33.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 2, 2026

UMNO Ampang terus dekati rakyat, bukan hanya muncul ketika pilihan raya

editormaxinfo@gmail.com

AMPANG Politik bukan sekadar tentang berkempen ketika musim pilihan raya, sebaliknya ia adalah mengenai kehadiran, khidmat dan kesetiaan kepada rakyat dalam apa jua keadaan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Datuk Hasry Sham Chasmen berkata, Pemuda UMNO Ampang sentiasa komited berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira waktu.

Menurut beliau, sepanjang tempoh kebelakangan ini, Pemuda UMNO Ampang tidak pernah berhenti melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan demi memastikan kebajikan rakyat terus terbela serta hubungan antara parti dan masyarakat sentiasa kukuh.

Katanya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di seluruh cawangan termasuk program kebajikan, pendidikan, bantuan komuniti, pembangunan belia dan keusahawanan serta usaha memperkukuh keanggotaan dalam kalangan anak muda.

Semua usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Pemuda UMNO Ampang untuk mendekati rakyat dan memahami keperluan mereka secara langsung.

“Politik bukan sekadar bercakap ketika pilihan raya. Politik adalah tentang kehadiran. Politik adalah tentang khidmat. Politik adalah tentang siapa yang bersama rakyat ketika susah dan senang,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda UMNO Ampang tidak mahu dilihat sebagai kelompok pemimpin yang hanya muncul apabila tiba musim pilihan raya, sebaliknya mahu rakyat menilai sendiri bahawa pergerakan itu sentiasa berada di lapangan bersama masyarakat dalam menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi.

Dalam pada itu, Hasry Sham yang juga Pengarah Penyelidikan Pemuda UMNO Malaysia berkata, jentera Pemuda UMNO Ampang kini berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk persiapan menjelang pilihan raya akan datang.

Menurut beliau, pelbagai latihan dan persediaan telah dilaksanakan membabitkan ketua-ketua Pemuda di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) selain pengukuhan jentera akar umbi bagi memastikan kesiapsiagaan organisasi berada pada tahap terbaik.

“Kita telah melatih ketua-ketua Pemuda PDM dan menggerakkan jentera akar umbi. Kita mahu memastikan Ampang kembali dominan, Barisan Nasional kembali kuat dan rakyat kembali yakin bahawa UMNO adalah parti yang mampu membawa kestabilan serta masa depan yang lebih baik,” katanya.

Tambah beliau, keyakinan rakyat terhadap UMNO perlu terus diperkukuhkan melalui pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat serta penyampaian dasar yang mampu memenuhi aspirasi semasa, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Sehubungan itu, beberapa perancangan strategik dan dasar baharu sedang dirangka bagi memperkukuh kekuatan parti di kawasan Ampang.

Usaha itu bukan sahaja bertujuan mempertahankan sokongan sedia ada, malah memberi tumpuan kepada peningkatan pengaruh dalam kalangan pengundi muda yang dilihat semakin penting dalam landskap politik negara.

Katanya, Pemuda UMNO Ampang akan terus memainkan peranan aktif dalam memperluaskan sokongan kepada Barisan Nasional serta memastikan parti berada pada kedudukan terbaik sekiranya diberi mandat untuk bertanding di tiga kerusi dalam kawasan Ampang pada pilihan raya akan datang.

Dengan pelbagai gerak kerja yang telah dan sedang dilaksanakan, Pemuda UMNO Ampang optimis usaha berterusan di peringkat akar umbi mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO sebagai parti yang memperjuangkan kestabilan, pembangunan dan masa depan negara.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular