editormaxinfo@gmail.com
PULAU PINANG – Macro Tech Ventures Sdn Bhd (Borong) memperkenalkan Salaam Market, pasaran halal B2B pertama di Malaysia, pada Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang 2024 (PIHEX) yang berlangsung pada 7 Disember lalu.
Pelancaran ini disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kerjasama strategik Maybank Islamic Berhad.
Salaam Market bertujuan untuk menyumbang kepada kemajuan industri halal negara yang dijangka berkembang pesat, dengan nilai pasaran yang dijangka mencapai AS$113.2 bilion menjelang tahun 2030.
Dalam ucapan perasmian, Perdana Menteri menekankan kepentingan pembangunan ekonomi dan perdagangan dalam sektor halal.
Sebagai platform komprehensif, Salaam Market bertujuan untuk memudahkan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) mendapatkan produk halal tempatan dengan lebih mudah, selamat, dan praktikal.
Dengan sasaran untuk menarik 10,000 PMKS pada tahun 2025, platform ini memberikan peluang besar kepada usahawan untuk memperluas jangkauan mereka di dalam dan luar negara, serta memposisikan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri halal.
Pengarah Program Strategik Maybank Islamic, Dr Muhd Ramadhan Fitri Ellias berkata, Salaam Market adalah inisiatif yang melangkaui perbankan, bertujuan mendukung keperluan PMKS dalam mengukuhkan ekosistem halal.
“Melalui sokongan pembiayaan dan bimbingan Fasiliti Halal, penggiat industri halal dapat memajukan perniagaan mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Bersama Borong Aizat Rahim berkata, melalui kerjasama dengan Maybank Islamic untuk penyelesaian pembiayaan dan sokongan daripada JAKIM dalam pensijilan halal, Salaam Market akan membantu mengatasi cabaran yang dihadapi oleh pemain industri halal, termasuk isu kemampuan dan capaian produk.
Bagi menarik lebih banyak pengguna, Salaam Market kini menawarkan diskaun terhad sebanyak RM100 untuk setiap pembelian minimum RM250. Promosi ini hanya sah sehingga 1 Januari 2025.