editormaxinfo@gmail.com
PETALING JAYA – Astro Shaw kembali menghangatkan industri perfileman tempatan menerusi filem terbaharu berjudul HAK: Tuntut Atau Tunduk, sebuah drama aksi thriller yang mengetengahkan realiti kehidupan masyarakat moden dengan gabungan elemen tekanan ekonomi, perjuangan kelangsungan hidup dan konflik moral yang penuh mendebarkan.
Filem terbitan Astro Shaw bersama Enotech Pictures dan Icon Pictures itu kini berada dalam fasa produksi dan dijangka menemui penonton di pawagam dalam masa terdekat.
Turut menjayakan projek berkenaan ialah Etika Sdn Bhd menerusi jenama popular 7UP dan Mirinda sebagai rakan strategik utama.

Apa yang paling mencuri perhatian ialah gandingan pertama dua pelakon hebat tanah air, Syafiq Kyle dan Beto Kusyairy di layar perak.
Pertembungan dua nama besar industri itu dijangka menjadi tarikan utama filem berkenaan, sekali gus memberikan pengalaman sinematik penuh intensiti kepada penonton.
Naskhah ini diarahkan oleh Ezrie Gazali yang sebelum ini dikenali menerusi filem Abah Saya Uncle Mike, manakala skripnya ditulis oleh Alfie Palermo, penulis di sebalik siri premium One Cent Thief, berdasarkan idea asal Santharuban Thurai Sundaram.
Selain Syafiq Kyle dan Beto Kusyairy, filem itu turut dibintangi barisan pelakon berpengaruh termasuk Kodi Rasheed, Mimi Lana, Fadhli Masoot, Aziz M Osman, Radhi Khalid, Rubini Sambanthan, El Umar Mokhtar dan Dato Fizz Fairuz.
Penggambaran filem dijalankan di beberapa lokasi sekitar pasar awam dan komuniti pangsapuri di Lembah Klang bagi memberikan nuansa lebih realistik dan dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia.

Pendekatan itu dilihat mampu memperkukuhkan elemen penceritaan yang lebih segar serta menyentuh realiti sosial semasa.
Menurut Penerbit Eksekutif HAK: Tuntut Atau Tunduk merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, filem itu menjanjikan kelainan menerusi gabungan pelakon dan tenaga kreatif yang kuat.
Beliau berkata, buat pertama kali penonton bakal menyaksikan Syafiq Kyle dan Beto Kusyairy bertembung dalam aksi kejar-mengejar penuh debaran yang diibaratkan seperti “musang memburu ayam”.
“Penonton bakal melihat mereka bergandingan dalam satu filem bersama barisan pelakon dan pasukan kreatif yang hebat diterajui oleh Ezrie Gazali dan Alfie Palermo.
“Kami juga amat berterima kasih kepada Etika, 7UP dan Mirinda atas kepercayaan mereka terhadap projek ini sejak dari awal.
“Kepercayaan berterusan mereka terhadap visi dan keupayaan kreatif kami, bersama sokongan serta kerjasama kukuh yang diberikan, memainkan peranan besar dalam merealisasikan filem ini,” katanya.

Sementara itu, Santharuban Thurai Sundaram selaku Penerbit Eksekutif dan pencetus idea asal filem berkenaan berkata, inspirasi cerita lahir daripada pemerhatiannya terhadap perubahan landskap ekonomi dan perniagaan semasa.
Menurut beliau, semakin ramai rakyat tempatan dilihat melepaskan peluang dalam bidang perniagaan, sedangkan ruang itu semakin dimanfaatkan oleh pekerja asing yang berjaya membina dan mengembangkan perniagaan mereka sendiri dalam pelbagai sektor.
“Isu ini wajar diberi perhatian secara lebih positif dan terbuka. Harapan saya, filem ini dapat membuka mata masyarakat tentang pentingnya rakyat tempatan merebut peluang, membina pemilikan sendiri dan memainkan peranan lebih besar dalam memajukan ekonomi negara serta komuniti kita sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Pemasaran Etika merangkap Penerbit Eksekutif filem, Amy Gan pula berkata, pihaknya percaya gabungan jenama dan penceritaan mampu diwujudkan secara lebih bermakna menerusi karya yang dekat dengan realiti masyarakat.
Beliau berkata, kerjasama bersama Astro Shaw bukan sekadar untuk menghasilkan hiburan semata-mata, tetapi juga membuka ruang perbincangan mengenai isu sosial yang relevan dalam kehidupan harian rakyat Malaysia.
“Jenama 7UP dan Mirinda telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan harian rakyat Malaysia, hadir di ruang-ruang di mana masyarakat berkumpul, bekerja, makan dan berhubung.
“Menerusi HAK: Tuntut Atau Tunduk, kami melihat peluang untuk menyokong sebuah cerita yang mengetengahkan perbualan sosial yang sememangnya sedang berlaku di sekeliling kita; menyentuh aspek pekerjaan, maruah, pemilikan dan rasa kebersamaan,” katanya.

Filem ini mengisahkan Hakim lakonan Syafiq Kyle, seorang pegawai operasi di sebuah pasar awam yang terdesak mencari wang demi menyambut kelahiran anak sulungnya.
Tekanan hidup mendorongnya mengambil kesempatan terhadap komuniti sekeliling sebelum hidupnya berubah secara drastik selepas menemui sebuah beg berisi wang dalam jumlah besar.
Namun, penemuan itu membawa padah apabila dia diburu oleh pihak berbahaya yang sanggup mengancam nyawa dirinya serta keluarga demi mendapatkan semula wang terbabit.
Dalam keadaan penuh tekanan, Hakim terpaksa membuat pilihan sukar antara mempertahankan keluarganya atau tunduk kepada ancaman yang semakin menghimpit.
Dengan jalan cerita yang kuat, pendekatan realistik dan gabungan pelakon berkaliber, HAK: Tuntut Atau Tunduk dijangka menjadi antara filem tempatan paling dinanti tahun ini serta berpotensi mencetuskan perbincangan besar dalam kalangan penonton tempatan.

