editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Tourism Malaysia bakal mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur acara Miss & Mister Celebrity International 2025 selepas didapati menggunakan logo korporat Tourism Malaysia serta logo kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) tanpa kebenaran rasmi.
Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diambil bagi melindungi hak harta intelek, integriti jenama serta identiti rasmi korporat yang menjadi milik kementerian dan agensi berkaitan.
Menurut kenyataan itu, sebarang penggunaan logo rasmi kerajaan tertakluk kepada kelulusan bertulis dan garis panduan yang telah ditetapkan.
Dalam masa sama, MOTAC dan Tourism Malaysia menegaskan pihak kementerian serta agensi berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan atau penglibatan dengan penganjuran acara terbabit yang berlangsung di Sentul, Kuala Lumpur, dari 14 hingga 22 Disember lalu.
“Didapati penggunaan logo korporat Tourism Malaysia dan logo kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 oleh pihak penganjur telah dibuat tanpa kebenaran bertulis rasmi.
“Sehubungan itu, MOTAC dan Tourism Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi, tafsiran awam atau liabiliti yang timbul daripada penganjuran acara tersebut atau penggunaan logo tanpa kebenaran,” menurut kenyataan itu.
Isu ini tercetus selepas tular di media sosial sebuah video berdurasi 27 saat yang memaparkan seorang lelaki berpakaian wanita menerima anugerah dalam sebuah majlis yang didakwa bertaraf antarabangsa.
Video berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dan mengundang perhatian pihak berkuasa.
Perkembangan itu turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, yang telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk menjalankan siasatan lanjut serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Kes ini sekali gus menimbulkan perbincangan awam mengenai kepatuhan penganjur acara terhadap peraturan, sensitiviti masyarakat serta kepentingan memelihara penggunaan identiti dan logo rasmi kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai.

