editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Tune Protect Group Bhd melancarkan manfaat baru yang menarik, Delay Lounge Pass, yang memberikan pelanggan insurans perjalanan AirAsia akses eksklusif ke lebih daripada 1,500 lounge lapangan terbang di seluruh dunia apabila penerbangan mereka tertangguh selama dua jam atau lebih.
Manfaat ini tersedia bagi pelanggan yang memilih pelan Insurans Perjalanan AirAsia seperti Value Pack, Premium Flex, dan AirAsia Plus, untuk penerbangan yang berlepas dari, atau tiba di Malaysia dan Thailand.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect, How Kim Lian, berkata Delay Lounge Pass merubah pengalaman penangguhan penerbangan dengan menyediakan ruang istirahat yang lengkap dengan kemudahan moden, termasuk Wi-Fi berkelajuan tinggi, stesen pengecasan, serta pelbagai kemudahan tambahan seperti rawatan spa dan diskaun di bar dan restoran.
“Inisiatif ini melangkaui manfaat insurans perjalanan biasa yang diterima oleh pelanggan AirAsia, dan ianya meningkatkan pengalaman perjalanan mereka tanpa kebimbangan.
“Selain pampasan kewangan yang disediakan melalui perlindungan Insurans Perjalanan AirAsia, pelanggan kini dapat menikmati keselesaan lounge lapangan terbang untuk memanfaatkan masa menunggu dengan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Proses Penggunaan Delay Lounge Pass Untuk menikmati faedah ini, pelanggan hanya perlu membeli atau memilih salah satu pelan Insurans Perjalanan AirAsia semasa membuat tempahan penerbangan.
Seterusnya, mereka perlu melengkapkan pendaftaran untuk menerima emel pengesahan bersama maklumat pendaftaran lounge.
Setelah pendaftaran disahkan, pelanggan akan menerima pemberitahuan bahawa penerbangan mereka sedang dipantau.
Jika penerbangan mereka ditangguhkan selama dua jam atau lebih, pelanggan akan menerima notifikasi dan baucar digital untuk akses ke lounge apabila tiba di lapangan terbang. Baucar ini boleh digunakan serta-merta.
Kim Lian berkata, inisiatif terbaru ini menggambarkan komitmen Tune Protect untuk menyediakan penyelesaian yang lebih inovatif dan berfokuskan pelanggan kepada pengembara.
“Gabungan produk utama dengan pengalaman tambahan seperti ini semakin diterima dalam industri lain, dan kini kami menerapkannya dalam industri insurans untuk menjadikannya lebih menarik bagi pelanggan kami,” katanya.
Bagi pelanggan yang tidak dapat menggunakan baucar lounge semasa penerbangan mereka ditangguhkan, baucar berkenaan tetap sah untuk digunakan sekali sahaja dalam tempoh 30 hari dari tarikh pengeluaran di mana-mana lounge lapangan terbang yang terpilih.
Selain daripada Delay Lounge Pass, Tune Protect turut meningkatkan ciri insurans dalam pelan Insurans Perjalanan AirAsia dengan memperkenalkan TravelFlex Lite, yang menawarkan manfaat pembatalan fleksibel untuk situasi yang tidak dijangka.
Pelanggan kini boleh menerima pembayaran balik sehingga RM500 untuk kos tiket penerbangan jika mereka tidak dapat meneruskan perjalanan.
Antara manfaat utama lain yang ditawarkan dalam pelan ini adalah On-Time Guarantee, yang memberi pampasan RM100 untuk kelewatan dua jam, serta Kelewatan Bagasi, yang memberikan pampasan RM120 bagi setiap kelewatan enam jam, sehingga RM360.
Dengan pelbagai manfaat tambahan ini, Tune Protect berusaha untuk terus memberikan kemudahan dan perlindungan yang terbaik untuk pelanggan AirAsia, menjadikan pengalaman perjalanan mereka lebih selesa dan tanpa kebimbangan.