editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Usaha memperkasakan golongan asnaf tidak seharusnya terhad kepada bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi pembangunan keyakinan diri, motivasi dan pembentukan jati diri bagi membantu mereka membina masa depan yang lebih baik.
Atas kesedaran itu, TV AlHijrah dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menganjurkan Program Hijrah Prihatin Bangkit Asnaf 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 15 hingga 17 Mei lalu di Perlis, membabitkan seramai 30 pelajar asnaf daripada beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur.
Program berkenaan menghimpunkan pelajar dari Sekolah Kebangsaan Dato Keramat 1, Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil, Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Selatan, Sekolah Kebangsaan Cochrane Perkasa, Sekolah Kebangsaan Batu Muda dan Sekolah Kebangsaan Sentul Utama dalam usaha memberikan pengalaman pembelajaran luar bilik darjah yang mampu membentuk keyakinan serta memperluaskan perspektif kehidupan mereka.
Berbeza daripada program kebajikan biasa, Hijrah Prihatin Bangkit Asnaf 2026 dirangka secara khusus bagi membantu peserta membina semangat juang, keberanian dan keyakinan diri untuk keluar daripada belenggu kemiskinan serta kekangan hidup yang sering membataskan potensi mereka.

Bagi sebahagian peserta, pengalaman menaiki tren ETS dari KL Sentral ke Arau bersama rakan-rakan menjadi detik yang cukup bermakna sepanjang program berlangsung.
Pengalaman itu bukan sahaja memberikan keterujaan baharu, malah membuka ruang kepada mereka untuk menikmati pengalaman yang mungkin tidak pernah dirasai sebelum ini.
Setibanya di Perlis, peserta mengikuti pelbagai aktiviti yang telah disusun sepanjang program, termasuk sesi motivasi, pembangunan diri, aktiviti santuni komuniti dan pengisian yang menekankan nilai kehidupan serta semangat berdikari.
Sepanjang perjalanan dan aktiviti yang dijalankan, jelas terpancar kegembiraan serta keterujaan pada wajah peserta yang berpeluang melihat suasana dan pengalaman baharu di luar rutin kehidupan harian mereka.

Walaupun kelihatan sederhana bagi sesetengah pihak, pengalaman seperti ini sebenarnya mampu memberi impak besar kepada anak-anak asnaf.
Ia membuka ruang baharu dalam pemikiran mereka bahawa kehidupan tidak seharusnya dibatasi oleh keadaan semasa dan setiap individu mempunyai peluang untuk mengubah masa depan melalui usaha dan keyakinan diri.
Program ini turut memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah melalui aktiviti yang menggalakkan nilai kebersamaan, disiplin, komunikasi dan kepimpinan.
Pendekatan santai yang diterapkan sepanjang program berjaya mewujudkan suasana yang selesa untuk peserta berinteraksi, berkongsi pandangan serta meluahkan impian yang selama ini mungkin hanya tersimpan dalam hati.
Perubahan positif turut dapat dilihat dalam kalangan peserta sepanjang program berlangsung.

Ada yang pada awalnya pendiam mula menunjukkan keyakinan untuk bercakap dan berinteraksi dengan rakan-rakan lain, manakala sebahagian lagi mula berkongsi cita-cita serta impian mereka untuk membantu keluarga dan mencapai kejayaan pada masa hadapan.
Menurut Pengurus Projek, Muhammad Sazri Abd Sani, program terbabit bukan sekadar bertujuan memberikan kegembiraan sementara kepada peserta, sebaliknya menjadi platform untuk menyuntik keyakinan dan harapan baharu dalam diri mereka.
Beliau berkata, pihak penganjur mahu setiap peserta pulang bukan sekadar membawa kenangan sepanjang program berlangsung, tetapi membawa bersama keyakinan bahawa mereka juga mampu mencapai kejayaan seperti orang lain.
“Hari ini mungkin mereka dibantu sebagai asnaf, tetapi suatu hari nanti kami mahu melihat mereka pula menjadi insan yang membantu orang lain,” katanya.

Menurut beliau lagi, ramai anak-anak asnaf sebenarnya memiliki potensi yang besar, namun kekangan hidup sering menyebabkan mereka hilang keyakinan terhadap kemampuan diri dan masa depan mereka sendiri.
Katanya, selain bantuan kewangan, golongan ini juga memerlukan sokongan moral serta individu yang percaya kepada kebolehan mereka untuk berjaya dalam kehidupan.
Program Hijrah Prihatin Bangkit Asnaf 2026 turut mencerminkan komitmen berterusan TV AlHijrah dan MAIWP dalam memastikan usaha membantu golongan asnaf dilaksanakan secara holistik, meliputi aspek pembangunan emosi, motivasi, pendidikan dan keyakinan diri.

Inisiatif seperti ini dilihat penting dalam membantu golongan asnaf keluar daripada kitaran kemiskinan serta melahirkan generasi yang lebih berdaya saing, berilmu dan berkeyakinan untuk membina masa depan yang lebih baik.
Bagi TV AlHijrah dan MAIWP, anak-anak asnaf bukan sekadar penerima bantuan, sebaliknya aset dan generasi masa depan negara yang memiliki potensi besar untuk berjaya sekiranya diberikan ruang, perhatian dan peluang yang sewajarnya.
Orang ramai juga berpeluang menyaksikan sendiri perjalanan, pengalaman dan semangat luar biasa peserta menerusi kapsul khas Hijrah Prihatin Bangkit Asnaf 2026 yang akan disiarkan pada 13 dan 14 Jun 2026, jam 6.55 petang di TV AlHijrah.

