editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Dalam usaha menangani peningkatan mendadak keperluan pengkomputeran kecerdasan buatan (AI) global, Midea Building Technologies memperkenalkan penyelesaian pengurusan terma pusat data tindanan penuh terbaharunya di Malaysia menerusi acara “Feel the Future” yang berlangsung baru-baru ini.
Pelancaran itu hadir tepat pada masanya ketika industri pusat data berdepan cabaran besar akibat peningkatan kepadatan pengkomputeran AI yang kini mampu melebihi 100kW bagi setiap kabinet pelayan.
Dalam keadaan cuaca tropika yang panas dan lembap seperti di Malaysia dan Asia Tenggara, sistem penyejukan udara tradisional semakin sukar memenuhi tuntutan operasi pusat data moden yang memerlukan prestasi tinggi, cekap tenaga dan mampan.
Midea Building Technologies menerusi penyelesaian terbaharunya tampil menawarkan teknologi penyejukan pusat data generasi baharu yang direka khusus untuk menyokong pembangunan infrastruktur Artificial Intelligence Data Center (AIDC).
Penyelesaian itu dibangunkan bagi membantu pengendali pusat data mengatasi isu utama industri termasuk tempoh pelaksanaan yang panjang, kos operasi yang tinggi, kecekapan tenaga serta kebimbangan terhadap jumlah kos pemilikan keseluruhan.
Menurut syarikat itu, penyelesaian bersepadu berkenaan meliputi keseluruhan rantaian operasi bermula daripada perundingan, reka bentuk sistem, pemilihan peralatan, penghantaran sehingga penyelenggaraan dan operasi digital.
Teknologi itu turut mengintegrasikan matriks penyejukan cecair penuh yang merangkumi pendingin, Unit Pengagihan Bahan Pendingin (CDU), terminal penyejukan cecair serta sistem operasi dan penyelenggaraan digital pintar.
Melalui seni bina “sinergi udara-cecair”, sistem berkenaan membolehkan penyelarasan fleksibel antara penyejukan udara bilik dan penyejukan cecair pelayan, sekali gus meningkatkan kestabilan operasi pusat data dalam keadaan cuaca ekstrem tropika.
Antara produk utama yang diperkenalkan ialah CDU Aktif Maglev yang menggabungkan sumber penyejukan penggalas magnetik dengan unit pengagihan dalam satu casis tunggal.
Teknologi itu dikatakan mampu mengurangkan penggunaan ruang sehingga lebih 50 peratus selain mencapai Power Usage Effectiveness (PUE) sistem di bawah 1.2 dalam keadaan tropika. Ia juga membantu mengurangkan masa penghantaran serta kos kendalian pusat data.
Midea turut memperkenalkan Pendingin Penggalas Magnetik Sejuk Udara Generasi Seterusnya yang direka khas untuk kawasan bersuhu tinggi dan mengalami kekurangan sumber air.
Sistem itu mampu mengekalkan Coefficient of Performance (COP) pada kadar 5.4 walaupun dalam suhu ambien mencecah 35 darjah Celsius. Operasi bebas minyak yang digunakan pula membantu memastikan prestasi sistem kekal optimum dalam jangka masa panjang.
Selain itu, CDU Gred-Industri keluaran syarikat tersebut menawarkan kapasiti penyejukan sehingga 2,600kW pada 3K ΔT, sekali gus menyokong seni bina ketersediaan tinggi yang penting bagi menjamin keselamatan, kestabilan dan operasi berterusan pusat data AI berskala besar.
Dalam perkembangan berkaitan, Midea Building Technologies turut memperkenalkan pangkalan pembuatan pintar penyejukan cecair miliknya di Shunde yang membabitkan pelaburan melebihi RMB1 bilion.
Fasiliti berteknologi tinggi itu dijangka menjadi hab utama pengeluaran pendingin penggalas magnetik, CDU dan pelbagai produk penyejukan cecair lain bagi memenuhi permintaan global yang semakin meningkat.
Pembinaan kemudahan terbabit bermula pada Mac 2026 dan dijangka memulakan operasi pengeluaran pada Ogos 2027.
Pusat itu bakal memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain mempercepatkan penghantaran penyelesaian penyejukan pusat data secara menyeluruh kepada pelanggan antarabangsa.
Acara berkenaan turut menampilkan penglibatan akademik daripada National University of Singapore (NUS) yang berkongsi pandangan berkaitan masa depan pusat data mampan di rantau tropika. Dr. Md Raisul Islam membentangkan Sustainable Tropical Data Centre Testbed (STDCT), sebuah makmal terbuka berkapasiti 0.5MW di Singapura yang memfokuskan kepada cabaran penggunaan tenaga, air dan pelepasan karbon dalam operasi pusat data.
Dalam sesi sama, Dr. Guo Shuai menjelaskan bahawa bagi rak pelayan melebihi 20kW, penggunaan plat sejuk Advanced Manufacturing (AM) dengan sirip berasaskan reka bentuk topologi yang dioptimumkan menjadi faktor penting untuk mengatasi kekangan penyejukan sistem AI moden.
Sementara itu, sesi panel industri yang berlangsung sepanjang acara tersebut menyaksikan pakar-pakar teknologi bersetuju bahawa reka bentuk terma kini bukan lagi sekadar fungsi sokongan, sebaliknya telah berkembang menjadi komponen teras dalam seni bina pusat data masa depan, khususnya di rantau tropika.
Mereka turut berpandangan bahawa metrik masa depan industri tidak seharusnya hanya tertumpu kepada PUE semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi kecekapan pengkomputeran dan jumlah kos pemilikan keseluruhan bagi memastikan operasi pusat data lebih lestari dan berdaya tahan.
Dengan keupayaan sistem tindanan penuh, portfolio produk lengkap serta pendekatan inovasi terbuka, Midea Building Technologies kini dilihat semakin memperkukuh kedudukannya sebagai antara pemain utama dalam pembangunan infrastruktur pengkomputeran AI global.
Midea Building Technologies merupakan sebahagian daripada Midea Group yang menyediakan penyelesaian HVAC cekap tenaga, kawalan bangunan pintar dan teknologi pengurusan terma pusat data kepada pelanggan di seluruh dunia.

