editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Yayasan Bina Kesejahteraan (YBK) mengorak langkah awal ke arah penganjuran program bertaraf antarabangsa menerusi Majlis Pra-Pelancaran ‘Annual Women Economic Forum & G100 Global Meet 2026’ yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras.
Program berprestij yang dijadual berlangsung pada 14 hingga 17 Oktober 2026 itu dijangka menghimpunkan lebih 1,000 peserta terdiri daripada wanita ASEAN, delegasi antarabangsa, usahawan, pemimpin komuniti, badan bukan kerajaan (NGO), wakil kerajaan serta pemain industri dari pelbagai negara.
Majlis pra-pelancaran diadakan sebagai pengenalan awal kepada masyarakat mengenai pengisian program, kerjasama strategik serta perancangan utama yang bakal dilaksanakan sepanjang forum berkenaan.
Program itu turut dianjurkan bersempena sambutan Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa yang diraikan setiap Oktober.

Pengerusi Yayasan Bina Kesejahteraan merangkap Presiden G100 Global Club, Datin Dr. Hajah Hartini Osman dalam ucapannya berkata, program itu bakal menjadi platform penting dalam memperkasakan wanita, belia dan komuniti rentan melalui pembangunan ekonomi, keusahawanan, kepimpinan serta jaringan global.
Menurut beliau, pihak penganjur menyasarkan kehadiran lebih 1,000 peserta sepanjang program berlangsung dengan penglibatan delegasi daripada lebih 10 negara yang telah mengesahkan penyertaan setakat ini.
“Program ini bukan sekadar forum biasa, tetapi sebuah platform global yang menghimpunkan wanita dari pelbagai negara untuk berkongsi idea, peluang ekonomi, kepimpinan dan pembangunan komuniti.
“Kita juga menjangkakan penyertaan wanita ASEAN serta beberapa negara lain dari seluruh dunia,” katanya.

Dr Hartini berkata, ruang dan fasiliti di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) mampu menampung kapasiti besar peserta melalui penggunaan dewan utama dan beberapa bilik seminar yang akan digunakan secara serentak sepanjang program berlangsung.
Dalam masa sama, program berkenaan membabitkan kerjasama strategik bersama wakil-wakil daripada negara Islam, usahawan antarabangsa serta pelbagai organisasi global bagi memperkukuh jaringan ekonomi wanita di peringkat antarabangsa.
Antara pengisian utama yang bakal diketengahkan termasuk sesi forum antarabangsa, bengkel pembangunan wanita dan belia, pitching keusahawanan wanita, sesi motivasi, perlindungan kanak-kanak, penyampaian anugerah tokoh, pelancaran khas serta program larian komuniti.
Menurutnya, platform Women Economic Forum (WEF) yang dibangunkan itu bertujuan memastikan manfaat program dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat termasuk golongan B40, ibu tunggal, wanita berdikari, orang kurang upaya (OKU) dan belia.
“Kita mahu platform ini menjadi ruang yang benar-benar menyentuh masyarakat. Bukan sahaja untuk wanita, tetapi juga golongan belia dan komuniti rentan.
“Sebab itu kita memilih lokasi ini kerana ia dekat dengan semangat belia dan pembangunan masa depan,” katanya lagi.
Tambahnya, sebagai Presiden G100 Global Chair bagi 100 negara di seluruh dunia, pendekatan “Listening President” yang dibawanya memberi penekanan kepada usaha mendengar suara masyarakat dan memahami cabaran yang dihadapi mereka.
“Kadang-kadang kita mungkin tidak mampu menyelesaikan semua perkara, tetapi apabila kita mendengar dan memahami mereka, ia sudah cukup untuk menyentuh hati masyarakat,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Dato’ Zainal Abidin Sakom selaku Pengerusi YBK bersama wakil-wakil rakan strategik yang turut diberikan peluang memperkenalkan organisasi masing-masing serta pengisian yang akan dibawa sempena program itu nanti.
Majlis turut diserikan dengan tayangan video pelancaran rasmi yang memaparkan logo program selain memperkenalkan laman web rasmi ‘Annual Women Economic Forum & G100 Global Meet 2026’.
Program ‘Annual Women Economic Forum & G100 Global Meet 2026’ akan berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober 2026 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras dengan pelbagai pengisian menarik termasuk forum antarabangsa, sesi anugerah, bengkel pembangunan komuniti serta makan malam rasmi.
Maklumat lanjut mengenai program boleh diperoleh menerusi laman web rasmi di wef2026.ybcaremalaysia.com.
Yayasan Bina Kesejahteraan (YBK) adalah penganjur bersama bagi program berprestij bertaraf global itu.

