editormaxinfo@gmail.com
SHAH ALAM – Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) terus memperkukuh agenda pembangunan belia dan pendidikan TVET apabila menjalin kerjasama strategik bersama Bermaz Auto Berhad menerusi penyerahan rasmi sebuah Mazda CX-8 sebagai kenderaan rasmi yayasan berkenaan.
Majlis penyerahan yang berlangsung di Bermaz Auto Training School itu disempurnakan oleh DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku Penaung Diraja YRMS bersama Dato Haji Shamsuddin Amran.
Kerjasama antara YRMS dan Bermaz Auto yang bermula sejak 2023 dilihat sebagai antara usaha berterusan dalam memperkasa pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) khususnya kepada golongan belia daripada keluarga berpendapatan rendah di Selangor.
Melalui kolaborasi itu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk Bengkel Eksplorasi Diri (Self-Discovery Workshop) untuk pelajar pra-SPM, program latihan berasaskan kemahiran menerusi tajaan biasiswa TVET serta Hari Terbuka TVET YRMS yang menjadi platform menghubungkan pelajar, institusi pendidikan dan pemain industri.

Ketua Pegawai Eksekutif YRMS, Muhammad Syazwan Mohd Daut berkata, program Bengkel Eksplorasi Diri diwujudkan bagi membantu pelajar yang kurang cenderung dalam bidang akademik untuk mengenali laluan alternatif melalui pendidikan kemahiran dan TVET.
Menurut beliau, peserta program dipilih menerusi cadangan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebelum dibawa ke institusi latihan kemahiran bagi memberi pengalaman secara langsung kepada mereka.
“Hari ini kita membawa pelajar tingkatan lima dari daerah Petaling untuk merasai sendiri pengalaman berada dalam institusi TVET yang dikendalikan industri sebenar.
“Di Bermaz Auto Training School, mereka didedahkan dengan teknologi automotif moden termasuk pengendalian bateri bervoltage tinggi, sistem ADAS dan LiDAR yang digunakan dalam industri automotif masa kini,” katanya.

Beliau berkata, program itu bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai bidang TVET, malah membuka peluang kepada mereka untuk membina masa depan melalui latihan kemahiran yang diiktiraf kerajaan.
Katanya, YRMS kini menyokong lebih 70 kursus TVET termasuk bidang teknologi baharu seperti Augmented Reality (AR), Virtual Reality (VR), pembangunan permainan video dan analisis data bagi memastikan belia tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.
“Kalau semua pihak hanya fokus kepada pelajar yang cemerlang akademik, siapa pula yang akan membantu mereka yang memiliki kemahiran?
“Sebab itu Yayasan Raja Muda Selangor memberi perhatian kepada golongan ini supaya mereka turut mempunyai peluang membina kerjaya dan masa depan lebih baik,” katanya.

Pada program itu, seramai 20 pelajar daripada SMK Taman Medan dan SMK Taman Datuk Harun terbabit dalam sesi latihan dan pendedahan industri automotif moden.
Menurut Muhammad Syazwan, program berkenaan akan diteruskan ke seluruh daerah di Selangor setiap tahun menerusi dua peringkat pendedahan berbeza supaya lebih ramai pelajar mendapat peluang merasai pengalaman pembelajaran secara hands-on.
Sementara itu, penyerahan Mazda CX-8 kepada YRMS dilihat sebagai simbol sokongan berterusan Bermaz Auto terhadap agenda pembangunan belia dan pendidikan kemahiran di negeri ini.
Kenderaan terbabit hadir dengan rekaan khas berinspirasikan peta topografi Jugra yang membawa simbolik sejarah Kesultanan Selangor sebagai pusat warisan seni dan pentadbiran diraja suatu ketika dahulu.

Menurut Muhammad Syazwan, pemilihan konsep Jugra dibuat kerana kawasan itu pernah menjadi pusat perkembangan seni bina, kraftangan dan budaya ketika era awal pemerintahan Kesultanan Selangor.
“Jugra mempunyai nilai sejarah yang sangat besar kepada Selangor. Di situlah berkembangnya warisan seni dan pertukangan termasuk pembinaan Istana Bandar yang menggabungkan pelbagai pengaruh budaya dari dalam dan luar Tanah Melayu.
“Konsep peta topografi Jugra itu kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk motif rekaan kenderaan rasmi ini,” katanya.
Beliau berkata, kenderaan berkenaan akan digunakan bagi melancarkan urusan logistik dan operasi harian program komuniti serta jangkauan belia YRMS di seluruh Selangor, manakala aspek penyelenggaraan, cukai jalan dan insurans masih ditanggung sepenuhnya oleh Bermaz Auto.
Bermaz Auto Berhad adalah antara syarikat automotif terkemuka negara dan pengedar rasmi jenama Mazda di Malaysia yang aktif melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan modal insan menerusi pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan bakat belia selaras dengan komitmen ESG syarikat.
Sementara itu, Yayasan Raja Muda Selangor terus memainkan peranan penting dalam memperkasa generasi muda melalui pendidikan, pembangunan kemahiran, kepimpinan dan program komuniti di bawah naungan DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

