editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Seorang wanita berusia 28 tahun tampil menuntut keadilan apabila satu memorandum rasmi diserahkan kepada Ketua Polis Negara di Bukit Aman hari ini berhubung dakwaan hubungan intim dan penderaan psikologi yang didakwa berlaku sejak dia berusia 21 tahun, membabitkan seorang individu berpengaruh dalam institusi keagamaan.
Tindakan itu dibuat susulan rasa tidak puas hati mangsa terhadap perkembangan siasatan kes yang dilaporkan kepada pihak polis sebelum ini.
Mewakili Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN), Dato’ Dr Kalaivanar berkata, mangsa yang didakwa telah menjalinkan hubungan intim dengan seorang pastor wanita berusia lingkungan lewat 50-an ketika itu, yang juga penceramah dan tokoh agama di sebuah gereja di Rawang.
Hubungan itu didakwa bermula atas alasan keagamaan, termasuk sesi “blessing”, sebelum bertukar menjadi hubungan sulit yang berlaku beberapa kali di lokasi berbeza.
Mangsa mendakwa hubungan berlaku bukan atas dasar kerelaan sepenuhnya, sebaliknya berlaku akibat manipulasi emosi dan ugutan, termasuk ancaman bunuh diri oleh individu terbabit sekiranya mangsa enggan menurut kehendaknya.
Tekanan psikologi, rasa malu serta trauma yang dialami menyebabkan mangsa berdiam diri selama bertahun-tahun dan tidak memaklumkan perkara itu kepada keluarganya.
“Kes telah dilaporkan kepada pihak polis pada 24 September 2025. Namun, mangsa mendakwa sehingga kini tiada tindakan tegas diambil terhadap individu yang didakwa sebagai pelaku.
“Lebih mengecewakan, mangsa turut mendakwa rakaman percakapannya tidak diambil sepenuhnya dan beliau tidak pernah menandatangani kenyataan rasmi seperti yang sepatutnya dalam proses siasatan,” katanya.

Dr Kalaivanar berkata, keadaan menjadi lebih rumit apabila individu yang didakwa itu dilaporkan telah dibawa keluar dari Kuala Lumpur ke Johor oleh ahli keluarga selepas isunya tular di media sosial dan mendapat perhatian meluas netizen serta media.
“Situasi ini menimbulkan kebimbangan mangsa terhadap kemungkinan siasatan tidak dijalankan secara menyeluruh,” katanya.
Dalam memorandum yang dikemukakan, mangsa memohon agar Ketua Polis Negara meneliti semula kes, membuka semula fail siasatan serta memastikan tindakan sewajarnya diambil tanpa sebarang kompromi.
Mangsa mengakui masih berdepan kesan trauma dan keresahan, namun keadaannya kini semakin stabil selepas mendapat sokongan moral daripada wakil yang mengiringinya serta keluarga yang kini telah dimaklumkan mengenai kejadian sebenar.
Beliau berharap langkah membawa kes ini ke peringkat lebih tinggi dapat membuka ruang keadilan, bukan sahaja untuk dirinya, malah sebagai peringatan agar kes membabitkan salah guna kuasa dan manipulasi atas nama agama tidak dipandang ringan.

