editormaxinfo@gmail.com
MEKAH – Suasana kebersamaan dan ukhuwah dalam kalangan Jemaah Haji Malaysia terus diperkukuhkan apabila Maktab 66 di Hotel Abraj Al-Janadyriah, Mekah, menganjurkan Kejohanan Ping Pong Beregu Piala Haji Abraj Mantan Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Rahim 2026 sebagai platform rekreasi sihat dan wadah mempererat hubungan silaturahim sesama jemaah.
Penganjuran kejohanan yang julung kali diadakan atas inisiatif jemaah sendiri itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penghuni Maktab 66, sekali gus membuktikan aktiviti riadah ringan mampu menjadi medium yang berkesan untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan jemaah selepas selesai menunaikan ibadah haji.
Mantan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, yang hadir merasmikan kejohanan itu, menyifatkan program seumpama itu sebagai satu inisiatif positif yang mampu mengisi masa lapang jemaah di luar waktu ibadah selain membantu mengurangkan tekanan dan keletihan mental sepanjang berada di Tanah Suci.
Menurut beliau, aktiviti sukan dan rekreasi ringan seperti ping pong bukan sahaja memberi ruang kepada jemaah untuk berinteraksi dengan lebih mesra, malah dapat membantu menghilangkan kebosanan selepas lebih sebulan berada di Mekah bagi menunaikan rukun Islam kelima itu.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap penganjuran kejohanan berkenaan dengan menghulurkan sumbangan sebagai hadiah kepada pemenang, selain memuji usaha jemaah yang mengambil inisiatif sendiri untuk menganjurkan program yang bermanfaat kepada komuniti haji Malaysia.
“Jemaah haji datang ke Tanah Suci untuk beribadah, namun aktiviti sampingan yang sihat dan sesuai seperti ini juga penting bagi memastikan kesejahteraan mental serta memperkukuhkan hubungan persaudaraan sesama jemaah,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian kejohanan di Hotel Abraj Al-Janadyriah, Mekah.
Dalam masa sama, Datuk Seri Abdul Azeez turut mencadangkan agar inisiatif itu diperluaskan ke maktab-maktab lain yang menempatkan Jemaah Haji Malaysia pada masa hadapan.
Menurut beliau, pertandingan antara maktab berpotensi diwujudkan sekiranya mendapat sokongan daripada pihak berkaitan.
Beliau berpandangan bahawa penyediaan kemudahan riadah seperti meja ping pong di setiap maktab boleh dipertimbangkan bagi memberi lebih banyak pilihan kepada jemaah untuk beriadah secara sihat.
Selain ping pong, pelbagai aktiviti dalaman atau permainan rekreasi lain juga boleh diperkenalkan bagi meningkatkan kesejahteraan dan pengalaman jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.

Sementara itu, Pengarah Kejohanan, Kamaruzzaman Kedah, berkata kejohanan berkenaan berjaya menghimpunkan sebanyak 12 pasangan beregu lelaki yang terdiri daripada jemaah Maktab 66.
Menurut beliau, idea penganjuran pertandingan berkenaan tercetus secara spontan selepas melihat ramai jemaah yang mempunyai kemahiran bermain ping pong dan sering berkumpul untuk bermain pada waktu lapang.
Katanya, aktiviti yang pada awalnya sekadar permainan santai akhirnya berkembang menjadi sebuah kejohanan hasil persetujuan dan sokongan bersama dalam kalangan jemaah yang melihat potensi besar aktiviti terbabit untuk mengeratkan hubungan persaudaraan.
“Alhamdulillah, kejohanan ini berjaya direalisasikan hasil semangat kerjasama dan kesepakatan jemaah.
“Pada mulanya ia hanya aktiviti santai, namun apabila melihat sambutan yang begitu baik, timbul cadangan untuk menjadikannya sebagai satu pertandingan rasmi,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Abdul Azeez Rahim atas kesudian menyumbang hadiah kepada pemenang serta merasmikan kejohanan berkenaan.
Dalam pada itu, Kamaruzzaman menyambut baik cadangan untuk memperluaskan kejohanan berkenaan ke peringkat antara maktab pada masa hadapan dan berharap usaha yang dimulakan di Maktab 66 dapat diteruskan oleh kumpulan Jemaah Haji Malaysia pada musim-musim haji akan datang.
Beliau juga berharap pihak pengurusan Tabung Haji dapat meneliti dan mempertimbangkan cadangan menyediakan lebih banyak kemudahan riadah di pusat-pusat penginapan jemaah sebagai salah satu usaha meningkatkan kesejahteraan dan keselesaan mereka sepanjang berada di Tanah Suci.
Penganjuran Kejohanan Ping Pong Beregu Piala Haji Abraj Mantan Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Rahim 2026 dilihat bukan sekadar sebuah acara sukan rekreasi, malah menjadi simbol perpaduan, semangat kebersamaan dan ukhuwah yang kukuh dalam kalangan Jemaah Haji Malaysia, selaras dengan nilai-nilai murni yang diterapkan sepanjang menunaikan ibadah haji.

