editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Aktivis masyarakat Datuk Zulkarnain Mahdar menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula serta meneliti semula kertas siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah berjumlah RM1.5 bilion yang pernah menjadi perhatian negara pada tahun 2017.
Gesaan itu disampaikan menerusi memorandum rasmi yang diserahkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman, di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) berkata, memorandum itu dikemukakan bagi memohon pihak SPRM menilai semula semua fakta, bukti dan maklumat yang pernah dikumpulkan dalam siasatan berkaitan projek pembangunan luar bandar di Sabah yang didakwa membabitkan dana awam bernilai besar.
Beliau berkata, perkara itu bukan sahaja membabitkan kepentingan rakyat Sabah, malah turut membabitkan wang rakyat seluruh negara yang sewajarnya diuruskan dengan penuh integriti, ketelusan dan akauntabiliti.
“Apabila wang rakyat menjadi persoalan, maka rakyat berhak menuntut jawapan. Isu ini membabitkan dana awam dalam jumlah yang besar dan rakyat berhak mengetahui bagaimana wang terbabit dibelanjakan,” katanya kepada media selepas penyerahan memorandum itu.
Zulkarnain berkata, beliau hadir bersama peguam kanan yang memberikan pandangan dari sudut perundangan selain disertai wakil pertubuhan belia dan anak-anak muda Sabah yang prihatin terhadap isu integriti serta tadbir urus kewangan negara.
Tegasnya, tindakan ini bukanlah berasaskan khabar angin atau persepsi semata-mata, sebaliknya berpandukan kepada pelbagai dokumen, laporan media dan bahan rujukan yang mempunyai kaitan dengan isu yang dibangkitkan.
Menurut beliau, dirinya juga adalah antara individu yang pernah membuat laporan kepada SPRM pada tahun 2016 dan 2017 berhubung dakwaan penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah yang ketika itu mendapat perhatian meluas di peringkat nasional.
Untuk rekod, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pernah memegang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dari tahun 2009 hingga 2015.
Pada tempoh berkenaan, beliau juga antara pemimpin kanan Kerajaan Persekutuan serta Naib Presiden UMNO.
Pada tahun 2017, SPRM menjalankan siasatan berkaitan projek pembangunan luar bandar di Sabah yang membabitkan projek bekalan air, elektrik dan jalan raya bagi tempoh antara tahun 2009 hingga 2015.
Berdasarkan laporan media ketika itu, projek yang disiasat membabitkan nilai keseluruhan kira-kira RM7.5 bilion dengan siasatan tertumpu kepada dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM1.5 bilion.
Zulkarnain berkata, siasatan terbabit bukanlah siasatan biasa kerana ia antara kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian seluruh negara.
Malah, siasatan itu turut membabitkan beberapa individu termasuk ahli keluarga, ahli perniagaan dan kontraktor yang dipanggil atau ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau turut merujuk kepada perkembangan selepas pertukaran kerajaan pada tahun 2018 apabila mendiang Datuk VK Liew, yang ketika itu adalah pemimpin Parti Warisan, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal undang-undang.
Menurutnya, keputusan untuk tidak meneruskan kes berkenaan atas alasan kekurangan bukti telah menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat Sabah memandangkan siasatan yang dijalankan sebelum itu dilihat meluas dan mendapat perhatian besar masyarakat.
“Rakyat Sabah berhak mengetahui dengan lebih jelas apakah asas dan pertimbangan yang membawa kepada keputusan terbabit.
“Adakah semua fakta, keterangan dan maklumat yang dikumpulkan ketika siasatan dijalankan telah dinilai dan dipertimbangkan sepenuhnya?” soalnya.
Beliau berpandangan bahawa penelitian semula terhadap kertas siasatan berkaitan adalah langkah yang wajar demi kepentingan awam serta bagi memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan negara.
Dalam masa yang sama, Zulkarnain turut meminta SPRM meneliti semula projek bekalan air Pulau Gaya di Kota Kinabalu yang bernilai kira-kira RM100 juta dan dilaksanakan ketika Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerajui KKLW.
Beliau berkata, projek berkenaan pernah menjadi perhatian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada tahun 2017, namun sehingga kini masih terdapat aduan daripada penduduk yang mendakwa berdepan masalah bekalan air bersih walaupun projek itu melibatkan kos yang tinggi.
Justeru, beliau berpandangan semakan semula terhadap projek itu penting bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam penggunaan wang rakyat dapat ditegakkan.
Pada masa yang sama, beliau turut mencabar Datuk Seri Mohd Shafie Apdal supaya tampil secara terbuka menjelaskan kepada rakyat Sabah berhubung pencapaian utama sepanjang memimpin Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah antara tahun 2009 hingga 2015, khususnya dalam usaha menyelesaikan masalah bekalan air, bekalan elektrik dan kemudahan jalan raya di negeri itu.
Menurut beliau, sehingga hari ini masih ramai penduduk Sabah terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman yang berhadapan dengan pelbagai cabaran berkaitan kemudahan asas berkenaan.
Beliau menyeru kepimpinan baharu SPRM agar meneliti semula semua kertas siasatan yang berkaitan serta menyemak semula bukti dan fakta yang pernah dikumpulkan tanpa sebarang campur tangan atau layanan berbeza terhadap mana-mana pihak.
“Jalankanlah amanah ini dengan jujur, berani dan tanpa memilih bulu. Kerana jawatan boleh berakhir, kuasa boleh hilang, tetapi amanah akan tetap dipersoalkan,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Zulkarnain berkata, beliau tidak akan berhenti menyuarakan isu yang membabitkan kepentingan rakyat sehingga persoalan-persoalan berbangkit diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa.
Beliau turut mengimbas bahawa pada tahun 2020, dirinya pernah membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan bunuh susulan beberapa isu yang dibangkitkan kepada pihak berkuasa.
Namun begitu, segala tekanan dan cabaran yang pernah dihadapi tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus memperjuangkan isu yang membabitkan kepentingan rakyat.

