25.8 C
Kuala Lumpur
Monday, April 27, 2026

Forum Voices of Ladies 2026 himpun tokoh wanita & artis ternama, perkasa belia di Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Yayasan Bina Kesejahteraan dan Yayasan Basmi Kemiskinan terus memperkukuh agenda pembangunan komuniti menerusi penganjuran Forum dan Konsert Voices of Ladies 2026 yang berlangsung pada 25 dan 26 April 2026 di Dewan Perdana Mestika Institut Latihan DBKL.

Program berimpak tinggi ini menggabungkan elemen hiburan, wacana intelektual serta pembangunan sosial dengan menampilkan barisan artis terkenal tanah air seperti Liza Aziz, Noryn Aziz dan Aisha Retno yang diiringi Orkestra Kuala Lumpur, sekali gus menyuntik elemen nostalgia dan inspirasi kepada para penonton.

Selain persembahan konsert, program ini turut menampilkan Forum Pemerkasaan Wanita yang menghimpunkan tokoh berpengaruh termasuk Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad serta Senator Saraswathy Kandasami.

Forum terbabit dikendalikan oleh Datin Dr. Hajah Hartini Osman Pengerusi Yayasan Bina Kesejahteraan merangkap Presiden G100 Global Club.

Forum berkenaan menekankan kepentingan wanita untuk berani ke hadapan, memanfaatkan peluang kepimpinan serta memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan di peringkat antarabangsa.

Antara mesej utama yang diketengahkan adalah keperluan wanita untuk berada di meja membuat keputusan, bukan sekadar menjadi pemerhati dalam arus pembangunan.

Sementara itu, Forum Pemerkasaan Generasi Muda yang berlangsung pada hari kedua menampilkan barisan panel terdiri daripada Dr. Daphne Ng, Datin Ira Ghani, Kavita Maheendran serta Asya Rahman.

Forum ini dikendalikan oleh Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz yang juga Tokoh Belia Negara dan ASEAN 2017.

Perkongsian panelis memberi fokus kepada cabaran serta peluang yang dihadapi golongan belia, termasuk aspek keusahawanan, kreativiti, pembangunan jati diri dan kesejahteraan sosial dalam mendepani dunia moden yang semakin mencabar.

Mengulas mengenai penganjuran ini, Datin Dr. Hajah Hartini Osman berkata program Voices of Ladies berjaya menarik kehadiran lebih 1,000 pengunjung pada hari pertama, sekali gus mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap usaha memperkasa wanita dan belia.

Katanya, inisiatif seumpama ini penting dalam membuka ruang kepada wanita untuk terus berkembang dalam pelbagai bidang serta menggalakkan penyertaan aktif dalam kepimpinan, keusahawanan dan pembangunan komuniti.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti sokongan turut diadakan termasuk gerai pameran dan jualan yang membabitkan sektor keusahawanan, makanan dan minuman serta produk komuniti, sekali gus membantu merancakkan ekonomi setempat.

Penganjuran Voices of Ladies 2026 mencerminkan komitmen berterusan DBKL bersama rakan strategik dalam memperkukuh pembangunan komuniti bandar melalui pendekatan menyeluruh merangkumi seni, pendidikan, jaringan sosial dan pemerkasaan ekonomi.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular