editormaxinfo@gmail.com
PETALING JAYA – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bakal meraikan ulang tahun ke-20 pengisytiharan Petaling Jaya sebagai bandar raya menerusi penganjuran Festival Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 yang akan berlangsung selama enam hari bermula 16 hingga 21 Jun 2026.
Sambutan bersempena dua dekad status bandar raya itu bakal menghimpunkan pelbagai program berteraskan pembelajaran sepanjang hayat, pendigitalan, kelestarian alam sekitar, pembangunan komuniti dan kebudayaan yang melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata, sambutan berkenaan bukan sekadar mengimbau sejarah dan pencapaian bandar raya itu sejak diisytiharkan pada 20 Jun 2006, malah menjadi platform untuk memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kota serta memperbaharui komitmen ke arah pembangunan bandar raya yang lebih mampan, pintar, berdaya tahan dan sejahtera.

Menurut beliau, transformasi Petaling Jaya sepanjang dua dekad lalu adalah hasil kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, komuniti, sektor swasta serta pelbagai pihak berkepentingan yang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan bandar raya berkenaan.
“Sambutan ini adalah penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam membangunkan Petaling Jaya sehingga menjadi antara bandar raya terkemuka di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Prapelancaran Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya ke-20 dan Perhimpunan Warga Kerja MBPJ di Dewan Sivik MBPJ.
Beliau berkata, MBPJ akan terus memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, memperkasakan komuniti setempat serta memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi memastikan Petaling Jaya kekal sebagai bandar raya pilihan untuk didiami, bekerja, belajar dan beriadah.
Sepanjang 20 tahun lalu, Petaling Jaya berkembang pesat sebagai antara pusat ekonomi, pendidikan, kesihatan, inovasi dan perkhidmatan utama negara.
Dengan keluasan 97.2 kilometer persegi dan populasi seramai 807,879 penduduk setakat Januari 2024, bandar raya ini terus memainkan peranan penting sebagai pemacu pembangunan di Selangor dan Lembah Klang.

Selaras dengan perkembangan itu, MBPJ melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat, pembangunan mampan, transformasi digital, pengurusan alam sekitar, mobiliti bandar serta pengukuhan daya tahan komuniti.
Komitmen berterusan itu turut membuahkan pelbagai pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Antaranya, Petaling Jaya menjadi bandar raya pertama di Malaysia yang diterima sebagai ahli UNESCO Global Network of Learning Cities (GNLC), selain diiktiraf sebagai Bandar Mesra Kanak-Kanak oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Pengiktirafan itu mencerminkan usaha berterusan MBPJ dalam memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat, pembangunan modal insan yang inklusif dan mampan serta memastikan kebajikan, hak dan suara kanak-kanak sentiasa diberikan keutamaan dalam pembangunan bandar raya.
Sepanjang sambutan berlangsung, sebanyak 11 program utama dan enam perkhidmatan percuma akan ditawarkan kepada orang ramai.
Antara acara utama yang dijadualkan ialah PJ Learning City Festival 2026 yang menampilkan pelbagai program pendidikan dan pembangunan kemahiran termasuk forum pendidikan, literasi digital, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) serta sesi perkongsian ilmu.

Selain itu, PJ Digital 2026 akan mengetengahkan pameran teknologi dan inovasi ICT, pengalaman realiti maya (VR), aktiviti interaktif serta pertandingan e-sukan dalam usaha memperkukuh literasi digital masyarakat.
Elemen kelestarian alam sekitar turut diberi perhatian menerusi pelbagai program seperti Hari Terbuka PJ Eco Recycling Plaza, program Trash to Cash, pengumpulan sisa elektrik dan elektronik (e-Waste), kutipan minyak masak terpakai, bengkel kitar semula serta pelbagai inisiatif ekonomi kitaran.
Festival berkenaan juga akan dimeriahkan dengan pelbagai program komuniti dan kebudayaan termasuk festival makanan, persembahan seni budaya, persembahan buskers, aktiviti kekeluargaan, program kesihatan, zon kanak-kanak, pertandingan LEGO Robotics serta pelbagai aktiviti khas untuk warga emas.
Kemuncak sambutan dijadual berlangsung pada 20 Jun 2026 di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin menerusi Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 yang bakal menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang melalui perarakan komuniti melibatkan sekolah, institusi pengajian tinggi, sektor kesihatan, industri perhotelan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi strategik.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, persembahan artis jemputan serta pertunjukan bunga api sebagai simbolik kepada dua dekad kecemerlangan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya maju dan sejahtera.
Antara artis yang bakal memeriahkan malam kemuncak ialah Ernie Zakri, Shidi Data, Salma Asis, Zubir Khan, Victoria, Thalita dan Zaki Yamani. Selain itu, Cherpen dijadual membuat persembahan pada 19 Jun, manakala Lan Solo, KOI dan Floor 88 akan menghiburkan pengunjung pada 21 Jun.

Sebagai penghargaan kepada warga kota, MBPJ turut menawarkan beberapa inisiatif khas sepanjang tempoh sambutan termasuk kemudahan tempat letak kereta percuma, keahlian percuma Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya serta pengagihan anak pokok, baja kompos organik dan abate kepada orang ramai.
Pada majlis prapelancaran yang sama, MBPJ turut melancarkan Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya 2026 sebagai platform pengiktirafan kepada komuniti yang aktif melaksanakan amalan kelestarian dan pembangunan mampan di kawasan masing-masing.
Turut berlangsung ialah penyampaian penghargaan Anugerah Persada Inovasi MBPJ 2026 kepada Kumpulan Kreatif dan Inovatif Majlis serta penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Mereka Cipta Logo Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan promosi dan hebahan program, bahan promosi Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 dan Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya 2026 turut diserahkan kepada wakil jabatan, agensi serta rakan strategik yang hadir.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan festival berkenaan yang berlangsung dari 16 hingga 21 Jun 2026 serta menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan.
Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang dan platform media sosial rasmi MBPJ.

