28.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 10, 2025

‘Apa Artinya Aku’, kolaborasi epik Yovie Widianto bersama Lyodra, Tiara Andini dan Ziva Magnolya

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Maestro lagu cinta terkenal, Yovie Widianto, kembali dengan sebuah kolaborasi luar biasa bersama tiga penyanyi muda berbakat dari Indonesia; Lyodra, Tiara Andini, dan Ziva Magnolya.

Lagu terbaru mereka, yang diberi judul “Apa Artinya Aku”, adalah karya istimewa yang digubah oleh Arsy Widianto dan diterbitkan oleh Yovie Widianto khas untuk trio LTZ.

Lagu ini mengisahkan tentang cinta yang tidak berbalas, di mana seseorang terperangkap dalam perasaan cinta yang mendalam namun hanya dianggap sebagai pilihan kedua oleh orang yang dicintainya.

“Cerita lagu ini sebenarnya agak ringkas, ia tentang cinta tidak berbalas. Seseorang menyimpan perasaan dan menunggu dengan penuh harapan, tetapi akhirnya kecewa kerana hanya menjadi ‘pilihan kedua’. Tema utama lagu ini berkisar tentang kekecewaan dan kesedihan,” kata Arsy Widianto, komposer lagu ini.

Yovie Widianto berkata, pemilihan Lyodra, Tiara, dan Ziva sebagai penyanyi utama dibuat atas kehebatan vokal mereka yang luar biasa.

“Semasa rakaman bersama Arsy Widianto dan pengarah vokal Mas Bowo serta Dennys Nussy, penghayatan Lyodra, Tiara, dan Ziva benar-benar menyentuh perasaan.

“Walaupun terdapat cabaran pada bahagian ‘bridge’ lagu, suara mereka tetap kedengaran indah dan penuh dengan keunikan,” kata Yovie.

“Tidak ada yang meragui kemampuan vokal mereka. Mereka adalah antara penyanyi muda terbaik dalam industri muzik hari ini.

“Saya sangat menghargai karakter vokal mereka dan tahu bagaimana lagu ini harus disampaikan mengikut keunikan masing-masing,” tambahnya.

Lagu ini bukanlah kali pertama mereka bekerjasama. Sebelum ini, Lyodra, Tiara, dan Ziva turut bersama Yovie Widianto dalam single “Menyesal” yang dilancarkan pada 3 Mac 2023, sebagai sebahagian daripada projek album Yovie & His Friends di bawah Universal Music Indonesia.

Single terbabit mencatatkan kejayaan besar dengan lebih 140 juta penstriman di Spotify dan 57 juta tontonan di YouTube.

Selain itu, ketiga-tiga mereka juga telah merakamkan lagu #TerlanjurMencinta pada tahun 2020 dengan tiga versi berbeza: “Mengapa Kita #TerlanjurMencinta” (Lyodra), “Maafkan Aku #TerlanjurMencinta” (Tiara), dan “Tak Sanggup Melupa #TerlanjurMencinta” (Ziva).

Dalam single “Apa Artinya Aku”, Yovie Widianto sekali lagi bekerjasama dengan anaknya, Arsy Widianto, sebagai komposer. Susunan muzik pop balada yang indah, dengan alunan piano, ‘strings section’, dan vokal harmonis, menjadikan lagu ini sebuah karya yang sangat menyentuh hati.

Video muzik untuk lagu ini turut dihasilkan dengan penuh teliti, menampilkan jalan cerita yang mendalam, pemilihan pakaian yang menarik, serta visual sinematik yang memukau.

Video muzik ini diarahkan oleh Jessy Sylviani dan Bobby Adrian V, dengan Michelle Ziudith sebagai pelakon utama, yang berjaya menghidupkan watak wanita yang kecewa kerana tidak dianggap sebagai pilihan utama dalam percintaan.

“Saya berharap lagu ini dapat diterima dengan baik oleh peminat muzik dan memberi kekuatan kepada mereka yang pernah melalui pengalaman serupa seperti yang diceritakan dalam lagu ini,” kata Yovie.

Single “Apa Artinya Aku” kini boleh didapati di semua platform digital, dan video muziknya sudah boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Yovie Widianto.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular