editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Fenomena muzik nostalgia bakal kembali menggegarkan Malaysia apabila konsert “The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita” dijadual berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 11 Julai depan, sekali gus menjadi antara konsert paling dinanti peminat muzik Indonesia dan Malaysia tahun ini.
Lebih daripada sekadar persembahan hiburan, konsert berkenaan dijangka menghidupkan kembali memori jutaan peminat yang membesar bersama lagu-lagu ikonik Peterpan yang pernah mendominasi industri muzik Nusantara sejak awal tahun 2000-an.
Bagi ramai peminat, muzik Peterpan bukan sekadar lagu yang didengari, sebaliknya menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup yang menyimpan pelbagai kenangan termasuk zaman persekolahan, kisah cinta pertama, persahabatan, kehilangan dan pelbagai momen kehidupan yang masih segar dalam ingatan sehingga hari ini.
Kini, perjalanan emosi itu diteruskan menerusi “The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita” yang hadir dengan nafas baharu tanpa menghilangkan identiti dan jiwa asal muzik kumpulan legenda berkenaan.
Pihak penganjur berkata, sambutan luar biasa diterima sejak pengumuman rasmi pertama dibuat pada 28 April lalu dengan reaksi positif terus membanjiri media sosial serta komuniti peminat di Malaysia dan Indonesia.
Konsert terbabit bakal menghimpunkan barisan artis ternama Indonesia dan Malaysia yang akan menghidupkan semula lagu-lagu legenda Peterpan di atas pentas dengan interpretasi baharu yang lebih segar dan emosional.
Antara nama besar yang bakal mencuri perhatian ialah vokalis kumpulan Dewa, Marcello Tahitoe atau lebih dikenali sebagai Ello yang terkenal dengan vokal rock penuh penghayatan dan persembahan bertenaga.
Turut bersama ialah Tantri Syalindri, vokalis kumpulan Kotak yang cukup dikenali dengan aura rock dan karakter vokal tersendiri, selain Rony Parulian yang kini menjadi antara bintang muda Indonesia paling menyerlah.
Konsert itu juga bakal menampilkan Arda Hatna yang dikenali menerusi kekuatan melodi dan vokal penuh emosi, manakala penyanyi Malaysia, Hael Husaini akan membawa sentuhan tempatan dalam menghidupkan semula legasi muzik Peterpan yang dekat di hati peminat serantau.
Apa yang lebih istimewa, peminat turut bakal menyaksikan kemunculan semula anggota pengasas Peterpan sendiri iaitu Ilsyah Ryan Reza, Loekman Hakim, Andika Naliputra dan Indra yang bakal bersama-sama menghidupkan kembali lagu-lagu malar segar kumpulan itu.

Lagu-lagu ikonik seperti Semua Tentang Kita, Mimpi Yang Sempurna, Yang Terdalam dan Ada Apa Denganmu dijangka menjadi antara momen paling dinantikan peminat sepanjang konsert berlangsung.
Menurut wakil penganjur, kekuatan sebenar Peterpan bukan hanya terletak pada lagu-lagu mereka, tetapi memori yang terbina bersama setiap karya yang pernah menjadi soundtrack kehidupan ramai orang.
“Apa yang menjadikan Peterpan begitu istimewa bukan sekadar lagu-lagunya, tetapi memori yang melekat bersama lagu berkenaan.
“Semua orang seperti mengingati di mana mereka berada, siapa yang mereka cintai atau apa yang mereka rasa ketika lagu-lagu ini mula menjadi sebahagian daripada hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata, ramai peminat yang membeli tiket bukan hanya untuk menonton persembahan, tetapi mahu merasai semula emosi dan nostalgia yang pernah hadir dalam kehidupan mereka suatu ketika dahulu.
Sambutan luar biasa terhadap konsert itu turut menyaksikan kategori tempat duduk CAT 3 dan semua pakej Royal Box habis dijual dalam tempoh singkat selepas jualan tiket dibuka pada 8 Mei lalu.
Pihak penganjur berkata, beberapa kategori premium kini sedang dijual dengan pantas susulan keterujaan peminat yang terus meningkat di media sosial dan platform digital.
Dalam masa sama, pihak penganjur memberi bayangan bahawa masih terdapat beberapa kejutan istimewa yang akan diumumkan menjelang malam konsert nanti bagi menambah lagi keterujaan peminat.
“The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita” dijangka menjadi antara konsert nostalgia terbesar tahun ini apabila berjaya menghimpunkan generasi lama dan baharu yang membesar bersama karya-karya legenda Peterpan.
Konsert terbabit akan berlangsung pada 11 Julai 2026 di Idea Live Arena, manakala tiket rasmi boleh didapati menerusi Ticket2U dan Fantopia.

