32.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 19, 2026

Filem animasi Fleak tayang di Malaysia 21 Mei 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Filem animasi pengembaraan penuh imaginasi berjudul Fleak bakal menemui penonton di seluruh Malaysia bermula 21 Mei 2026, bersempena musim cuti sekolah, selepas mencuri perhatian di pelbagai festival dan pasaran filem antarabangsa.

Diterbitkan melalui kerjasama Anima Vitae Point bersama Anima Vitae, Animoon dan Godo Films, filem berkenaan turut mendapat kerjasama Astro Shaw sebagai rakan pemasaran dan pengedaran rasmi di Malaysia.

Fleak sebelum ini telah dipersembahkan di beberapa festival antarabangsa berprestij termasuk Annecy International Animation Film Festival, Children’s International Film Festival dan Busan International Kids and Youth Film Festival, sekali gus mengukuhkan reputasinya di peringkat global.

Filem ini turut dijadualkan menembusi pelbagai pasaran antarabangsa termasuk Sepanyol, Perancis, Brazil, Türkiye, Denmark, Maghribi, Norway, Tunisia, Sweden dan Poland, menjadikannya antara karya animasi yang mendapat pengedaran meluas di peringkat global.

Malaysia pula menjadi antara negara Asia terawal menayangkan Fleak dalam bahasa asal Bahasa Inggeris, lebih awal sebelum tayangan di Amerika Syarikat dan Kanada.

Dari sudut penceritaan, Fleak mengisahkan seorang kanak-kanak bernama Thomas yang kehilangan upaya untuk berjalan selepas terbabit dalam satu kemalangan. Kehadirannya bersama makhluk misteri dari dimensi lain membawa penonton menyelami dunia alternatif penuh warna, imaginasi dan emosi.

Filem ini diarahkan oleh Jens Moller, yang sebelum ini dikenali menerusi karya seperti Lego Star Wars: The Freemaker Adventures dan Ninjago, serta menerima pujian media antarabangsa termasuk Variety yang menyifatkannya sebagai karya “wildly imaginative”.

Selain elemen fantasi, Fleak turut mengangkat tema seperti penerimaan diri, konflik emosi dan hubungan kekeluargaan yang disampaikan dalam bentuk visual kreatif dan mudah difahami penonton pelbagai peringkat umur.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Penerbit Anima Vitae Point, Yuki Pang berkata, filem itu adalah hasil usaha panjang membabitkan bakat kreatif tempatan yang dibangunkan selama lebih 14 tahun dalam bidang produksi animasi.

Menurut beliau, Fleak pada asalnya diinspirasikan daripada watak rakan imaginasi yang dicipta bagi membantu kanak-kanak berdepan situasi sukar, sebelum melalui evolusi reka bentuk sehingga menjadi watak yang lebih mesra, comel dan dekat dengan penonton.

Katanya, filem ini membawa mesej penting mengenai peranan imaginasi dalam kehidupan moden yang semakin pantas dan mencabar.

Sementara itu, Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, kerjasama strategik antara produksi tempatan dan antarabangsa ini mencerminkan potensi besar industri animasi Malaysia di peringkat global.

Menurut beliau, sambutan terhadap filem animasi di Malaysia yang semakin meningkat turut memberi keyakinan bahawa Fleak mampu menjadi pilihan utama penonton keluarga, khususnya sempena musim cuti sekolah.

Dengan gabungan visual memukau, dunia imaginatif dan naratif yang menyentuh emosi, Fleak dijangka memberikan pengalaman sinematik yang menghiburkan kepada penonton apabila mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 21 Mei 2026.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular