26.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, November 8, 2025

Nahas 5 kenderaan: JPJ diperintah siasat terperinci dan ambil tindakan susulan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarahkan untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kemalangan tragis yang meragut tujuh nyawa di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, Melaka, pada Isnin lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, dalam satu kenyataan, berkata beliau telah mengarahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ untuk mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap syarikat treler dan bas yang terbabit dalam insiden berkenaan.

“JPJ akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat untuk memastikan pematuhan aspek keselamatan di jalan raya, demi menjamin keselamatan semua pengguna jalan,” kata Anthony.

Siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan terbabit berpunca daripada tayar sebuah treler yang tercabut, menyebabkan sebuah bas persiaran mengelak dan terbabas ke laluan bertentangan, merempuh tiga kenderaan lain.

“Saya bagi pihak seluruh warga Kementerian Pengangkutan (MOT) merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban,” katanya.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 8.30 malam Isnin, mangsa yang maut adalah Khairul Ikhwan Mazupi (32), pemandu MPV, bersama isterinya, Fadzlenna Ramli (32), anak bongsu mereka Muhammad Umar Khairul Ikhwan (2), serta ibu bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab (66) dan Fauziah Jaafar (69), serta pemandu bas pelancong Noorisnien Khamid (56), dan seorang penumpang bas, Lamrah Asid Ali (66), warga Singapura.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, berkata siasatan awal mendapati bahawa sebuah lori jenis Foton dan bas pelancong yang membawa 27 penumpang sedang dalam perjalanan dari utara ke selatan, manakala kenderaan MPV, treler jenis Nissan, dan Perodua Bezza bergerak ke arah utara.

Setiba di lokasi kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori Foton yang dipandu lelaki berusia 31 tahun tercabut dan terletak di atas jalan di lorong tengah.

Bas pelancong yang tiba di tempat kejadian terlanggar tayar berkenaan, menyebabkan pemandunya hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

JPJ kini sedang melaksanakan siasatan lebih lanjut untuk memastikan punca kejadian dan tindakan susulan yang perlu diambil terhadap pihak yang terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular