editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon popular, Nabila Razali, selamat melahirkan bayi lelaki pada 23 Disember 2024, tepat jam 10.01 malam di sebuah pusat perubatan di ibu kota.
Berita gembira ini disahkan oleh wakil pengurusan Nabila Razali, Enetrtainment, yang memaklumkan bahawa ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat.
Bayi lelaki seberat 3.1 kilogram ini adalah anak sulung Nabila hasil perkahwinannya dengan suami, Nik Iruwan, yang berusia 39 tahun, pada tahun lalu.
Nabila, 32, yang juga dikenali sebagai Nur Nabila Mohd Razali, meluahkan rasa syukur selepas selamat bersalin.
“Alhamdulillah, ini adalah hadiah yang paling bermakna dalam hidup saya. Setiap detik yang saya lalui untuk mencapai momen ini penuh dengan cabaran dan harapan, dan akhirnya, Allah kurniakan amanah ini buat saya dan suami,” katanya dengan penuh rasa terharu.
Selain itu, Nabila turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesejahteraannya dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh kehamilan.
Berita berkenaan turut disambut gembira oleh peminat dan rakan-rakan selebriti yang membanjiri media sosial Nabila dengan ucapan tahniah serta doa buat keluarga kecilnya.
Walaupun sibuk dengan kerjaya seni, Nabila kini mengambil masa untuk memberi fokus kepada keluarga dan mengharungi fasa baru dalam hidupnya sebagai seorang ibu.
Nabila dan Nik Iruwan telah melangsungkan perkahwinan pada 18 November tahun lalu.