32.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 20, 2026

Konsert Radja 25 tahun di Kuala Lumpur tampil lebih eksklusif dan nostalgia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kumpulan popular Indonesia, Radja bakal kembali menghangatkan pentas hiburan Malaysia menerusi penganjuran Konsert Revolusi Radja 25 Tahun yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 11 Julai 2026.

Konsert anjuran DHYAH PROD7CTION bersama INFINITY LOVE CREATIVE VENTURES itu diadakan sempena meraikan perjalanan 25 tahun Radja dalam industri muzik Nusantara, sekali gus menjadi simbol penghargaan kepada peminat yang terus setia menyokong perjalanan seni kumpulan itu sejak awal penubuhannya.

Kemunculan semula Radja di Malaysia kali ini dijangka mencetuskan fenomena tersendiri selepas kejayaan Konsert RadjaWali yang berlangsung pada Januari lalu.

Lebih menarik, Konsert Revolusi Radja 25 Tahun tampil sebagai sebuah konsert solo penuh yang memberi fokus sepenuhnya kepada kekuatan muzik, vokal dan identiti sebenar kumpulan legenda itu.

Sepanjang konsert berlangsung, peminat bakal dihidangkan dengan deretan lagu popular yang pernah mendominasi carta muzik serantau seperti Cinderella, Jujur, Benci Bilang Cinta, Takkan Melupakanmu, Manusia Biasa, Jangan Sakiti Aku dan Aku Ada Karena Kau Ada.

Lagu-lagu berkenaan bukan sahaja menjadi siulan ramai sejak lebih dua dekad lalu, malah masih kekal relevan dan dekat di hati peminat pelbagai generasi sehingga hari ini.

Lagu seperti Cinderella, Jujur dan Manusia Biasa juga dianggap sebagai karya ikonik atau “signature songs” Radja yang sering menjadi kemuncak dalam setiap persembahan pentas mereka.

Elemen nostalgia yang dibawa menerusi lagu-lagu ini dijangka mengembalikan memori era kegemilangan muzik awal 2000-an yang pernah mencetuskan fenomena besar di rantau Nusantara.

Konsert ini turut menjadi medan buat peminat menyaksikan semula keserasian anggota utama Radja iaitu Ian Kasela selaku vokalis utama, Moldy sebagai gitaris dan komposer utama, Adit selaku pemain bass serta Seno Aji di posisi dram yang selama ini menjadi tunjang kekuatan kumpulan berkenaan.

Wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris berkata, Konsert Revolusi Radja 25 Tahun memberi peluang kepada peminat yang masih belum puas menikmati persembahan kumpulan itu ketika Konsert RadjaWali sebelum ini untuk merasai pengalaman sebenar menyaksikan Radja dalam format konsert solo eksklusif.

Menurut beliau, konsert berkenaan bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya akan menampilkan beberapa elemen kejutan istimewa termasuk persembahan tribute unik oleh dua DJ profesional wanita dari Malaysia dan Indonesia yang bakal mempersembahkan lagu-lagu Radja dalam susunan muzik elektronik lebih segar dan moden.

Katanya lagi, antara nama yang telah mengesahkan penglibatan ialah Nathalie Holscher, seorang DJ wanita dari Indonesia yang kini semakin meningkat popularitinya di republik terbabit.

“Walaupun diberikan pembaharuan dari segi susunan muzik, identiti asal serta kekuatan emosi setiap karya tetap dikekalkan.

“Ia sekali gus menawarkan pengalaman persembahan yang lebih moden, bertenaga dan relevan dengan citarasa penonton masa kini,” katanya.

Selain itu, penganjur turut memaklumkan bahawa beberapa penyanyi jemputan dari Malaysia dijangka membuat kemunculan khas pada malam konsert berkenaan, sekali gus menambahkan lagi nilai eksklusif kepada acara muzik berprestij itu.

Sementara itu, mewakili Radja, Ian Kasela mengakui Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan seni kumpulan berkenaan sejak awal pembabitan mereka dalam industri muzik.

Beliau berkata, setiap kali Radja mengadakan persembahan di Malaysia, sambutan yang diterima daripada peminat sentiasa luar biasa dan penuh kehangatan.

“Konsert Revolusi Radja 25 Tahun ini bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi satu perjalanan emosi yang meraikan 25 tahun muzik, kenangan dan sokongan yang tidak pernah putus daripada peminat kami di Malaysia dan seluruh Nusantara.

“Kami tidak sabar untuk kembali ke Kuala Lumpur dan berkongsi malam penuh nostalgia ini bersama semua peminat. Ini adalah hadiah istimewa daripada Radja buat peminat setia kami,” katanya.

Konsert Revolusi Radja 25 Tahun dijangka menjadi sebuah malam yang sarat dengan nostalgia, emosi dan energi, sekali gus mengubat kerinduan peminat terhadap persembahan solo kumpulan legenda Indonesia itu serta mengukuhkan lagi kedudukan Radja sebagai antara nama besar dalam industri muzik Nusantara.

Maklumat lanjut berkaitan penjualan tiket, kategori harga dan barisan penuh persembahan akan diumumkan dalam masa terdekat menerusi laman rasmi airasia MOVETIX.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular