editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penyanyi sensasi Bollywood, Jubin Nautiyal kembali mencuri perhatian peminat muzik India di Malaysia menerusi penganjuran konsert mega “Jubin Nautiyal Live in Malaysia 2026” yang bakal berlangsung esok di Mega Star Arena.
Kemunculan kali kedua penyanyi terkenal India itu di Malaysia dijangka menghimpunkan ribuan peminat muzik Bollywood tempatan selepas kejayaan konsert sulungnya pada tahun 2022 yang menerima sambutan luar biasa.
Konsert berskala besar itu bakal menyaksikan persembahan hampir tiga jam dengan rangkaian lagu hit popular yang menjadikan nama Jubin antara penyanyi latar Bollywood paling terkenal ketika ini.

Penyanyi berusia 36 tahun itu mengakui terharu dengan sokongan peminat di Malaysia yang sentiasa menantikan kemunculannya sejak kunjungan terdahulu.
Menurut beliau, konsert kali ini tampil lebih istimewa dengan konsep lebih besar serta sesuai dinikmati oleh semua lapisan penonton dan keluarga.
“Penonton di Malaysia sangat hebat dan pelbagai. Saya terkejut melihat sambutan terhadap lagu-lagu Hindi di sini.
“Kali ini kami hadir dengan persembahan yang lebih besar dan sesuai untuk seisi keluarga,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Tambahnya, kira-kira 70 lagu dijangka dipersembahkan sepanjang konsert berkenaan termasuk beberapa medley khas yang menggabungkan pelbagai genre muzik popular Bollywood.
Antara lagu yang bakal dipersembahkan termasuk Aakhri Ishq, Barbaad, Tum Hi Aana, Gazab Ka Hai Din serta lagu terbaharunya, Mere Bhole Nath yang kini mendapat sambutan hangat di India.
Selain terkenal dengan lagu romantik dan balada, Jubin turut menjanjikan persembahan lebih bertenaga menerusi lagu rancak seperti The Humma Song dan Dil Lutti Kudi Patola.
“Saya mahu semua penonton bersedia dengan kasut tarian mereka kerana kita akan menari bersama esok,” katanya.
Dalam masa sama, penyanyi kelahiran Uttarakhand itu turut mencuri perhatian apabila menyifatkan faktor utama beliau kembali ke Malaysia adalah kerana “cinta”, jawapan spontan yang menerima sorakan peminat dan media yang hadir.
Mengulas mengenai muzik tempatan, Jubin berkata beliau mula mengenali beberapa lagu tradisional Melayu dan berhasrat mempelajari lebih banyak lagu tempatan pada masa akan datang.
Malah, beliau turut memberi bayangan untuk menyampaikan lagu India Selatan berjudul Telusa Telusa buat pertama kali secara langsung khas untuk peminat Malaysia.
Konsert itu turut menampilkan artis pembukaan tempatan iaitu Mugen Rao serta duo Puteri dan Farish.

Dalam perkembangan lain, Jubin turut mendedahkan beliau kini sedang bekerjasama dengan komposer legenda India, A. R. Rahman menerusi beberapa projek rakaman lagu baharu.
“Kami sudah mula merakam beberapa lagu bersama, tetapi saya belum boleh dedahkan projeknya lagi. Saya sangat bersyukur kerana akhirnya dapat bekerjasama dengannya,” katanya.
Jubin mula mencipta nama selepas menyertai program realiti X Factor India pada tahun 2011 sebelum berkembang sebagai antara penyanyi Bollywood paling berpengaruh dalam industri muzik India.
Antara lagu popular nyanyiannya termasuk Lut Gaye, Raataan Lambiyan, Bewafa Tera Masoom Chehra dan Humnava Mere yang meraih jutaan tontonan di platform digital.
Dengan reputasi besar serta pengaruh kuat dalam industri muzik Bollywood, konsert “Jubin Nautiyal Live in Malaysia 2026” dijangka menjadi antara acara hiburan paling dinantikan peminat muzik Hindi di Malaysia tahun ini.

