editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Pendekatan hiburan terus dimanfaatkan sebagai medium berkesan dalam memperkukuh literasi digital masyarakat menerusi penerbitan DJA Show: Siri Muzikal ‘Aku Jamal: Suara Emas Digital’.
Ia adalah sebuah program bersiri 13 episod yang menggabungkan elemen muzik, penceritaan dan mesej penggunaan Internet secara selamat.
Program yang bakal menemui penonton menerusi TV2 bermula Julai ini menampilkan Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah bersama barisan artis jemputan termasuk dua puteranya, Osama Yamani dan Zaki Yamani.
Melalui persembahan muzik yang diselitkan dengan perkongsian pengalaman serta nasihat berkaitan keselamatan digital, siri ini diharap dapat menyampaikan mesej kempen Internet Selamat dengan pendekatan yang lebih santai, dekat dan mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Penerbitan program ini hadir pada waktu cabaran dunia digital semakin kompleks susulan peningkatan kes penipuan dalam talian, ancaman keselamatan siber serta penyebaran maklumat palsu yang memberi kesan kepada masyarakat.

Golongan wanita dan warga emas dikenal pasti antara kumpulan yang lebih mudah terdedah kepada risiko terbabit, sekali gus memerlukan pendekatan penyampaian yang lebih kreatif dan berkesan.
Seiring usaha memperkukuh kesedaran digital, program ini turut menyokong Kempen Internet Selamat (Klik Dengan Bijak) yang digerakkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Mesej penggunaan Internet secara selamat diterapkan melalui kandungan hiburan yang menggabungkan persembahan muzik, penceritaan dan perkongsian praktikal agar lebih mudah dihayati oleh penonton.
Selain disiarkan selama 13 minggu berturut-turut di TV2 bermula Julai depan, kempen kesedaran turut diperluaskan menerusi platform digital, promosi media, pengumuman khidmat awam serta kerjasama bersama pempengaruh bagi memastikan mesej keselamatan digital mencapai khalayak yang lebih meluas.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pihaknya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada penerbitan berskala besar itu yang turut mencipta sejarah baharu buat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Menurut beliau, projek berkenaan adalah rakaman konsert secara langsung pertama selama 13 hari berturut-turut yang dilaksanakan di studio FINAS selepas fasilitinya dinaik taraf dengan teknologi Virtual Production yang lazim digunakan dalam penerbitan filem.
“Apabila pasukan Datuk Jamal Abdillah membawa idea ini kepada FINAS, kami amat teruja. Pada masa sama, kami juga berasa berdebar kerana ini kali pertama FINAS melaksanakan rakaman konsert secara langsung dalam tempoh yang begitu panjang.
“Ia menjadi satu pencapaian besar buat FINAS dan membuktikan keupayaan fasiliti baharu yang dimiliki,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi kepercayaan kepada FINAS termasuk warga kerja studio yang bertungkus-lumus menjayakan keseluruhan proses rakaman.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aideaz Integrated, Norafizah Shiak Abd Rahman berkata, pembangunan program terbabit bermula sejak Oktober tahun lalu sebelum memasuki fasa penghasilan kandungan secara intensif bermula Januari tahun ini.
Menurut beliau, keseluruhan kandungan kreatif termasuk animasi dihasilkan oleh pasukan syarikat sendiri hasil komitmen tinggi seluruh tenaga produksi.

“Kami amat menghargai pengorbanan seluruh pasukan yang bekerja tanpa mengira masa bagi memastikan program ini dapat direalisasikan dengan sebaik mungkin.
“Kami juga melihat potensi untuk memperluaskan konsep program ini melalui kerjasama dengan pelbagai kementerian pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, wakil Bahagian Koordinasi Wilayah dan Negeri MCMC, Mohd Faizal Mad Nor menyifatkan kolaborasi bersama Datuk Jamal Abdillah sebagai satu pendekatan strategik dalam memperluaskan penyampaian mesej Kempen Internet Selamat (Klik Dengan Bijak).

Beliau berkata, pengaruh besar Datuk Jamal Abdillah yang merentasi pelbagai generasi peminat diyakini mampu membantu menyampaikan mesej penggunaan Internet secara selamat kepada kelompok masyarakat yang lebih luas.
Dalam pada itu, Pengarah Program DJA Show, Rosnan Nordin berkata, program berkenaan bukan sekadar sebuah rancangan hiburan, malah menjadi penghargaan terhadap perjalanan seni Datuk Jamal Abdillah sebagai antara legenda muzik tanah air.
Katanya, idea asal program itu tercetus daripada hasrat penyanyi berkenaan untuk merakamkan semula lagu-lagu yang pernah dipersembahkan sepanjang kerjaya seni beliau, sekali gus mendokumentasikan karya-karya berkenaan untuk generasi akan datang.
Sementara itu, Datuk Jamal Abdillah berkata, sokongan daripada rakan-rakan artis dan pemuzik menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan penerbitan program berkenaan.

Beliau berharap DJA Show dapat menjadi sebuah karya yang bukan sahaja menghiburkan, malah meninggalkan nilai nostalgia dan kenangan kepada peminat serta generasi akan datang.
Mengulas mengenai perancangan seninya, Datuk Jamal Abdillah berkata, beliau akan meneruskan rakaman beberapa karya baharu selepas selesai penggambaran siri terbabit, termasuk sebuah single baharu berjudul “Ihtilam”.
Ditanya mengenai kemungkinan untuk bersara daripada dunia nyanyian, beliau berkata keputusan itu bergantung kepada kemampuan dirinya untuk terus mengekalkan mutu persembahan yang terbaik.

Menyentuh mengenai cadangan penganugerahan gelaran Biduan Negara, Datuk Jamal Abdillah menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai satu ketentuan yang akan diterima dengan hati terbuka sekiranya dikurniakan, namun beliau akan terus berkarya demi peminat walau apa jua keadaannya.
Dengan gabungan elemen hiburan, teknologi dan pendidikan, DJA Show: Siri Muzikal ‘Aku Jamal: Suara Emas Digital’ dijangka menjadi antara program istimewa yang bukan sahaja mengangkat legasi seni Datuk Jamal Abdillah, malah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penggunaan Internet secara selamat dan bertanggungjawab.

