30.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 14, 2026

Search, Wings dan XPDC bersatu dalam konsert rock epik 3 Veto

editormaxinfo@gmail.com

Foto Maestro Media

KUALA LUMPUR – Industri muzik rock tanah air bakal menyaksikan satu detik bersejarah apabila tiga kumpulan legenda, Search, Wings dan XPDC, bakal berkongsi pentas buat pertama kali menerusi Konsert 3 Veto yang dijadual berlangsung di Megastar Arena pada 1 Ogos depan.

Penganjuran konsert mega itu dijangka menjadi antara acara muzik paling dinanti peminat rock tempatan tahun ini apabila ia menghimpunkan tiga nama besar yang pernah mendominasi era kegemilangan muzik rock sekitar 1980-an dan 1990-an menerusi deretan lagu malar segar yang masih mendapat tempat di hati peminat sehingga kini.

Wakil penganjur, Ikhram Zainuddin berkata, idea untuk menyatukan ketiga-tiga kumpulan legenda itu tercetus daripada minat mendalam beliau terhadap karya mereka sejak kecil, selain mahu merealisasikan impian selepas lebih 15 tahun terbabit dalam bidang penganjuran konsert.

Menurut beliau, usaha menghimpunkan Search, Wings dan XPDC bukan sesuatu yang mudah memandangkan setiap kumpulan mempunyai jadual dan komitmen tersendiri, namun kerjasama baik daripada semua pihak termasuk pengurusan artis berjaya memastikan perancangan konsert berjalan lancar.

“Konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi satu penghargaan terhadap legasi muzik rock tempatan yang masih kuat pengaruhnya hingga hari ini.

“Ia juga menjadi platform untuk generasi lama dan baharu menikmati semula karya-karya yang pernah mencetus fenomena dalam industri muzik negara,” katanya pada sidang media Konsert 3 Veto, semalam.

Tambah beliau, antara tarikan utama konsert itu ialah gabungan tenaga pemuzik daripada ketiga-tiga kumpulan dalam satu segmen istimewa yang bakal menyaksikan tiga pemain dram, enam pemain gitar dan tiga pemain bes berada di atas pentas secara serentak.

“Bayangkan bagaimana suasana itu nanti. Ia sesuatu yang luar biasa dan mungkin sukar disaksikan dalam mana-mana konsert lain.

“Kami mahu memberikan pengalaman yang benar-benar epik kepada peminat rock tanah air,” katanya.

Selain menampilkan susunan muzik baharu untuk beberapa lagu ikonik seperti Sejati, Isabella dan Titian Perjalanan, konsert berkenaan turut bakal diperkasakan dengan penggunaan teknologi audio visual moden serta pencahayaan projection mapping bagi memberikan dimensi persembahan yang lebih dramatik dan bertenaga tanpa menghilangkan keaslian karya asal.

Sementara itu, vokalis Wings, Datuk Awie berkata, Konsert 3 Veto membawa makna besar bukan sahaja kepada kumpulan terbabit, malah kepada seluruh peminat muzik rock tempatan yang membesar dengan lagu-lagu mereka sejak beberapa dekad lalu.

Menurut beliau, peluang untuk bergabung bersama Search dan XPDC dalam satu pentas disifatkan sebagai simbol penyatuan jiwa seni serta penghormatan terhadap perjalanan panjang industri muzik rock Malaysia.

“Setiap kumpulan mempunyai sejarah, identiti dan kelompok peminat tersendiri.

“Apabila kami disatukan dalam satu konsert, ia pasti memberikan pengalaman yang cukup bermakna kepada peminat.

“Bukan sahaja mereka dapat menikmati persembahan secara langsung, tetapi kami juga berharap peminat dapat merasai kembali semangat, nostalgia dan emosi yang pernah membesarkan mereka bersama muzik kami suatu ketika dahulu,” katanya.

Konsert 3 Veto dijangka menarik ribuan peminat dari seluruh negara dan berpotensi menjadi antara konsert rock terbesar tahun ini dengan gabungan persembahan bertenaga, visual moden serta himpunan lagu-lagu legenda yang terus hidup merentasi generasi.

Tiket Konsert 3 Veto yang dijual pada harga antara RM189 hingga RM1,500 boleh didapati menerusi platform rasmi UberTickets.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular