33.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, June 27, 2026

Badut Gendong bawa sisi gelap Universe Qodrat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas mencipta fenomena di Indonesia, filem seram aksi Badut Gendong kini bersedia menemui penonton Malaysia apabila ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 25 Jun 2026.

Naskhah terbaharu ini bukan sahaja memperluaskan dunia Universe Qodrat, malah membawakan sebuah kisah yang menggabungkan elemen seram, psikologi dan realiti kehidupan masyarakat kelas bawahan dengan pendekatan yang lebih mendalam.

Sebagai sebahagian daripada francais Universe Qodrat, Badut Gendong hadir meneruskan kejayaan dua filem terdahulu, Qodrat (2022) dan Qodrat 2 (2025) yang menerima sambutan menggalakkan daripada peminat filem seram di Malaysia.

Kehadiran filem ini dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Universe Qodrat sebagai antara francais filem seram serantau paling berpengaruh, sekali gus memperluaskan lagi dunia penceritaannya kepada penonton di rantau ini.

Berbeza daripada kebanyakan filem seram konvensional yang menumpukan kepada gangguan makhluk halus, Badut Gendong tampil dengan naratif yang lebih berani apabila mengangkat tema kehilangan, trauma, tekanan sosial dan sisi gelap kemanusiaan.

Filem ini memperlihatkan bagaimana luka emosi dan ketidakadilan yang berpanjangan mampu mengubah seseorang menjadi ‘monster’ dalam erti kata sebenar.

Mengambil inspirasi daripada realiti kehidupan di Indonesia, Badut Gendong turut mengetengahkan budaya badut gendong, iaitu penghibur jalanan yang menjadikan persembahan badut sebagai sumber pendapatan harian.

Melalui latar berkenaan, filem ini memberi gambaran jujur mengenai kehidupan masyarakat bawahan yang sering berdepan cabaran ekonomi dan dipinggirkan daripada perhatian umum.

Diarahkan oleh pengarah terkenal Charles Gozali, filem ini mengisahkan perjalanan hidup Darso, seorang penghibur jalanan yang hidup serba kekurangan bersama isterinya, Darsi.

Namun, tragedi kehilangan yang menimpa pasangan itu menjadi titik perubahan besar dalam kehidupan Darso sehingga mendorongnya ke arah sisi gelap yang tidak pernah dijangkakan.

Watak Darso digambarkan sebagai simbol kemarahan masyarakat kelas bawahan yang sekian lama terabai.

Melalui isu ketidakadilan yang bersifat sejagat, Badut Gendong mengajak penonton merenung hakikat bahawa ‘monster’ sebenar tidak semestinya datang daripada alam ghaib, tetapi boleh lahir daripada luka, penderitaan dan harapan yang tidak pernah dipedulikan.

Watak utama Darso dibawakan dengan penuh berkesan oleh Marthino Lio, yang bergandingan bersama barisan pelakon terkenal Indonesia termasuk Clara Bernadeth, Derby Romero, Dayinta Melira, Iskak Khivano, Vonny Anggraini, Totos Rasiti, Insan Nur Akbar, Barry Prima dan Jose Rizal.

Menurut Charles Gozali, Badut Gendong diwujudkan sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk memperluaskan Universe Qodrat, termasuk mempertemukan watak Darso dengan Ustaz Qodrat dalam naskhah akan datang.

“Badut Gendong dicipta untuk dipertemukan dengan watak Ustaz Qodrat bagi naskhah seterusnya sebagai sebahagian daripada pengembangan universe yang lebih besar.

“Menerusi watak Darso, kami ingin tampilkan refleksi daripada sisi gelap Qodrat, di mana kedua-duanya mengalami kehilangan orang tersayang, namun memilih jalan kehidupan yang berbeza.

“Daripada pertembungan inilah kami mahu memaparkan bagaimana luka yang sama mampu membentuk manusia menjadi dua individu yang berbeza.

“Kami berharap pengembangan Universe Qodrat bukan sahaja memberikan pengalaman baharu kepada peminat, malah mampu menarik generasi penonton yang lebih luas,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Badut Gendong yang juga Penerbit dari MAGMA Entertainment, Linda Gozali, berkata pembinaan watak Darso merupakan antara cabaran terbesar dalam menghasilkan filem terbabit kerana beliau perlu menjadi watak yang setanding dengan Ustaz Qodrat.

Menurut beliau, watak itu dibentuk berdasarkan realiti kehidupan masyarakat hari ini yang masih berdepan pelbagai bentuk ketidakadilan sehingga ramai yang akhirnya terpinggir dan dilupakan.

Justeru, Badut Gendong bukan sekadar sebuah filem seram, malah menjadi cerminan terhadap nilai kemanusiaan, kepedulian dan kecekalan manusia untuk terus bertahan walaupun berdepan pelbagai ujian kehidupan.

Bagi mewakili penerbit dari Malaysia, Datuk Ahmad Izham Omar, selaku Ketua Peneroka Komet Productions, menyifatkan Badut Gendong sebagai sebuah karya yang luar biasa dengan kualiti penerbitan bertaraf antarabangsa.

“Badut Gendong merupakan sebuah cerita yang begitu menarik. Charles Gozali dengan sentuhan hebatnya membawa kita masuk ke dalam dunia yang penuh mistik dan ketegangan.

“Kualiti filem ini sangat luar biasa sehingga mendapat perhatian pelbagai negara. Kami amat berbesar hati apabila diberi kepercayaan sebagai Penerbit Eksekutif untuk filem ini,” katanya.

Badut Gendong diterbitkan menerusi kerjasama antara MAGMA Entertainment, Komet Productions, Legacy Pictures, Skop Productions, Enotech, Astro Shaw, Applause, Virtuelines Entertainment, VMS Studio, Caravan Studio dan Alunan.

Dengan gabungan jalan cerita yang sarat emosi, persembahan lakonan yang mantap serta elemen seram psikologi yang mencetuskan rasa tidak selesa, Badut Gendong menawarkan pengalaman sinematik yang berbeza daripada filem seram biasa.

Lebih daripada sekadar hiburan, naskhah ini mengajak penonton merenung realiti kehidupan masyarakat yang sering dipandang sepi.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular