editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penganjur konsert Pentas RadjaWali, Impian Al Fateh Sdn. Bhd. bersama GIS Entertainment & Events serta Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events), tampil memberikan penjelasan rasmi berhubung insiden penutupan sistem bunyi secara tiba-tiba semasa konsert yang berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya, pada 10 Januari lalu.
Insiden berlaku ketika kumpulan popular dari Indonesia, Wali Band, sedang menyampaikan lagu ke-10 berjudul Ada Gajah Di Balik Batu, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penonton.
Kejadian itu turut mengundang kecaman terhadap penganjur di media sosial, meskipun ramai tidak mengetahui situasi sebenar yang berlaku di sebalik tabir.
Wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd. Aris berkata, isu berkenaan diperkatakan secara meluas sehingga menjejaskan reputasi syarikat, barisan artis yang terbabit serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pihak berkepentingan.
Memandang serius insiden berkenaan, penganjur telah mengadakan perbincangan bersama panel peguam bagi meneliti tindakan undang-undang terhadap pihak pengurusan venue atas faktor kecuaian serta pelanggaran persetujuan.

Mubarak Akhtar berkata, selain faktor menghormati azan dan waktu solat Isyak seperti yang dinyatakan sebelum ini, pihaknya turut berdepan pelbagai isu teknikal yang berada di luar kawalan penganjur sehingga menyumbang kepada kelewatan acara.
“Kelewatan permulaan konsert bukan berpunca daripada kelemahan artis atau penganjur semata-mata, sebaliknya disebabkan masalah sistem tiket yang dikendalikan oleh penyedia tiket yang dilantik pihak venue.
“Gangguan pada sistem terbabit menyebabkan proses pengesahan tiket menjadi perlahan, ditambah pula dengan masalah liputan internet yang lemah di dalam kawasan dewan, sekali gus menyukarkan penonton memaparkan kod QR dan menyukarkan petugas melakukan imbasan.
“Keadaan itu mengakibatkan kesesakan luar biasa di pintu masuk dan memberi kesan langsung terhadap jadual persembahan yang sepatutnya bermula tepat pada masanya,” katanya.
Mubarak berkata, kelewatan itu berpunca daripada pasukan tiket yang dilantik oleh pihak Idea Live Arena dan bukannya disebabkan oleh artis.
Mengulas lanjut, siasatan awal dan nasihat guaman mendapati tindakan pihak pengurusan venue menutup bekalan elektrik tepat jam 12 tengah malam adalah satu tindakan unilateral tanpa sebarang rundingan atau persetujuan terlebih dahulu dengan pihak penganjur.
“Kami telah berusaha berunding dengan pihak pengurusan Idea Live Arena serta wakil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang berada di lokasi bagi mendapatkan kelonggaran masa sehingga jam 12.30 tengah malam, bagi membolehkan Wali Band menamatkan persembahan dengan sempurna.
“Kami juga sanggup menanggung risiko termasuk kehilangan deposit atau dikenakan denda demi memastikan kepuasan peminat dan penutupan konsert yang baik.
“Persetujuan awal telah dicapai bagi membenarkan satu lagu terakhir sebagai penutup dan saya sendiri telah naik ke pentas untuk memaklumkan perkara itu kepada vokalis Wali Band,” katanya.
Namun begitu, sebaik sahaja lagu yang sedang dinyanyikan tamat, pihak venue bertindak mematikan sistem bunyi tanpa membenarkan artis membuat sebarang pengumuman atau mengucapkan selamat tinggal kepada penonton, sekali gus mencetuskan kekeliruan dan kekecewaan dalam kalangan hadirin.
“Tiada sebarang klausa atau persetujuan bersama yang membenarkan pemilik venue untuk mematikan sistem bunyi secara mengejut ketika persembahan sedang berlangsung.
“Malah, menurut Enakmen Hiburan Negeri Selangor, acara hiburan yang dijalankan di dalam dewan dibenarkan beroperasi sehingga jam 1 pagi,” katanya lagi.

Justeru, tindakan mematikan sistem bunyi pada jam 12 tengah malam disifatkan sebagai tidak berasas, bertentangan dengan kebenaran operasi dan berpotensi menimbulkan risiko keselamatan awam.
Situasi terbabit berisiko mencetuskan kekecohan atau kemarahan penonton, walaupun keadaan masih terkawal berikutan tahap disiplin penonton tempatan.
Ketika ini, penganjur sedang memuktamadkan jumlah kerugian yang dialami termasuk kerosakan reputasi dan kerugian material, sebelum membawa perkara ini ke Mahkamah.
Tindakan undang-undang dijangka dimulakan sebaik sahaja penilaian penuh selesai dijalankan.
Dalam pada itu, sebagai tanda penghargaan dan permohonan maaf kepada peminat yang terkesan, penganjur mengumumkan perancangan untuk membawa semula kumpulan Wali Band dan Radja ke Malaysia bagi sebuah konsert khas yang dijadualkan pada 1 Mei akan datang.
Penonton yang hadir pada malam kejadian layak menerima diskaun istimewa dengan mengemukakan bukti pembelian atau tiket konsert terdahulu.


555ph, some may say it’s good luck. A decent selection of options and good payouts. You never know, today may be your lucky day : 555ph