33.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, June 27, 2026

Spider kembali dengan konsert terbesar Spideraya

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas lebih tiga dekad mewarnai industri muzik tanah air dengan deretan lagu malar segar, kumpulan rock dan ska legenda, Spider, bakal meraikan perjalanan seni mereka menerusi konsert berskala besar yang diberi nama Spideraya, sekali gus menjadi persembahan terbesar pernah dianjurkan sepanjang karier kumpulan itu.

Konsert yang dijadual berlangsung pada 26 September 2026 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, bermula jam 8.30 malam itu dijangka menjadi medan pertemuan istimewa antara Spider dan peminat yang setia mengikuti perjalanan muzik mereka sejak kemunculan album Ngam Ho pada 1998.

Dianjurkan oleh B7 Resources Sdn. Bhd., Spideraya bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya diangkat sebagai sebuah “perayaan” yang meraikan lebih 30 tahun legasi Spider dalam industri muzik tempatan.

Wakil B7 Resources Sdn. Bhd., Khairul Afizi (Khai), berkata Spider antara kumpulan legenda yang terus kekal relevan menerusi karya berkualiti, meskipun kali terakhir tampil dengan album Ankabut pada 2016.

Menurut beliau, kekuatan katalog lagu Spider yang merangkumi karya seperti Aladin, Relaku Pujuk, Mungkinkah Terjadi, Kita Satu dan Kacap Terlabik membuktikan kumpulan itu masih mempunyai pengaruh besar dalam kalangan peminat merentas generasi.

“Spider tidak perlu ‘menjual’ nama mereka secara berlebihan kerana kualiti muzik dan kredibiliti yang dimiliki sudah cukup membuktikan mereka antara kumpulan terbaik negara.

“Selepas beberapa siri konsert mereka menerima sambutan luar biasa, kami yakin Spideraya akan menjadi sebuah acara yang dinanti-nantikan peminat,” katanya.

Tambah Khai, nama Spideraya dipilih bagi melambangkan satu sambutan yang menghimpunkan keseluruhan perjalanan seni Spider bersama peminat sejak lebih tiga dekad lalu.

Beliau berkata, peminat daripada generasi milenial sehinggalah Gen Z masih mengenali lagu-lagu ikonik Spider, sekali gus membuktikan karya mereka terus kekal relevan dan dekat di hati pencinta muzik tempatan.

Sementara itu, vokalis Spider, Tam, berkata persetujuan untuk menjayakan Spideraya dibuat selepas semua anggota kumpulan berkongsi visi yang sama dengan pihak penganjur untuk menghasilkan sebuah konsert yang mampu meninggalkan impak besar kepada industri hiburan tanah air.

Menurutnya, Spider sentiasa meletakkan keutamaan terhadap kualiti persembahan dan mahu setiap kemunculan mereka memberikan pengalaman yang bermakna kepada peminat.

“Visi dan misi yang dibawa B7 Resources sangat selari dengan Spider. Menghiburkan peminat mungkin mudah, tetapi apa yang lebih penting ialah bagaimana sesebuah persembahan itu mampu meninggalkan kesan serta mencipta sejarah dalam industri hiburan.

“Walaupun ini industri hiburan, Spider sentiasa serius dalam setiap perkara yang kami lakukan. Spideraya bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah perayaan yang kami mahu peminat kenang untuk tempoh yang lama,” katanya.

Konsert Spideraya dijangka menghimpunkan pelbagai lagu hit yang pernah mencetuskan fenomena sejak era Ngam Ho sehingga Ankabut, sekali gus membawa peminat mengimbau perjalanan muzik Spider yang kekal malar segar sehingga hari ini.

Tiket Spideraya kini dijual dalam enam kategori iaitu Aladin (RM158), Kita Satu (RM148), Ngam Ho (RM168), Ankabut (RM208), Bintang 12 (RM238) dan Nazraku (RM268).

Peminat boleh mendapatkan tiket menerusi platform Ticket2U dan disarankan membuat pembelian lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.

Spideraya dijangka menjadi antara konsert rock tempatan paling dinanti-nantikan pada tahun ini, sekali gus meraikan legasi sebuah kumpulan yang telah mencorakkan landskap muzik Malaysia selama lebih 30 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular