editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Wilayah Shandong, China dijangka terus diperkukuh menerusi penganjuran Pameran dan Ekspo Produk Terpilih Shandong-China Malaysia 2026 yang bakal berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya dari 22 hingga 24 Mei ini.
Penganjuran ekspo berskala antarabangsa itu dilihat mampu menjadi pemangkin baharu kepada kerjasama ekonomi dua hala apabila lebih 100 syarikat terkemuka dari Wilayah Shandong dijadual menyertai pameran berkenaan bersama kira-kira 260 delegasi perniagaan dari China.
Pengarah Pusat Kerjasama Inovasi Sains dan Teknologi China-SCO Malaysia, Wang Dawei berkata, ekspo berkenaan dianjurkan sebagai platform strategik untuk memperluaskan hubungan perdagangan, pelaburan dan kerjasama industri antara kedua-dua negara.
Menurut beliau, pameran berkenaan bukan sahaja menghimpunkan syarikat berkualiti tinggi dari Shandong, malah membuka ruang kepada syarikat tempatan, persatuan perdagangan serta institusi pelaburan Malaysia untuk menjalinkan kerjasama secara lebih menyeluruh.
“Ekspo ini bukan sahaja menjadi platform perdagangan dan pelaburan bertaraf tinggi, malah membuka peluang kepada syarikat Malaysia untuk menembusi pasaran Shandong dan China dengan lebih meluas,” katanya pada sidang media pameran berkenaan.

Beliau berkata, Shandong antara wilayah ekonomi utama di China yang memainkan peranan penting dalam hubungan perdagangan dengan Malaysia sejak sekian lama, khususnya dalam sektor teknologi, pembuatan, perdagangan dan pertanian moden.
Katanya lagi, penganjuran ekspo berkenaan dijangka mampu merangsang lebih banyak peluang pelaburan serta memperkukuh jaringan kerjasama industri dalam pelbagai sektor strategik yang berpotensi memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.
Sementara itu, Pengurus Besar Asia Tenggara Kumpulan Lanhua Shandong, Li Cheng berkata, pelbagai kategori produk dan perkhidmatan akan diketengahkan sepanjang tiga hari ekspo berlangsung.
Menurut beliau, antara produk yang bakal dipamerkan termasuk barangan automotif, kelengkapan hotel, produk sukan dan rekreasi luar, makanan, produk pertanian, kelengkapan keselamatan serta barangan pengguna premium dari China.
Dalam usaha memenuhi keperluan pasaran tempatan, khususnya pengguna Muslim di Malaysia, pihak penganjur turut memberi tumpuan kepada segmen halal menerusi penganjuran Pesta Makanan Halal yang menampilkan lebih 30 gerai makanan tradisional Shandong yang telah mendapat pengesahan halal.
“Memandangkan acara ini diadakan di Malaysia, kami memberi fokus besar kepada pasaran Muslim melalui penganjuran pesta makanan halal yang mengetengahkan pelbagai makanan tradisional Shandong,” katanya.

Selain menjadi platform perdagangan dan pelaburan, ekspo terbabit turut mengetengahkan elemen kebudayaan dan pelancongan menerusi promosi destinasi pelancongan popular di Shandong serta pelbagai permainan tradisional dari wilayah berkenaan.
Tambah beliau, usahawan tempatan juga berpeluang mencari rakan kongsi strategik selain menjadi pengedar kepada produk-produk dari China melalui jaringan luas syarikat yang mengambil bahagian dalam ekspo terbabit.
Dalam perkembangan sama, Ketua Aktiviti Budaya dan Pelancongan Ekspo merangkap Naib Presiden Persatuan Pelancongan Inbound Malaysia, Winnie Ng menyifatkan penganjuran ekspo itu sebagai platform terbaik bagi memperkukuh sektor pelancongan dua hala antara Malaysia dan China.
Menurut beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi pelancongan tempatan bagi mempromosikan pakej lawatan ke beberapa bandar utama di Shandong termasuk Qingdao dan Linyi.
“Kami juga merancang membawa rakan-rakan media Malaysia menyertai lawatan sambil belajar ke Shandong supaya mereka dapat melihat sendiri potensi pelancongan dan budaya di sana,” katanya.
Beliau berkata, usahawan dan delegasi terpilih dari Malaysia akan dijemput menghadiri satu lagi pameran perdagangan utama di Linyi pada Oktober depan dengan kos penerbangan dan penginapan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur dari China.
Pameran dan Ekspo Produk Terpilih Shandong-China Malaysia 2026 dianjurkan oleh Persatuan Perniagaan Shandong Qilu Malaysia bersama China-SCO Sci-Tech Innovation Cooperation Center (Malaysia) dengan kerjasama Shandong Lanhua Group serta Jawatankuasa Hal Ehwal China dan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) MCA.
Selain aktiviti perdagangan dan jaringan perniagaan, pengunjung yang hadir turut berpeluang menikmati pelbagai produk istimewa, aktiviti interaktif, cabutan bertuah serta hadiah khas untuk 300 pengunjung terawal setiap hari sepanjang ekspo berlangsung.

