editormaxinfo@gmail.com
CYBERJAYA – Semua penyedia perkhidmatan media sosial berlesen di Malaysia kini diwajibkan mematuhi sepenuhnya keperluan pengesahan umur pengguna selaras dengan pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code – CPC) dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Online Safety Act – ONSA) yang berkuat kuasa mulai hari ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius sebarang bentuk ketidakpatuhan terhadap obligasi statutori yang ditetapkan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kawal selia serta penguatkuasaan yang sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurut MCMC, selaras dengan tanggungjawab berkanun di bawah ONSA, semua pemberi perkhidmatan media sosial berlesen dikehendaki melaksanakan langkah perlindungan pengguna yang lebih menyeluruh, termasuk memperkenalkan mekanisme pengesahan umur yang berkesan berdasarkan had umur minimum 16 tahun.
“Pengesahan umur terbabit perlu dilakukan menggunakan rekod rasmi yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia atau dokumen setara yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kompeten luar negara yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.
“Langkah ini bertujuan memastikan hanya pengguna yang memenuhi syarat umur dibenarkan mengakses platform media sosial serta ciri-ciri perkhidmatan yang bersesuaian dengan peringkat umur mereka,” katanya.
MCMC berkata, mulai 1 Jun 2026, penyedia perkhidmatan media sosial berlesen perlu memastikan hanya individu berumur 16 tahun dan ke atas dibenarkan mendaftar akaun baharu serta menggunakan mana-mana fungsi perkhidmatan yang ditawarkan mengikut kesesuaian umur pengguna.
“Bagi pengguna sedia ada pula, proses pengesahan umur akan dilaksanakan secara berperingkat oleh penyedia platform media sosial dalam tempoh sehingga enam bulan.
“Dalam tempoh pelaksanaan terbabit, pengguna yang dikenal pasti berumur di bawah 16 tahun akan diberikan masa selama sebulan untuk memuat turun, menyimpan atau memindahkan data peribadi mereka sebelum sebarang tindakan sekatan, penggantungan akaun atau langkah lain dilaksanakan oleh penyedia perkhidmatan berkenaan.
“Data yang boleh dipindahkan termasuk kandungan digital seperti gambar, video dan bahan lain yang dimuat naik oleh pengguna sepanjang tempoh penggunaan platform terbabit.
“Keperluan pengesahan umur ini membabitkan semua perkhidmatan media sosial berlesen yang beroperasi di Malaysia, termasuk platform popular seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut MCMC, langkah berkenaan diambil susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap isu keselamatan dalam talian, pendedahan kepada kandungan berbahaya serta kesan penggunaan media sosial terhadap perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak.
Dalam masa yang sama, pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code – RMC) di bawah ONSA dilihat sebagai antara inisiatif penting kerajaan dalam memperkukuh keselamatan digital negara, khususnya bagi golongan kanak-kanak dan remaja.
MCMC berkata, CPC memberi penekanan kepada pendekatan safety by design atau keselamatan dalam reka bentuk dengan mewajibkan penyedia platform media sosial mengintegrasikan ciri-ciri perlindungan kanak-kanak secara langsung dalam pembangunan dan operasi perkhidmatan mereka.
Selain memperkukuh perlindungan terhadap pengguna muda, kod tersebut turut memastikan tahap keselamatan yang lebih bersesuaian dengan umur bagi kanak-kanak yang menggunakan platform digital di negara ini.
Sementara itu, RMC pula melengkapkan usaha berkenaan melalui pelaksanaan penilaian risiko yang lebih komprehensif, penyederhanaan kandungan yang berkesan, pengukuhan kawalan keselamatan pengguna serta peningkatan tahap akauntabiliti dalam kalangan penyedia platform digital.
MCMC menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan termasuk pemain industri, organisasi berkaitan dan masyarakat bagi memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, bertanggungjawab dan kondusif untuk semua pengguna.
Langkah penguatkuasaan baharu ini dilihat sebagai satu titik perubahan penting dalam landskap keselamatan siber dan media sosial negara, sekali gus memperkukuh usaha Malaysia dalam melindungi kanak-kanak daripada risiko serta ancaman yang semakin kompleks dalam dunia digital.

