohanan itu di MetLife Stadium pada 19 Julai depan.

FIFA dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan vokalis Coldplay, Chris Martin akan bertindak sebagai pengarah dan penyelaras persembahan bagi acara berprestij berkenaan.

Persembahan itu bakal menjadi sejarah baharu buat Piala Dunia apabila ia adalah kali pertama pertunjukan hiburan berskala besar diadakan ketika aksi final, sekali gus menampilkan konsep yang sinonim dengan acara akhir National Football League menerusi Super Bowl di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, pengumuman itu turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat bola sepak yang bimbang tempoh rehat separuh masa perlawanan akhir akan menjadi lebih panjang berbanding kebiasaan 15 minit.

Edisi 2026 juga dijangka menjadi Piala Dunia terbesar dalam sejarah dengan penyertaan 48 negara dan bakal berlangsung bermula 11 Jun di tiga negara tuan rumah iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Presiden FIFA, Gianni Infantino sebelum ini pernah mendedahkan perancangan berkenaan pada Mac tahun lalu sebagai usaha membawa pembaharuan dan pengalaman hiburan luar biasa kepada penonton global sempena aksi kemuncak kejohanan bola sepak paling berprestij dunia itu.

“Ini bakal menjadi detik bersejarah buat Piala Dunia FIFA dan sebuah persembahan yang selayak bagi acara sukan terbesar di dunia,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Langkah FIFA itu dilihat mengambil inspirasi daripada final Copa América 2024 di Miami sebelum ini apabila Shakira membuat persembahan separuh masa di Hard Rock Stadium yang mendapat perhatian besar peminat seluruh dunia.

Sebelum ini, final Piala Dunia Kelab FIFA di stadium sama turut menampilkan konsert khas sehingga menyebabkan waktu rehat melebihi tempoh rasmi yang ditetapkan.

Selain persembahan di stadium, Infantino turut merancang pelbagai acara sampingan termasuk program khas di Times Square sepanjang hujung minggu final bagi memeriahkan suasana kejohanan.

Acara berkenaan juga bertujuan menyokong Tabung Pendidikan Global Citizen FIFA yang menyasarkan kutipan dana sebanyak AS$100 juta (RM420 juta) untuk membantu pendidikan kanak-kanak di seluruh dunia.

Dalam perkembangan sama, Shakira turut mencuri perhatian peminat apabila memberi bayangan awal mengenai lagu rasmi Piala Dunia 2026 berjudul Dai Dai menerusi sebuah video pendek yang dirakam di Maracanã Stadium.

Menerusi klip berdurasi 67 saat itu, penyanyi yang popular dengan lagu Waka Waka (This Time for Africa) tampil di tengah padang sambil memegang bola rasmi kejohanan dikenali sebagai “Trionda” bersama sekumpulan penari berpakaian warna jersi negara bertanding termasuk Amerika Syarikat dan Colombia.

Lagu berkenaan hasil kolaborasi bersama artis Nigeria, Burna Boy dan dijangka dilancarkan secara rasmi pada Khamis.

Akaun rasmi FIFA turut berkongsi video promosi berkenaan dengan mesej ringkas berbunyi, “Kami sudah bersedia!”, sekali gus meningkatkan lagi keterujaan peminat menjelang kejohanan terbesar dunia itu. -Agensi

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular