editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) wajar diberikan peluang untuk meneruskan pemerintahan di Johor bagi memastikan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Mantan Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, Johor memerlukan sebuah kerajaan negeri yang stabil, berpengalaman dan berkeupayaan melaksanakan agenda pembangunan yang telah dirancang demi menjamin kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat secara berterusan.
Katanya, kestabilan politik yang dinikmati Johor ketika ini antara faktor utama yang membolehkan pelbagai dasar dan projek pembangunan dilaksanakan dengan lancar tanpa gangguan politik yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Johor memerlukan kesinambungan kepimpinan yang mampu memastikan segala perancangan pembangunan dapat diteruskan secara konsisten dan berkesan.
“Kestabilan politik yang kukuh merupakan asas penting dalam menjayakan agenda pembangunan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kekuatan identiti Bangsa Johor yang telah lama menjadi teras perpaduan rakyat turut memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang demi mencapai matlamat pembangunan bersama.
Menurutnya, semangat kebersamaan yang wujud dalam kalangan rakyat Johor menjadikan negeri itu unik dan berbeza berbanding negeri-negeri lain, sekali gus menyumbang kepada kestabilan sosial serta keharmonian masyarakat.
Dalam pada itu, Datuk Muhamad Muqharabbin berkata, rakyat Johor sentiasa menzahirkan penghormatan yang tinggi terhadap Institusi Kesultanan Johor yang menjadi tonggak penting kepada kestabilan dan kemajuan negeri.
Beliau menyifatkan kepimpinan serta peranan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebagai antara faktor yang meletakkan Johor pada kedudukan yang dihormati bukan sahaja di peringkat nasional, malah turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
Mengulas aspek pembangunan ekonomi, beliau berkata kerajaan negeri telah membuktikan keupayaannya dalam mengurus dan merancakkan ekonomi Johor melalui pelbagai inisiatif yang berjaya menarik pelaburan baharu, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan daya saing negeri.
Menurutnya, perkembangan ekonomi yang positif memberi manfaat langsung kepada rakyat dan menjadi asas kepada usaha menjadikan Johor sebagai negeri paling maju di Malaysia.
Beliau berkata, pelbagai bantuan dan inisiatif kebajikan yang diperkenalkan kerajaan negeri telah membantu meringankan beban rakyat, khususnya dalam menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.
Dalam masa yang sama, Muhamad Muqharabbin memuji kepimpinan Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi bersama barisan Exco Kerajaan Negeri yang disifatkannya sebagai komited, profesional dan sentiasa bekerja keras dalam menyelesaikan isu-isu yang dihadapi rakyat.
Katanya, prestasi yang ditunjukkan oleh kepimpinan negeri ketika ini membuktikan kesungguhan mereka dalam memperkasa pembangunan Johor serta memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.
Beliau bagaimanapun berpandangan bahawa sebarang kerjasama politik yang mungkin diperlukan pada masa hadapan perlu dilakukan secara terpilih dan berlandaskan kepentingan rakyat serta kestabilan negeri.
“Keutamaan perlu diberikan kepada usaha memperkukuhkan pembangunan Johor dan menjaga kepentingan rakyat. Sebarang bentuk kerjasama politik hendaklah berasaskan matlamat terbabit,” katanya.
Pada masa sama, beliau menggesa kerajaan negeri agar terus memainkan peranan aktif dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Johor dengan menyuarakan secara tegas kepada Kerajaan Persekutuan mengenai pelbagai isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk isu hasil minyak, struktur percukaian serta peningkatan kos sara hidup yang semakin membebankan masyarakat.
Menurut beliau, Johor memiliki potensi besar untuk muncul sebagai negeri paling maju dan berdaya saing di negara ini.
Oleh itu, kesinambungan kepimpinan yang stabil, berwibawa dan berorientasikan rakyat perlu dikekalkan bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan demi manfaat generasi masa depan.
“Johor mempunyai semua elemen untuk menjadi negeri paling maju di Malaysia. Apa yang diperlukan ialah kesinambungan kepimpinan yang stabil dan fokus kepada rakyat agar segala perancangan pembangunan dapat direalisasikan dengan lebih berkesan,” katanya.

