29.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, June 10, 2026

ISN, Himalaya Sports jalin kerjasama strategik demi masa depan sukan negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR Institut Sukan Negara (ISN) secara rasmi mengumumkan Himalaya Sports sebagai Rakan Strategik Korporat institusi itu dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan negara serta memacu amalan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pengiktirafan yang diberikan kepada jenama tempatan berkenaan mencerminkan keyakinan ISN terhadap kualiti, keselamatan dan kredibiliti produk Himalaya Sports, selain mengukuhkan kerjasama antara sektor korporat dan institusi pembangunan sukan negara menerusi rangka kerja Perkongsian Awam-Swasta (PPP).

Kerjasama strategik itu dilihat sebagai satu langkah penting dalam menyokong pelbagai inisiatif pembangunan sukan, pendidikan komuniti dan program gaya hidup sihat yang memberi manfaat kepada atlet, penggiat sukan serta masyarakat umum.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, Himalaya Sports berjaya berkembang daripada sebuah jenama tempatan kepada jenama yang kini menembusi lebih 10 negara.

Pencapaian itu membuktikan kemampuan produk tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa sambil terus mengekalkan komitmen terhadap keperluan pengguna yang mengamalkan gaya hidup aktif.

Pengarah Urusan Himalaya Sports, Datuk Kenny Low berkata, pemilihan syarikat itu sebagai Rakan Strategik Korporat ISN adalah satu penghormatan besar serta pengiktirafan yang amat bermakna kepada jenama tempatan yang sentiasa komited dalam menyediakan produk berkualiti untuk rakyat Malaysia.

Menurut beliau, ISN ialah simbol kecemerlangan sukan negara dan pengendorsan yang diberikan oleh institusi itu menjadi pemangkin kepada Himalaya Sports untuk terus meningkatkan mutu produk serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem sukan negara.

“ISN adalah penanda aras kecemerlangan sukan negara. Justeru, pengendorsan yang diberikan oleh ISN kepada Himalaya Sports adalah satu pengiktirafan yang amat kami hargai dan menjadi pemangkin untuk kami terus meningkatkan mutu produk serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem sukan negara.

“Kehadiran logo ISN pada pembungkusan Himalaya Sports bukan sekadar melambangkan hubungan kerjasama strategik, malah mencerminkan keyakinan sebuah institusi sukan yang berwibawa terhadap kualiti dan keselamatan produk yang kami hasilkan untuk pengguna,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga ISN yang terbabit dalam proses pengendorsan berkenaan dan menyifatkan kepercayaan yang diberikan sebagai dorongan untuk syarikat terus melakukan penambahbaikan serta menyumbang secara positif kepada pembangunan sukan negara.

Kenny berkata, Himalaya Sports dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan individu aktif yang memerlukan produk praktikal, mudah dibawa dan sesuai dinikmati ketika menjalani aktiviti harian serta aktiviti sukan.

Diperbuat daripada Garam Himalaya asli dan diperkaya dengan gabungan rasa yang unik, produk terbabit dihasilkan bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati pilihan yang sesuai dengan gaya hidup aktif mereka.

Katanya lagi, sejak awal penubuhannya, Himalaya Sports berpegang kepada prinsip bahawa produk berkualiti tidak seharusnya menjadi satu kemewahan yang hanya boleh dinikmati oleh golongan tertentu.

“Matlamat kami sentiasa selari dengan aspirasi ‘Sukan Untuk Semua’. Atas dasar itu, Himalaya Sports ditawarkan pada harga yang mampu milik agar manfaatnya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, daripada pelajar sekolah dan atlet pembangunan hinggalah kepada individu yang mengamalkan gaya hidup aktif.

“Sebagai jenama tempatan yang kini berkembang ke lebih 10 negara, kami berbangga dapat memainkan peranan dalam menyokong usaha memperkasakan budaya sukan dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Himalaya Sports turut menyatakan komitmennya untuk menyokong aspirasi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang diterajui oleh ISN melalui pelaksanaan pelbagai program komuniti, pembangunan sukan akar umbi, pendidikan sukan dan inisiatif yang menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup aktif serta sihat.

Melalui kerjasama strategik ini, Himalaya Sports akan terbabit dalam menyokong pelbagai program dan aktiviti anjuran ISN termasuk hari terbuka, seminar, program pendidikan sukan serta aktiviti pembangunan komuniti yang memberi impak positif kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Kenny berkata, pihaknya melihat kerjasama bersama ISN sebagai satu hubungan strategik jangka panjang yang bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, malah membuka ruang kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu yang mampu menyokong pembangunan sukan negara dan memperkukuh budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kami percaya kerjasama ini bukan sekadar satu perkongsian strategik, tetapi satu komitmen bersama untuk membina masyarakat yang lebih aktif, sihat dan berdaya tahan.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan ISN atas kepercayaan yang diberikan dan berharap kerjasama ini akan terus berkembang demi manfaat komuniti sukan serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Majlis pengumuman kerjasama strategik itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Tuan Mordi Bimol dan turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi Kementerian Belia dan Sukan, Institut Sukan Negara serta wakil-wakil industri.

Kerjasama antara ISN dan Himalaya Sports ini dijangka menjadi pemangkin kepada usaha memperluas budaya sukan, memperkasakan pembangunan atlet serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat selaras dengan agenda pembangunan sukan negara.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular