editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Selepas lebih dua dekad mencipta nama menerusi karya balada dan pop alternatif yang dekat di hati peminat muzik tempatan, Aizat Amdan kini tampil dengan pembaharuan berani menerusi single terbaharu berjudul “Ajar Aku”, hasil kolaborasi unik bersama band post-hardcore terkenal, Sekumpulan Orang Gila atau SOG.
Diterbitkan di bawah Kasi Gegar Entertainment, lagu terbabit bukan sekadar gabungan dua nama besar dalam industri muzik tempatan, malah menjadi simbol eksperimen bunyi baharu yang menggabungkan dua dunia muzik berbeza dalam satu karya penuh emosi dan tenaga.
‘Ajar Aku’ menggabungkan kelembutan melodi serta kekuatan penceritaan emosional yang sinonim dengan Aizat Amdan bersama elemen agresif dan intensiti muzik post-hardcore yang menjadi identiti Sekumpulan Orang Gila.
Hasil gabungan itu melahirkan sebuah karya pop rock progresif dengan sentuhan sinematik moden yang memberi warna segar kepada landskap muzik tempatan.
Menariknya, lagu terbabit lahir secara spontan ketika sesi rakaman “Dari Studio Podcast”, sebuah podcast kendalian Aizat yang memfokuskan kepada proses penciptaan lagu secara langsung bersama artis jemputan.

Menurut Aizat, ahli kumpulan SOG hadir sebagai tetamu episod podcast itu pada Mei tahun lalu sebelum idea menghasilkan lagu itu berkembang secara organik sepanjang sesi rakaman berlangsung.
“Kami bermula dengan berbual tentang muzik, perjalanan seni dan pengalaman dalam industri.
“Dalam masa podcast itu juga kami mula membina idea dan akhirnya ‘Ajar Aku’ lahir secara organik daripada sesi berkenaan,” katanya.
Peminat juga boleh menyaksikan detik awal pembentukan lagu terbabit menerusi episod “Dari Studio EP34” yang dimuat naik di platform YouTube.
Dari sudut penceritaan, “Ajar Aku” membawa tema yang dekat dengan kehidupan manusia iaitu tentang keberanian untuk merendahkan ego demi menerima ilmu, kasih sayang dan bimbingan daripada orang sekeliling.
Walaupun tidak merujuk kepada satu pengalaman khusus, Aizat berkata, karya itu lahir daripada gabungan emosi, pengalaman dan pemerhatian sepanjang perjalanan hidup serta kerjayanya dalam industri muzik.
“Ia tentang manusia yang sedang mencari arah dan tidak malu untuk meminta tunjuk ajar.
“Kadang-kadang kita terlalu ego untuk menerima nasihat sedangkan proses belajar itu sendiri adalah sebahagian daripada kehidupan,” katanya.

Dari aspek muzik pula, “Ajar Aku” menjadi titik pertemuan dua karakter bunyi yang berbeza tetapi saling melengkapi.
Vokal soulful dan melodi lembut Aizat digandingkan dengan karakter vokal lebih keras dan agresif milik Raja Nazrin Shah sehingga menghasilkan dinamika yang unik sepanjang lagu berlangsung.
Menurut Aizat, cabaran terbesar sepanjang proses rakaman adalah mencari keseimbangan antara dua identiti muzik yang sangat berbeza tanpa menghilangkan karakter asal setiap artis.
“Suara saya lebih soulful manakala Nazrin pula mempunyai karakter rock yang lebih kasar. Jadi kami banyak bereksperimen untuk mencari titik tengah supaya kedua-dua identiti itu masih kekal tetapi kedengaran seimbang,” katanya lagi.
Lagu itu turut diperkukuhkan dengan sentuhan produksi daripada Anas Amdan yang bertanggungjawab menyusun muzik serta elemen strings dan tekstur sinematik bagi memberikan impak lebih dramatik kepada keseluruhan karya.
Salah satu kejutan terbesar dalam “Ajar Aku” pastinya kemunculan istimewa Yuna di penghujung lagu.
Menurut Aizat, ketika sesi rakaman berlangsung di Studio KGE, Yuna secara kebetulan berada di studio sama untuk menyiapkan album terbaharunya sebelum diperdengarkan dengan lagu itu.
Apa yang lebih menarik, bahagian vokal wanita di penghujung lagu pada asalnya hanyalah suara kecerdasan buatan (AI) yang digunakan sebagai demo sementara sebelum Yuna menawarkan diri untuk merakamkan bahagian terbabit.
“Bila Yuna dengar bahagian akhirnya, dia terus kata, ‘Biar saya yang rakamkan bahagian ini.’ Jadi daripada menggunakan AI, kami dapat sesuatu yang jauh lebih hidup dan bermakna,” kata Aizat.
Tambah beliau, Yuna juga antara individu terawal yang mempercayai potensi lagu itu termasuk memberi dorongan untuk menghasilkan video muzik rasmi.

Bagi Aizat, “Ajar Aku” bukan sekadar percubaan menggabungkan dua genre muzik berbeza, tetapi merupakan usaha memperluaskan sempadan kreativiti muzik tempatan dengan pendekatan lebih terbuka dan berani.
Beliau berharap karya berkenaan mampu diterima sebagai sebuah eksperimen muzik berkualiti tinggi tanpa mengorbankan identiti dan jiwa setiap artis yang terbabit.
“Saya berharap pendengar dapat menerima gabungan bunyi baharu ini dan melihat bahawa muzik tempatan juga mampu bereksperimen tanpa kehilangan emosi dan kejujurannya.
“Insya-Allah, saya mahu ‘Ajar Aku’ menjadi lagu yang timeless dan terus relevan walaupun masa berlalu,” katanya.
Single “Ajar Aku” kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Apple Music, Spotify dan YouTube.
Video muzik rasmi lagu itu pula diarahkan oleh Adam Sinclair dengan sentuhan artistik daripada Yuna selaku pengarah seni.

